Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Hari Khamis, 16 Julai 2020 - Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN dan China mengenai COVID-19 (ASEAN-China Transport Ministers' Special Meeting on COVID-19)

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) bagi tahun 2020 telah mempengerusikan bersama Tuan Yang Terutama Li Xiaopeng, Menteri Pengangkutan Republik Rakyat China bagi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN dan China mengenai COVID-19 (ASEAN-China Transport Ministers’ Special Meeting on COVID-19) yang diadakan pada 16 Julai 2020 secara ‘video conference’.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN dan China mengenai COVID-19 diadakan dengan objektif bagi memastikan kestabilan dan keterbukaan sistem pengangkutan serta logistik antarabangsa dalam pemulihan ekonomi semasa menangani krisis penularan wabak COVID-19. Mesyuarat Khas ini telah dihadiri oleh MenteriMenteri Pengangkutan ASEAN dan Republik Rakyat China dan turut disertai oleh Setiausaha Agung ASEAN.

Semasa Mesyuarat Khas tersebut, Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN dan Republik Rakyat China serta Setiausaha Agung ASEAN bertukar-tukar pendapat serta berkongsi pengalaman di sektor pengangkutan dalam mendokong usaha membendung penularan wabak COVID-19 dan untuk mengukuhkan kerjasama dalam perkembangan kesalinghubungan sektor pengangkutan serantau.

Dalam ucapan pembukaan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Bersama, beliau menyentuh mengenai komitmen Ketua-Ketua Negara ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 dalam melaksanakan dasar yang disasarkan (targeted policies) untuk menangani cabaran pandemik COVID-19 di rantau ini dan dunia. Dalam pada itu, kesalinghubungan pengangkutan merupakan salah satu sektor yang sangat terjejas oleh wabak tersebut. Mengikut fakta yang dikongsikan oleh beberapa buah badan antarabangsa, terdapat penurunan sebanyak 48 - 61% bagi penumpang udara, kerugian berjumlah USD 97 billion bagi hasil lapangan-lapangan terbang, penuruanan sebanyak 25% dalam perkapalan, dan penurunan hasil sebanyak 40% bagi pengendali kargo pengangkutan darat. Sehubungan ini, kerjasama antara negara-negara di peringkat rantau dan antarabangsa adalah penting dalam menangani dan mengurangkan pandemik ini.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga telah mengongsikan usaha dan inisiatif dalam sektor pengangkutan yang dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam dalam menangani wabak COVID-19. Beliau turut mengongsikan mengenai bantuan kepada pengendali-pengendali perkhidmatan pengangkutan, memanfaatkan teknologi terkini, serta usaha pemulihan (recovery efforts) bagi sektor pengangkutan.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga menekankan peranan sektor pengangkutan dalam menghadapi penularan wabak COVID-19. Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan perlaksanaan program dan inisiatif di bawah rangka kerjasama pengangkutan ASEAN-China ke arah mendokong usaha-usaha bagi mencapai matlamat Pelan Strategik Pengangkutan ASEAN. Kerjasama serantau adalah penting untuk mengukuhkan usaha masing-masing, bukan sahaja dalam mengatasi cabaran berikutan penularan COVID-19, tetapi juga untuk perkembangan sosial dan ekonomi yang berdaya tahan.

Hasil utama Mesyuarat Khas adalah pengesahan satu Kenyataan Bersama Menteri-Menteri (Joint Ministerial Statement) bertajuk ‘Ensuring Smooth Transport and Logistics to Combat COVID-19 and Reactivate the Economy’ oleh Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN dan Republik Rakyat China. Dalam kenyataan bersama itu, Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN-China mengesahkan komitmen meningkatkan kejasama yang sedia ada termasuk perihal memudahcara aktiviti logistik dalam penghantaran, pembekalan dan pembuatan barangan keperluan dalam menangani wabak COVID-19. Kenyataan Bersama itu juga menggalakkan inisiatif meningkatkan kerjasama dan penyelarasan bersama organisasi berbilang hala dibawah rangkakerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations), termasuk World Health Organization, International Maritime Organization, International Civil Aviation Organization dan pada masa yang sama, menekankan kepatuhan kepada piawaian-piawaian antarabangsa untuk kemudahan aktiviti logistik dan pengangkutan. Selain itu, Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN-China juga bersetuju untuk meningkatkan pertukaran dan perkongsian maklumat, pengetahuan dan amalan terbaik bagi meningkatkan kemampuan pengendalian pandemik di setiap tempat merentas sempadan darat, pelabuhan dan lapangan terbang sambil memastikan langkah berjaga-jaga kesihatan terjamin.

Turut hadir semasa Mesyuarat Khas tersebut adalah Yang Mulia Awang Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) selaku Pengerusi Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN (ASEAN Senior Transport Officials Meeting – STOM) dan Ketua STOM bagi Negara Brunei Darussalam, berserta pegawai-pegawai kanan daripada MTIC dan Jabatan- Jabatan serta Pihak Berkuasa dibawahnya.



Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi,
Negara Brunei Darussalam


Attachments