Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Majlis Sambutan Isra’ Dan Mi’raj 1439H/2018M Kementerian Perhubungan

19 April 2018 – Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan Di Bawahnya telahpun mengadakan Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj pada petang ini di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan yang dikelolakan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam. Antara tujuan utama majlis ini diadakan adalah untuk sama-sama memperingati peristiwa bersejarah Islam iaitu Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam.

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohamad Yusof, Menteri Perhubungan. Turut hadir ialah Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Dr. Haji Supry bin Haji Awang Ladi, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan Di Bawahnya.

Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Muhammad Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki, Pegawai Pelajaran daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Awang Muhamad Husaini bin Aji, Pemangku Pengarah Kajicuaca selaku Pengerusi Majlis.  Satu ceramah khas juga telah disampaikan oleh Penceramah jemputan, Yang Mulia Ustaz Dr Ahmad Asri Lubis bin Haji Abu Samah, Pensyarah daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali dengan ceramah khas bertajuk "Manisnya Solat Berjemaah". Intipati ceramah berkisar mengenai kepentingan solat berjemaah yangmana sesungguhnya banyak kebaikan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hambaNya yang melaksanakan sembahyang fardhu secara berjemaah, lebih-lebih lagi jika dilakukan di masjid. Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat.

Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj merupakan acara keugamaan tahunan Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bagi menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam dengan tujuan untuk mendapatkan ganjaran pahala berlipat ganda dari Allah Subhanahu Wata'ala.  Disamping itu juga, ianya merupakan wadah bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara zikir, dibawah naungan falsafah Negara Melayu Islam Beraja disamping mengeratkan tali silaturrahmi diantara pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan Jabatan-jabatan dibawahnya.

 

Disediakan oleh:

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam

Kementerian Perhubungan

Negara Brunei Darussalam

Attachments