Merujuk kepada “More Seats for the waiting” yang di tulis oleh Waiting Customer, BSB dan dikeluarkan dalam Opinion page Borneo Bulletin bertarikh 8 April 2009. Pihak Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Perhubungan mengucapkan terima kasih atas saranan yang diberikan dalam meningkatkan taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Negara Brunei Darussalam.
Jabatan Penerbangan Awam sentiasa dari masa kesemasa mengambil perhatian berat keatas keselamatan, keselesaan dan kemudahan orang ramai yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Negara Brunei Darussalam. Dalam usaha kearah itu, dalam peruntukan Perbelanjaan Khas Kementerian Kewangan bagi Tahun Kewangan 2008/2009 Jabatan Penerbangan Awam telah diperuntukkan lebih $1.7 juta bagi kerja-kerja penambahbaikan kawasan-kawasan tertentu termasuk untuk kemudahan penumpang dan orang ramai. Pada tahun Kewangan 2009/2010 Jabatan Penerbangan Awam juga telah diberikan peruntukan sebanyak $2.120 juta dengan harga rancangan $3.085 juta dibawah tajuk Perbelanjaan Khas bagi Penggantian Sistem Hawa Dingin di Lapangan Terbang Antarabangsa.
Mengenai dengan kekurangan ruang kerusi di dewan ketibaan, Jabatan Penerbangan Awam memang telah menyediakan kerusi tempat duduk bagi keselesaan orang ramai untuk digunakan sementara menunggu ketibaan ahli keluarga atau sahabat handai yang tiba.
Walau bagaimanapun disebabkan keluasan ruang ketibaan yang terhad bagi keselesaan, jumlah tempat duduk yang disediakan juga sangat terhad dan tidak dapat menampung keperluan dimasa sebuk lebih lebih lagi ketika ketibaan beberapa penerbangan yang membawa penumpang dari pelbagai destinasi dalam jarak waktu yang berdekatan. Dengan keadaan ruang yang sangat terhad adalah kurang sesuai bagi tempat tersebut dipenuhi dengan tempat duduk kerana dikhuatiri akan mengganggu keselamatan, keselesaan dan kelancaran pergerakan penumpang dan orang ramai.
Jabatan Penerbangan Awam akan sentiasa memberikan perhatian dan berusaha untuk meningkatkan dan memastikan keselesaan orang ramai sebagai satu keutamaan.
Jabatan Penerbangan Awam,
Kementerian Perhubungan
Negara Brunei Darussalam
April 2009