Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 21 Nov 2019 - Lawatan Kerja Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Tinjauan Keatas Kesiapsiagaan Keselamatan bagi Agensi-Agensi Dibawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Latihan-latihan tindakbalas kecemasan bagi insiden- insiden keselamatan sangat penting kearah memastikan agensi-agensi dibawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) tetap siapsiaga bagi menangani sebarang insiden kecemasan yang tidak diduga.

Kearah ini, satu Latihan Keselamatan Maritim (MSE) telahpun diadakan pada pagi ini di Jeti Terminal Penumpang Serasa di Serasa, Muara.

Sebagai persediaan bagi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Negara yang akan diadakan pada bulan Mac 2020 yang akan datang, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara telahpun dijemput untuk menyaksikan latihan tersebut.

Antara objektif utama latihan ini adalah untuk mendemonstrasikan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara kesiapsiagaan kecemasan dan krisis agensi-agensi seperti Autoriti Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dibawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi disamping menguji pelan kecemasan bagi menangani akibat-akibat sebarang situasi kecemasan. Latihan ini juga diadakan bagi meneliti prosedur-prosedur perhubungan bagi penyelamatan dan pemindahan penumpang-penumpang dlm sesebuah kejadian kecemasan. Inisiatif ini turut mendokong antara enam teras strategik dibawah Keselamatan dan Kesejahteraan seperti yang terkandung di dalam Pelan Strategik MTIC 2025 yang kemaskini bagi memastikan piawaian-piawaian keselamatan, kesiapsiagaan dan pematuhan dipastikan dalam kedua sektor pengangkutan dan infokomunikasi demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan bagi pengusaha dan lebih penting lagi, bagi pengguna dan orang ramai.
 
Hadir untuk menyaksikan latihan pada pagi ini bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang dijemput ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MPABD, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perkembangan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Antara agensi-agensi yang terlibat dalam latihan keselamatan ini ialah Jabatan Pasukan Polis Diraja Brunei (RBPF), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (RBAF), Pusat Kebangsaan Pengurusan Bencana (NDMC), Kementerian Kesihatan (MOH) dan agensi Kerajaan yang lain serta wakil-wakil dari sektor swasta.

Latihan simulasi yang diadakan melibatkan kapal Shuttle Hope yang berlepas dari Terminal Penumpang Serasa menuju ke Labuan. Kapal tersebut kemudiannya mengalami kegagalan enjin disebabkan oleh kebakaran. Dengan itu, kapal tersebut tidak berupaya untuk mengendalikan perjalanan dan mula hanyut kearah buoy SPM Hengyi dan didapati seorang krew kapal cedera. Ketua kapal Shuttle Hope segera menghubungi Perkhidmatan Trafik Perkapalan Muara (VTS) untuk memohon bantuan segera. VTS Muara setelah menerima panggilan tersebut mengaktivasikan protokol kecemasan yang disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri dan para jemputan.

Lawatan hari ini bagi menyaksikan latihan kecemasan maritim di Serasa ini merupakan lawatan pertama dalam rancangan yang disusun oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi untuk Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi memberikan tinjauan yang lebih dekat kepada inisiatif-inisiatif strategik seperti Keselamatan dan Kesejahteraan terutama sekali bagi orang ramai yang merupakan satu keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Memastikan kompetensi, keupayaan dan kesiapsiagaan dapat menjamin kredibiliti MPABD kearah menjamin keselamatan dan pengawalseliaan perairan Negara Brunei Darussalam.

 
Disediakan oleh:

Unit Perhubungan Korporat
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam


Attachments