Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 13 Ogos 2020 - Majlis Solat Sunat Hajat, Solat Fardhu Asar Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) mengadakan Majlis Solat Sunat Hajat, Solat Fardhu Asar Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas pada petang ini, bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).

Majlis ini diadakan bagi memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya Negara Brunei Darussalam sentiasa diberikan perlindungan agar terhindar daripada bala dan segala penyakit khasnya wabak COVID-19, serta khusus untuk memohon keselamatan bagi semua pengguna jalan raya agar terpelihara dari sebarang kemalangan. Acara ini juga merupakan salah satu usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha-usaha dan perancangannya kearah meningkatkan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan semua.

Hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, ahli-ahli MKKJR serta Ketua Urusetia MKKJR, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta Pihak-Pihak Berkuasa yang berkenaan.



Solat Sunat Hajat, Solat Fardhu Asar Berjemaah dan bacaan Ratib Al-Attas diketuai oleh Yang Mulia Pg Haji Mohd Ismail bin Pg Haji Tuah; Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).

Majlis ini telah diadakan dengan mengambil langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 yang masih dikuatkuasakan mengikut nasihat dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.


Dalam kesempatan ini, MKKJR terus menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk sentiasa memulakan setiap perjalanan dengan doa disamping meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika memandu serta mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah.  Pemandu-pemandu juga terus diseru untuk sentiasa mementingkan keselamatan serta mengamalkan pemakaian tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan serta tanda-tanda isyarat lalulintas yang dipamerkan demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Disediakan oleh:
Unit Perhubungan Korporat
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam



Attachments