Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 28 Mac 2019 - Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, Sembahyang Fardu Asar dan Membaca Ratib Al-Attas

​Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKKJR) mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Ratib Al-Attas pada petang ini, bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam.


Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas ini merupakan acara bulanan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya yang diadakan khusus untuk memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya negara ini, terutamanya pengguna-pengguna jalan raya, sentiasa diberikan perlindungan dari kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini. Disamping itu juga, acara ini merupakan usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha-usaha dan perancangannya kearah meningkatkan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan semua. 

Hadir di majlis tersebut ialah Pemangku Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan Negara Brunei Darussalam. 

Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, selaku Timbalan Pengerusi II MKKJR;  Awang Haji Abdul Manap bin Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, selaku Ahli MKKJR; Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perkembangan) selaku Setiausaha MKKJR; serta Ahli-ahli MKKJR; Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta agensi-agensi yang berkepentingan seperti Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Jabatan Polis Diraja Brunei. 

Dalam kesempatan ini, MKKJR terus menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk memulakan setiap perjalanan dengan doa disamping meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika memandu di jalan raya serta mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah. 

Pemandu-pemandu juga terus diseru untuk sentiasa mementingkan keselamatan serta mengamalkan pemakaian tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan serta tanda-tanda isyarat lalulintas yang dipamerkan demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.


Disediakan oleh:
Unit Perhubungan Korporat
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam


Attachments