Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News & Press Release

Manage PermissionsManage Permissions
Rabu, 15 November - 12 peserta mara ke Musabaqah Al-Quran Peringkat Akhir





BANDAR SERI BEGAWAN - Seramai 12 peserta, iaitu enam qari dan enam qariah diumumkan terpilih untuk bertanding ke Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1439H / 2018M.
 
Para peserta finalis qari terdiri daripada Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili; Awang Haji Mohd. Fikri bin Haji Metussin; Awang Mohammad bin Ali; Awang Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya; Awang Haji Mohd. Albi bin Haji Ibrahim dan Awang Mohammad Zul Hafiz bin Awang Tengah.
 
Sementara finalis qariah terdiri daripada Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marzuki; Dayang Hajah Nurfaezah binti Haji Emran; Dayang Hajah Nurhapidzah binti Haji Hassan; Dayang Siti Zahrina binti Abdul Wahab; Dayang Hajah Siti Wardah binti Mejar (B) Haji Abdul Rahman dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri.
 
Pengumuman tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali pada majlis yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini.
 
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat yang juga seterusnya menyampaikan cenderamata kepada qari dan qariah pada musabaqah tersebut.
 
Majlis turut diserikan dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh salah seorang peserta qari dan qariah yang terpilih.
 
Hadir sama, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
 
Terdahulu, Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Awang Haji Mazneh bin Haji Md. Noor dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan tahniah kepada para peserta yang berjaya ke peringkat akhir nanti dan seterusnya menyarankan agar mereka terus berusaha lebih gigih bagi meningkatkan mutu bacaan masing-masing.
 
Bagi mereka yang tidak berjaya, beliau menasihatkan supaya meneruskan usaha serta meningkatkan mutu bacaan masing-masing bagi memperoleh kejayaan pada masa-masa akan datang.
 
Terdahulu pada sebelah pagi, 14 peserta memperdengarkan bacaan masing-masing.
 
Majlis diungkayahkan dengan kerjasama Bahagian Kemajuan Syiar Islam dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU.

Ehsan dari Pelita Brunei

Attachments