Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Sabtu, 30 Rabiulawal 1440/08 Disember 2018 - Taklimat Defensive Driving sebagai Acara Minggu Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya 2018

Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dengan kerjasama Syarikat Latihan Megamas Sendirian Berhad pagi ini mengadakan Taklimat 'Defensive Driving' sebagai acara bagi Minggu Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya 2018 yang telah dilancarkan sejak 1 Disember 2018 yang lalu. Taklimat 'Defensive Driving' ini telah diadakan di Kompleks Latihan dan Ujian Memandu Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) Sungai Akar.

Seramai 88 peserta telah hadir di taklimat berkenaan. Taklimat disampaikan oleh Yang Mulia, Awang Mahyuddin Haji Musa, Pelatih Defensive Driving dari Syarikat Latihan Megamas Sendirian Berhad. Turut hadir ialah Yang Mulia, Haji Osman bin Haji Jair, Pengerusi Insurans dan Takaful Brunei (BITA) selaku duta MKKJR, Yang Mulia, Haji Joharry bin Haji Abdul Karim, Penolong Pengarah selaku Ketua Cawangan Kompleks Latihan dan Ujian Memandu JPD, Yang Mulia, Hj Mahmud bin Haji Idris, Timbalan Pengurus Besar Syarikat Latihan Megamas Sendirian Berhad, Pegawai-Pegawai serta kakitangan Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta Ahli-Ahli Sekretariat Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya.


Taklimat antara lain telah menekankan kepentingan mengenai amalan-amalan keselamatan dalam penggunaan jalan raya iaitu seperti mematuhi had laju; memasang tali pinggang keledar; topi keledar, memakai pakaian cerah (bersama reflektor) dan peralatan keselamatan yang lain bagi penunggang motosikal dan basikal; tidak memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah; tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu; dan sentiasa memastikan tayar kenderaan dalam keadaan baik.


Acara ini juga diselajurkan dengan 'Road Safety Pledge' bagi semua peserta yang hadir. 'Road Safety Pledge' adalah kempen bagi pengguna-pengguna jalan raya membuat ikrar dalam sama-sama menjaga keselamatan jalan raya. Orang ramai adalah dialu-alukan untuk ikut serta membuat ikrar menjaga keselamatan jalan raya melalui laman sesawang: https://bruneiroadsafetypledge.com/


Attachments