Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Selasa, 21 September 2021 - Statistical Release

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) melalui kerjasama dengan Jabatan-jabatan serta agensi dan pihak-pihak berkuasa di bawahnya telah menghasilkan perangkaan yang berkaitan dengan perkembangan sektor pengangkutan dan infokomunikasi di Negara Brunei Darussalam bagi tempoh tahun 2016 hingga suku kedua tahun 2021.  Sejak penularan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020, sektor pengangkutan di negara ini juga turut terjejas dan menunjukkan tren penurunan yang amat ketara berbanding dari tahun-tahun sebelumnya.  Manakala, bagi sektor infokomunikasi pula, secara keseluruhannya, telah menampilkan peningkatan yang positif meskipun di sebalik cabaran yang dihadapi oleh negara ini akibat pandemik tersebut.

 

Sektor Pengangkutan

Pengangkutan bas awam telah mengalami penurunan keseluruhan dari segi kadar jumlah penumpang sehingga 36 peratus dari tahun 2019.  Ini adalah bagi mematuhi langkah-langkah pengawalan bagi sama-sama membendung penularan COVID-19 dan juga menjamin kesihatan serta keselamatan para penumpang.  Manakala, permohonan Lesen Memandu dan Lesen Kenderaan dalam talian menunjukkan peningkatan sebanyak 215 peratus dari tahun sebelumnya selaras dengan inisiatif Jabatan Pengangkutan Darat untuk menaiktarafkan penggunaan perkhidmatan tersebut. 

Dari segi Pengangkutan Udara yang merangkumi perkhidmatan pesawat, pergerakan penumpang dan kargo turut mengalami kemerosotan akibat dari pandemik COVID-19 setelah empat tahun (2016-2019) mengalami pertumbuhan yang positif.  Perangkaan menunjukkan tahun 2019 adalah tahun yang paling tinggi bagi ketiga-tiga perkhidmatan pengangkutan udara.  Sebagai langkah-langkah keselamatan bagi pengawalan COVID-19, Negara Brunei Darussalam telah menghadkan penumpang masuk dan keluar dari negara ini.  Oleh itu, pergerakan penumpang di negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 80.7 peratus bagi penumpang yang masuk dan 81.2 peratus bagi penumpang yang keluar jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.  Pada masa yang sama, perangkaan mencatatkan jumlah pergerakan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei mengalami penurunan sebanyak 69 peratus pada tahun 2020.  

Bagi pergerakan kargo masuk, catatan tertinggi adalah pada tahun 2019 sebanyak 14,500,107 Kilogram manakala kargo keluar mencatatkan tahun 2018 yang tertinggi sebanyak 10,445,281 Kilogram.  Akan tetapi, jumlah kargo masuk dan keluar telah menurun semasa pandemik COVID-19 melanda pada tahun lepas.

Perangkaan bagi sektor Pengangkutan Laut melibatkan jumlah kontena Kapal (20 foot Equivalent Unit –TEUs), kargo dan kapal-kapal yang melabuh di Pelabuhan Muara. Penuruan yang paling ketara adalah jumlah kapal penumpang dan ini adalah disebabkan oleh pengawalan yang dibuat bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 serta pengurangan operasi perjalanan.  Akan tetapi, bagi "car carrier" yang melalui Pelabuhan Muara menunjukkan peningkatan setiap tahun iaitu dari jumlah 52 hingga 57.  Berhubung dengan jumlah transhipment, perbandingan bagi tahun 2020 dan tahun ini sehingga bulan Ogos telah menunjukkan perbezaan yang amat ketara iaitu meningkat dari jumlah 8 hingga 326 TEUs.

 

Perkhidmatan Kajicuaca

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam terus memainkan peranan penting dari segi mengeluarkan amaran cuaca kepda orang awam di negara ini termasuk untuk kegunaan di sektor penerbangan seperti saranan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).  Sejak tahun 2014 hingga bulan Ogos 2021, sebanyak 280 amaran bagi trafik udara telah dikeluarkan dan tahun 2017 mencatatkan pengeluaran amaran tertinggi sebanyak 83 amaran.  Manakala, sebanyak 1,836 amaran dikeluarkan kepada orang awam bagi tempoh tahun 2011 hingga Jun 2021 dan catatan tertinggi adalah pada tahun 2018 iaitu sebanyak 290 amaran.

 

Sektor Infokomunikasi

Dalam Sektor Infokomunikasi pula, landskap pengguna bagi perkhidmatan telekomunikasi telah berubah pada tahun 2020 bertepatan dengan pengenalan Syarikat UNN dan seterusnya impak dari COVID-19 telah menunjukkan peningkatan secara kumulatif jika dibandingkan dari tahun 2016 sehingga Ogos 2021.  Pada tahun 2020, pelanggan "Mobile Broadband" berkurangan sebanyak 16.5 peratus manakala pelanggan "Fixed Broadband" telah meningkat sebanyak 30.7 peratus.  Antara faktor-faktor yang menyebabkan perubahan ini adalah peningkatan dalam penggunaan internet untuk pembelajaran sekolah dan bekerja dari rumah ("work from home") serta promosi produk dari syarikat-syarikat telekomunikasi.

Tercetusnya gelombang pertama COVID-19 pada tahun 2020 telah memberi impak yang positif kepada peningkatan drastik penggunaan portal GOV.BN.  Dari perangkaan, sebanyak 27,176 pengguna yang telah mendaftar dan 16,268 daripadanya telah diaktifkan.  Ini menunjukkan petanda yang menggalakkan bagi terus mendukung transformasi digital perkhidmatan kerajaan secara berperingkat.  Sejajar dengan perkhidmatan kerajaan lainnya, tahun 2020 juga mencatatkan rekod panggilan tertinggi melalui Talian Darussalam (TD) 123 sebanyak 441,589 berbanding hanya 336,669 panggilan pada tahun 2019.  Perangkaan sehingga bulan Ogos 2021 menunjukkan sebanyak 321,341 panggilan telah dibuat dan berkemungkinanan ianya akan terus meningkat kerana tercetusnya gelombang kedua COVID-19 di negara ini.

Perkhidmatan Pos dan Kurier turut terjejas berikutan penularan COVID-19 yang mana telah mencatatkan penurunan drastik bagi paket kecil bermula pada tahun 2020 iaitu sebanyak 65% dari tahun sebelumnya.  Jumlah bungkusan yang terendah ialah sebanyak 5,254 pada tahun 2020 dan penurunan bagi perkhidmatan EMS sebanyak 49% dari tahun 2016 ke tahun 2020.

 

Keselamatan Siber

Merujuk perangkaan mengenai keselamatan siber, dari bulan Januari sehingga Ogos 2021, terdapat sejumlah 77 kes yang berkaitan dengan jenayah siber di mana 75 kes adalah berkaitan dengan "Cyber Enabled Crime" manakala 2 kes berupa "Cyber Dependent Crime".  Selain itu, sebanyak 302 laporan mengenai insiden siber telah diterima melalui panggilan telefon di talian 2458001, whatsapp 7170766 atau borang dalam talian melalui laman sesawang https://www.csb.gov.bn/.  Setakat ini, bulan Ogos 2021 yang bertepatan dengan gelombang kedua COVID-19 telah mencatatkan penerimaan laporan paling tertinggi iaitu sebanyak 59 laporan. 


Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Attachments