Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Rabu, 15 Januari 2020 - Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2020, Negara Pintar Melalui Transfomasi Digital
​Inovasi merupakan salah satu elemen utama bagi merangsang pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Inovasi tidak terhad kepada ciptaan baharu. Ianya juga merangkumi bagaimana sesuatu ciptaan dapat menyelesaikan masalah atau menambahbaik penyelesaian dengan cara berbeza, dan bagaimana ciptaan dan idea-idea inovatif dapat menjana pendapatan, khususnya dalam bidang ICT.

Antara usaha yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dalam menggalakkan dan menyokong inovasi adalah melalui Anugerah Teknologi Info-komunikasi Brunei (BICTA). Ia adalah pertandingan ICT tahunan yang bertujuan untuk merangsang inovasi dan kreativiti dalam ICT di kalangan individu, pelajar dan perusahaan termasuklah perusahaan kecil dan sederhana. BICTA dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB). BICTA juga turut disokong oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Darussalam Enterprise (DARe) dan BruIPO.

Penyertaan BICTA bagi tahun ini telah dibuka dan diumumkan oleh pihak MTIC semasa sidang media yang diadakan di Aras 1, Auditorium, Bangunan Design & Technology, Anggerek Desa.  BICTA 2020 membawa tema "Negara Pintar Melalui Transformasi Digital" yang menggambarkan peralihan ke arah Negara Pintar dengan memberikan tumpuan kepada perkembangan teknologi baru untuk transformasi digital bagi masyarakat dan ekonomi. Bagi Negara Brunei Darussalam, langkah ini bertujuan untuk memanfaatkan teknologi baru dengan berkesan dan berinovatif bagi mencapai visi Wawasan Brunei 2035.

Hadir semasa sidang media tersebut ialah Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2020. Turut hadir ialah Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, cybersecurity, Strategi dan Korporat) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC); Awang Sheikh Haji Abas bin Sheikh Mohamad, Pengerusi InfoCom Brunei (IFB), selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2020; Awang Haji Jailani bin Haji Buntar, Pemangku Ketua Eksekutif AITI dan Pg Sarimah binti Pg Hj Abd Latiff, Ketua Hakim BICTA 2020.

Dengan objektif untuk menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam ICT, BICTA 2020 membukakan  tiga (3) kategori iaitu:
 
1. Kategori Sekolah – dibuka untuk individu atau kumpulan pelajar pada Tahun 7 hingga Tahun 11;

2. Kategori Pengajian Tinggi – dibuka untuk individu atau kumpulan pelajar pada Tahun 12 hingga mahasiswa; dan

3. Kategori Industri ICT – dibuka untuk individu atau kumpulan, syarikat-syarikat dan agensi-agensi kerajaan.

Setiap pemenang untuk kategori di atas akan menerima hadiah wang tunai sebanyak B$3,000 (Sekolah), B$7,000 (Pengajian Tinggi) dan B$10,000 (Industri). Selain itu, BICTA 2020 juga akan mengetengahkan lima (5) Anugerah Khas iaitu Penyelidikan dan Pembangunan; Teknologi Big Data Analytics; Teknologi Artificial Intelligence (AI); Teknologi Internet of Things (IoT) dan Start-up.

Dalam ucapan semasa sidang media, Awg Haji Mohammad Nazri, Setiausaha Tetap MTIC, mengumumkan bahawa BICTA 2020 adalah tahun Anugerah Penaung Diraja yang memberi pengiktirafan kepada pemenang keseluruhan terbaik daripada kesemua kategori pertandingan tersebut dan anugerah tersebut akan disampaikan semasa Majlis Anugerah BICTA 2020 yang akan diadakan pada separuh akhir tahun ini nanti.  Penaung Diraja BICTA ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Sebagai persediaan untuk pertandingan BICTA 2020, Jawatankuasa Penganjur akan mengadakan BICTA Plus, iaitu program 'bootcamp' sebagai platform untuk peserta-peserta BICTA mendapatkan bimbingan daripada program-program khusus yang dikendalikan oleh pelatih-pelatih pakar. BICTA Plus merangkumi pelbagai topik seperti teknologi baharu, ideation dan validation, perancangan perniagaan, harta intelek dan pembangunan produk yang sedia untuk dipasarkan. Program ini memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran serta meningkatkan kualiti produk sebelum bersaing di pertandingan tersebut.

BICTA merupakan komponen di bawah Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards di mana kualiti dan kategori yang dibukakan adalah selaras dengan piawaian APICTA. Penyertaan Negara Brunei Darussalam di APICTA sejak 2008 telah berjaya meraih dua (2) kemenangan dan dua puluh tujuh (27) anugerah merit setakat ini. Pada tahun ini, pemenang-pemenang BICTA akan mewakili Negara Brunei Darussalam di APICTA yang akan diadakan pada November 2020 di Pulang Pinang, Malaysia.

Semua perusahaan, sekolah menengah, institut pengajian tinggi, agensi Kerajaan serta individu tempatan yang mempunyai produk dan perkhidmatan ICT untuk dipertandingkan adalah dialu-alukan untuk menyertai BICTA 2020. Maklumat lanjut mengenai BICTA dan borang permohonan boleh didapati di laman web BICTA di www.bicta.gov.bn. Tarikh akhir penghantaran penyertaan ialah pada 31hb Ogos 2020.

Untuk maklumat lanjut, pihak-pihak yang berminat boleh menghubungi Urusetia BICTA melalui emel bicta@aiti.gov.bn atau menghubungi talian 2323232.

 



Attachments