Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 28 Mac 2019 - Menteri Pertahanan Kedua dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menghadiri Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi yang Ke-15

LANGKAWI, MALAYSIA, SELASA, 26 MAC 2019Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA '19) yang ke-15 yang diadakan daripada 26 sehingga 30 Mac 2019 di Mahsuri International Exhibition Centre, Langkawi telah dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

 

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Pertahanan Kedua telah menghadiri LIMA '19 di atas undangan Yang Berhormat Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertahanan Malaysia. Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga turut menghadiri LIMA '19 di atas jemputan  Yang Berhormat Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia.  Kedua – dua Yang Berhormat Menteri mengetuai rombongan masing – masing untuk menghadiri LIMA '19 pada 26 Mac 2019.

 

Turut hadir bersama Menteri Pertahanan Kedua ialah Brigedier Jeneral (Bersara) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat, Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei dan Kepten Haji Othman bin Haji Suhaili, Timbalan Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei.

 

Majlis pembukaan LIMA '19 telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 26 Mac 2019 dengan bertemakan 'Defence and Commercial Connecting Intelligence '. Pameran pertahanan dan komersial yang dianjurkan setiap dua tahun ini telah disertai oleh delegasi-delegasi pertahanan dan komersial antarabangsa yang mempamerkan pelbagai produk pertahanan maritim dan aeroangkasa serta produk-produk komersial dan teknologi. Ianya juga berperanan sebagai landasan bagi angkatan pertahanan menilai keupayaan pertahanan.

 

Semasa lawatan tersebut, kedua-dua Yang Berhormat Menteri telah mengadakan pertemuan dua hala secara berasingan bersama dengan rakan sejawat dalam bidang masing-masing.

 

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua telah mengadakan perjumpaan dengan Yang Berhormat Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertahanan Malaysia. Manakala, Brigedier Jeneral (Bersara) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam juga telah membuat perjumpaan dua hala bersama Yang Berbahagia Dato Halimi bin Abd Manaf, Ketua Setiausaha Pertahanan Kementerian Pertahanan Malaysia. Semasa perjumpaan tersebut, kedua-dua belah pihak mengesahkan hubungan dua hala yang baik diantara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, dan juga membincangkan bidang-bidang yang berpotensi untuk kerjasama pertahanan.

 

Di sesi lain pula, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga mengadakan perundingan dua hala bersama dengan Yang Berhormat Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia. Turut hadir semasa perundingan dua hala tersebut ialah Tuan Yang Terutama Dato' Paduka Haji Alaihuddin Bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato' Seri Utama Haji Awang Mohd Taha, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan  Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Malaysia. Semasa perundingan dua hala berkenaan, kedua-dua belah pihak membincangkan mengenai memperkukuhkan bidang dan usaha kerjasama dalam bidang lintas batas pengangkutan darat, udara dan maritim bagi kedua buah negara.  

 


Attachments