Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Rabu, 1 September 2021 - Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi memberikan ucapan semasa ASEAN-UK Digital Innovation Partnership Symposium secara dalam talian



Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Negara Brunei Darussalam telah menyampaikan ucapan secara pre-recorded semasa ASEAN-UK Digital Innovation Partnership Symposium pada 01hb September 2021 yang diadakan secara dalam talian.

Dengan menumpukan kepada kolaborasi ASEAN-UK dalam mendokong innovasi digital, Simposium berkenaan adalah kerjasama antara Kerajaan UK, UK-ASEAN Business Council, Sekretariat ASEAN dan ASEAN Business Advisory Council.  Dengan tema “Great Partnerships are committed to boosting trade and investment”, Simposium tersebut telah dibuka rasmi dengan ucapan pembukaan dari Natalie Black CBE - Her Majesty’s Trade Commissioner for Asia Pacific dan Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi, Setiausaha Agung ASEAN.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyampaikan ucapan secara pre-recorded didalam satu sesi bersama Puan Yang Terutama Caroline Dinenage MP, Minister of State for Digital and Culture, Department for Digital, Culture, Media and Sport, UK.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi di dalam ucapan beliau antara lain mengongsikan kepentingan teknologi digital dalam usaha untuk menuju ketahanan, pemulihan dan kemampanan dari kesan impak COVID-19. Transformasi digital semakin mempengaruhi semua sektor dan aktiviti ekonomi. Sehubungan itu, terdapat keperluan untuk menetapkan keutamaan antaralainnya dalam menaiktaraf infrastruktur, meningkatkan akses, mempromosikan penggunaan teknologi digital dan meningkatkan perkembangan modal insan untuk memastikan kesediaan dak kesiapsiagaan ke arah transformasi digital dan inovasi.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut mengongsikan bahawa digitalisasi telah dikenal pasti sebagai salah satu Teras Strategik di bawah kepengerusian ASEAN 2021. Selaras dengan tema ASEAN 2021, We Care, We Prepare, We Prosper, Teras Strategik bagi Digitalisasi memberikan keutamaan terhadap membina ASEAN yang berdaya tahan dengan memanfaatkan teknologi baharu dan digitalisasi untuk menyediakan e-commerce dan digital ecosystem yang selaras, selamat dan terjamin.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi seterusnya menekankan bahawa keutamaan dan strategi dasar Negara Brunei Darussalam dalam digitalisasi adalah berpandukan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dengan visi Negara Pintar melalui Transformasi Digital (Smart Nation through Digital Transformation). Inovasi juga turut ditekankan dengan pembentukan Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (CREATES) pada tahun ini.

Dalam masa yang sama, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga mengongsikan bahawa transformasi digital dan inovasi memerlukan  keselamatan siber yang sangat penting untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin agar perniagaan dan masyarakat berupaya untuk maju kehadapan. Terdapat juga keperluan untuk memastikan pembangunan modal insan berupaya untuk memanfaatkan peluang dari transformasi digital.

Program Simposium tersebut turut mengandungi perbincangan interaktif bersama ahli panel mengenai aliran, cabaran dan peluang masa depan dalam transformasi digital, e-commerce dan digital trade facilitations serta urustadbir digital (digital governance) dan piawaian dalam usaha mempercepatkan pertumbuhan perniagaan. 

Simposium ini seterusnya melancarkan ASEAN-UK Digital Innovation Partnership dan merupakan satu wadah dikalangan bagi pemimpin dari sektor kerajaan dan swasta dalam sektor digital dan bukan digital serantau untuk berkongsi amalan terbaik mengenai digital dan teknologi - termasuk digitalisasi dalam perkhidmatan awam.

Simposium berkenaan juga disertai oleh Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Simposium berkenaan juga dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI).

Disediakan oleh:-
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
01hb September 2021



Attachments