Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Isnin, 18 Januari 2019 - Majlis Penyerahan Sijil Anugerah Biasiswa Trafik Udara

Seramai lapan orang mahasiswa dan mahasiswi pengambilan kedua telah dianugerahkan biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menjalani latihan sebagai Pegawai Trafik Udara.

Penyampaian sijil biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, selaku tetamu kehormat majlis berkenaan. Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Penerbangan Awam, diadakan di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Skim biasiswa Khas Pegawai Trafik Udara ini adalah di bawah jalinan kerjasama antara Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan. Skim ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha-usaha yang diambil oleh Jabatan Penerbangan Awam dalam memastikan perhidmatan pengangkutan udara yang selamat dan efisien di Negara Brunei Darussalam.

Perkhidmatan trafik udara merupakan elemen penting dalam perkhidmatan pengangkutan udara. Sebagai langkah untuk memastikan perkhidmatan trafik udara di negara ini adalah sejajar dengan matlamat pengangkutan yang telah dirancang maka, sumber tenaga manusia khususnya untuk perkhidmatan trafik udara adalah merupakan antara fokus yang diutamakan. Selaras dengan matlamat tersebut, Jabatan Penerbangan Awam telah dan sedang giat berusaha menyediakan pegawai-pegawai trafik udara yang mencukupi.

Untuk mendapatkan pegawai trafik udara yang berkelayakan setiap pegawai perlu menjalani program latihan trafik udara khusus. Jangka masa program latihan berkenaan bergantung kepada kebolehan individu. Selain latihan teori, setiap pegawai juga perlu menjalani latihan amali disamping menjalani peperiksaan bertulis dan ujian kecekapan.

Program ini akan membekalkan pemimpin-pemimpin sumber tenaga pengurusan dan tenaga pengajar perkhidmatan trafik udara di Jabatan Penerbangan Awam.

Penerima-penerima anugerah biasiswa pengambilan ke dua ini akan mengikuti dua fasa program latihan selama setahun iaitu enam bulan di Akademi Penerbangan Awam Malaysia (MAVA) dan enam bulan lagi bagi mengikuti latihan dalam negeri.

Peserta-peserta yang berjaya mendapatkan lesen dalam tempoh yang ditetapkan akan ditawarkan jawatan dalam Bahagian Perkhidmatan Trafik Udara di Jabatan Penerbangan Awam.

Peserta-peserta Skim Biasiswa Pegawai Trafik Udara pengambilan pertama telah sempurna menamatkan kesemua keperluan latihan. Pada masa ini peserta-peserta berkenaan sedang dalam proses melengkapkan dan memenuhi syarat perlesenan dan perundangan.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Yang Mulia Dr. Haji Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi), Kementerian Pendidikan; Yang Mulia Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud Bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Abdul Ghani bin Haji Othman, Pemangku Pengarah Penerbangan Awam. Juga hadir Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Jabatan dan Pihak-Pihak Berkuasa, Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan di bawahnya, Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Pendidikan serta ahli keluarga peserta-peserta skim biasiswa yang dijemput.

Attachments