Perkhidmatan Pos adalah di antara perkhidmatan yang tertua di negara ini bermula sekitar tahun 1895 yang kini sudah mencapai usia lebih 111 tahun.
''Sejak penubuhannya, perkhidmatan pos jelas mencerminkan betapa pentingnya peranan perhubungan dalam kehidupan seharian dalam segala aspek urusan kerajaan dan negara,'' jelas Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat pada Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia 2017 yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan.
Dalam arus kemodenan era Revolusi Industri Ke-4, pelbagai sistem perhubungan yang semakin canggih dan pesat meliputi sistem pengangkutan laut, darat dan udara serta sistem telekomunikasi dapat dilihat,'' tambah Yang Berhormat Menteri.
Semua perkembangan ini katanya, telah banyak merombak tradisi atau cara dan kaedah pengurusan kita seharian dan sebagai sebuah negara komuniti antarabangsa dan kita akur kepada kenyataan bahawa kita sedang berada dalam dunia global dan persaingan ekonomi yang meluas.
Untuk terus relevan, ujarnya kita tidak dapat memencilkan diri selain berusaha dan bekerjasama dengan masyarakat serantau dan antarabangsa khususnya ASEAN.
''Kita juga sudah mula menghargai apa ertinya 'concectivity' dan 'reliability' sebagai aspek 'fundamental' dalam perhubungan yang akan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara,'' jelasnya lagi.
Yang Berhormat Menteri juga menyatakan, melalui statistik Jabatan Perkhidmatan Pos, penghantaran surat telah menurun sebanyak 50 peratus daripada 14.7 juta pada tahun 2000 kepada 7.5 juta pada tahun 2016. Manakala penghantaran bungkusan atau paket pula telah meningkat lebih 100 peratus daripada 224,000 kepada 490,000 pada tahun 2016.
''Kita memerlukan strategi, di samping ekonomi yang kuat untuk menarik perkhidmatan kargo dan logistik beroperasi secara 'reliable' dan konsisten ke negara ini dan menjadikan pelabuhan serta lapangan terbang sebagai hub dengan didokong oleh peluang-peluang 'transshipment' dan FTZ dengan kemudahan 'bonded warhouses','' tambahnya.
Perkhidmatan Pos, ujar Yang Berhormat masih diperlukan oleh setiap lapisan masyarakat sama ada yang berpendapatan rendah atau sederhana.
Tegas Yang Berhormat Menteri Perhubungan sudah tiba masanya Jabatan Perkhidmatan Pos mengadakan inovasi dan mempelbagaikan perkhidmatannya, bukan saja untuk survival kewujudannya tapi untuk memahami cita rasa penggunanya.
Sebagai pemberi perkhidmatan, perasaan segan berhadapan dengan masyarakat luar adalah perlu dielakkan dan perlu menerima dengan terbuka apa sahaja kritikan yang diajukan serta menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk menjadi lebih baik.
Ihsan Pelita Brunei