Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Jumaat, 22 November 2019 - MESEJ TULAR MENGENAI PERLU ISI BORANG "INTERNATIONAL DRIVING PERMIT" JIKA HENDAK PERGI KE KOTA KINABALU ATAU SEMENANJUNG MALAYSIA

MESEJ TULAR MENGENAI PERLU ISI BORANG "INTERNATIONAL DRIVING PERMIT" JIKA HENDAK PERGI KE KOTA KINABALU ATAU SEMENANJUNG MALAYSIA


Berhubung dengan tularnya mesej melalui Aplikasi Media Sosial termasuk WhatsApp, yang menyatakan bahawa siapa-siapa yang akan pergi ke Kota Kinabalu atau Semenanjung Malaysia dikehendaki untuk memohon Permit Memandu Antarabangsa atau "International Driving Permit" maka Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dengan ini memaklumkan bahawa pihak JPD tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.      

Jabatan Pengangkutan Darat ingin menjelaskan bahawa di bawah  "1985 Agreement on the Recognition of Domestic Driving Licences" ditandatangani pada 09 Julai 1985 oleh negara-negara anggota ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam, maka rakyat dan penduduk di Negara ini yang hendak ke negeri jiran atau ke Semenanjung Malaysia adalah boleh menggunakan Lesen Memandu Negara Brunei Darussalam yang masih sahlaku atau sah tempohnya dan tidak perlu memohon Permit Memandu Antarabangsa atau International Driving Permit.

Jabatan Pengangkutan Darat ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana Aplikasi Media Sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu.   Di samping itu juga, JPD memohon mana-mana individu yang menerima mesej tular tersebut supaya menghentikan penyebarannya kerana boleh mengelirukan orang awam.  

Jabatan Pengangkutan Darat ingin mengingatkan bahawa menyebarkan makluman palsu dan tidak sahih kepada orang awam merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam mengikut Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 (Public Order Act, Chap 148) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh tiga (3) tahun atau denda B$3,000 jika sabit kesalahan.

Bagi sebarang maklumat yang memerlukan penjelasan lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam di talian 2451980/81/82 sambungan 107 atau 2423161, atau hadir ke Kompleks Latihan dan Ujian Memandu Litar, JPD, Sg Akar, pada waktu-waktu berkerja atau emel kepada info_ltd@land-transport.gov.bn.



HAJI ROZALY BIN HAJI SAIDON
Pengarah
Jabatan Pengangkutan Darat
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi



Attachments