Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Rabu,30 September 2020 - Kenyataan Media Pelaksanaan Penggunaan Pelekat Pas Kenderaan Bagi Mengawal Kenderaan-Kenderaan Luar Negara Yang Berada Di Negara Brunei Darussalam Semasa Pandemik COVID-19
1. Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) melalui Jabatan Pengangkutan Darat dan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain seperti pihak Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Pasukan Polis Di Raja Brunei, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, dengan nasihat dan arahan dari Kementerian Kesihatan, akan melaksanakan penggunaan Pelekat Pas Kenderaan bagi mengawal kenderaan-kenderaan luar negara yang berada di negara ini semasa pandemik COVID-19 yang masih berlaku ketika ini.

2. Pelekat Pas Kenderaan luar negara ini akan diperkenalkan bagi mengenalpasti seperti berikut:

a) Pertama, kenderaan-kenderaan luar negara yang telah mendapat kebenaran pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk menetap di Negara Brunei Darussalam; dan,

b) Kedua, kenderaan-kenderaan luar negara yang memasuki Negara Brunei Darussalam bagi tujuan pengangkutan barangan-barangan pertanian, agrimakanan dan perikanan dengan kebenaran dari Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (MPRT).





3. Bagi kenderaan-kenderaan yang mendapat kebenaran Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk menetap di Negara Brunei Darussalam, pas kenderaan PELAWAT akan diberikan, manakala bagi kenderaan -kenderaan komersial atas kebenaran Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, pas kenderaan KOMERSIAL akan dikeluarkan.

4. Penggunaan Pelekat-pelekat Pas Kenderaan ini akan mula dikuatkuasakan pada hari Khamis, 01hb Oktober 2020 dengan memberikan tempoh “grace period” selama dua (2) minggu.

5. Permohonan Pelekat Pas Kenderaan Daftar Luar Negara boleh dipohonkan secara dalam talian (online) melalui aplikasi mudah alih TransportBN versi Android dan bagi versi iOS akan tersedia pada masa terdekat ini. Orang ramai juga boleh memohon melalui laman sesawang Jabatan Pengangkutan Darat iaitu www.jpd.gov.bn.  Permohonan bagi pelekat-pelekat pas kenderaan tersebut akan mengambil masa tiga (3) hari dengan kadar bayaran bagi setiap permohonan pelekat-pelekat Pas Kenderaan luar negara sebanyak $30 ringgit Brunei untuk setiap kenderaan bagi tempoh tiga (3) bulan.

6. Tempat pengambilan pelekat-pelekat pas kenderaan luar negara adalah di kaunter-kaunter yang dikhaskan di Kompleks Latihan dan Ujian Memandu Litar, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), di Sungai Akar, Bandar Seri Begawan.

7. Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui agensi-agensi penguatkuasaan, dengan nasihat dan arahan dari Kementerian Kesihatan, tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang tidak mematuhi peraturan berkenaan dimana adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh membawa denda sehingga $10,000 ringgit Brunei atau penjara sehingga tempoh 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

8. Dalam pada itu, dimaklumkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) jika didapati mana-mana individu membuat dokumen palsu atau sebahagian daripadanya.

9. Aduan daripada orang ramai mengenai mana-mana kenderaan asing yang tidak mempunyai Pelekat Pas Kenderaan dan yang didapati membuat perhentian atau persinggahan semasa berada di negara ini boleh diajukan kepada talian cemas pihak Pasukan Polis Diraja Brunei 993 untuk siasatan dan tindakan yang bersesuaian.  

10. Akhir sekali saya bagi pihak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan agensi-agensi dibawahnya ingin memohon kerjasama semua pihak untuk sentiasa memberikan kerjasama dalam menjalankan tanggungjawab sosial bagi menyokong usaha Kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 mengikut garispanduan dan nasihat Kementerian Kesihatan.


Sekian. Terima kasih.

 

 



Attachments