Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Sabtu, 31 Julai 2021 - Aktiviti Penanaman Pokok bagi Mendukung Protokol Hijau Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Di bawahnya

​Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan sokongan dari Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan pada pagi tadi telah mengadakan acara Penanaman Pokok bagi mendukung Protokol Hijau. Acara tersebut diadakan di dua tempat iaitu di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas dan di Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. 

Turut hadir di kedua-dua acara tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Lebih enam ratus (600) anak pokok antaranya dari jenis Sepetir, Penaga Laut, Ruruan, Nyatoh, Tabebuia Rosea, dan Cassia Fistula telah ditanam di kawasan Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas dan di kawasan bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.



Selaras dengan perlaksanaan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, acara penanaman pokok ini adalah bagi mendukung Garis Penduan Protokol Hijau yang telah dirasmikan oleh Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam bersempena dengan Tahun Tindakan Iklim Negara Brunei Darussalam. Garis Panduan Protokol Hijau ini merupakan garis panduan ke arah mengurangkan jejak karbon di premis-premis Kerajaan dengan mengamalkan langkah-langkah penjimatan melalui tujuh (7) elemen utama iaitu Penggunaan Tenaga, Penggunaan Air, Penggunaan Kertas, Penggunaan Plastik, Pengurusan Pembuangan Sisa, Pengurusan Acara Rasmi, dan Penanaman Pokok.

Acara didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa oleh Yang Mulia Imam Haji Mohd Ashraf bin Haji Bujang, Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei diikuti dengan sesi pemanasan badan dan aktiviti berjalan kaki di kawasan Taman Biodiversity dan seterusnya aktiviti penanaman pokok yang dimulakan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Aktiviti penanaman pokok tersebut turut disertai oleh Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info- Komunikasi, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Agensi serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Jabatan-Jabatan dan Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.


Disediakan Oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam



Attachments