.jpg)
.jpg)
.jpg)
Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan serta Pihak-Pihak Berkuasa di bawahnya mengadakan Majlis Pembukaan Dikir Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi Wassalam Peringkat Negara Bagi Tahun 1439H pada petang ini, bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, di Berakas. Majlis dikelolakan oleh Kementerian Perhubungan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Menteri Perhubungan. Juga hadir pada Majlis tersebut Yang Mulia Dr Haji Supry bin Haji Ag. Ladi, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan; Pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Jabatan dan Pihak Berkuasa, serta para Pegawai Kanan dan Kakitangan Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.
Majlis didahului dengan Sembahyang Fardhu Magrib Berjemaah diimamkan oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Ismail bin Pengiran Haji Tuah. Persembahan Dikir beramai-ramai dimulakan dengan Dikir Assalamualaika. Selepas menunaikan Sembahyang Fardhu Isya’ Berjemaah, persembahan Dikir disambung lagi dengan Dikir Asyarakal.
Majlis Pembukaan Dikir pada malam ini menandakan bermulanya gema Dikir Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam yang akan diadakan selama 12 malam berturut-turut.
Majlis Dikir Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam merupakan salah satu acara kebesaran Islam bertujuan untuk memperingati hari keputeraan junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam yang disambut di negara dan mengambil ganjaran pahala yang berlipat ganda daripadanya.