Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 26 September 2019 - Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Sembahyang Fardhu Asar dan Membaca Ratib Al-Attas bagi Memohon Perlindungan dari Bahaya Kemalangan dan Nahas Jalan Raya

Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, Solat Fardhu Asar dan Ratib Al-Attas pada petang ini, bertempat di Masjid Mohammed Bolkiah, Kampong Serusop, Jalan Muara.

Majlis ini merupakan acara bulanan MKKJR yang diadakan khusus untuk memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya negara ini, terutamanya pengguna-pengguna jalan raya, sentiasa diberikan perlindungan dari kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini. Disamping itu juga, acara ini merupakan usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha-usaha dan perancangannya kearah meningkatkan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan semua.

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir ialah Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi dan Korporat).

Majlis juga turut dihadiri oleh Awang Haji Osman bin Haji Md Jair, Pengerusi Persatuan Insurans dan Takaful (BITA) selaku Ambassador MKKJR; Ahli-ahli MKKJR; Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta agensi-agensi yang berkenaan; dan guru-guru serta penuntut-penuntut dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakillah Hayatul Bolkiah, Kampong Serusop, Jalan Muara.

Dalam kesempatan ini, MKKJR terus menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk memulakan setiap perjalanan dengan doa disamping meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika memandu di jalan raya serta mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah.

Pemandu-pemandu juga terus diseru untuk sentiasa mementingkan keselamatan serta mengamalkan pemakaian tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan serta tanda-tanda isyarat lalulintas yang dipamerkan demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

 

 

Disediakan oleh:

Unit Perhubungan Korporat
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam




Attachments