Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Ahad, 17 Oktober 2021 - Persidangan United Nations Global Sustainable Transport kali ke-2 14 hingga 16 Oktober 2021
1. Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Awang Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, telah menghadiri Persidangan United Nations Global Sustainable Transport kali ke-2 yang diadakan melalui sidang video selama tiga (3) hari pada 14 hingga 16 Oktober 2021.

2. Dengan tema “Sustainable Transport, Sustainable Development”, Persidangan United Nations Global Sustainable Transport kali ke-2 ini telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Xi Jinping, Presiden Republik Rakyat China dan Tuan Yang Terutama António Guterres, Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari Isnin, 14 Oktober 2021.  Mempengerusikan Persidangan ini adalah Tuan Yang Terutama Li Xiaopeng, Menteri Pengangkutan, Republik Rakyat China.



3. Persidangan tiga (3) hari ini telah membincangkan dalam enam (6) sesi perkara-perkara utama yang menumpukan kepada tema persidangan iaitu (i) kemiskinan, mata pencarian dan pertumbuhan; (ii) pembangunan serantau; (iii) kesalinghubungan, termasuk kawasan luar bandar dan negara dalam keadaan khas; (iv) pembangunan hijau: mitigasi perubahan iklim, adaptasi dan ketahanan; (v) dasar untuk pengangkutan yang mampan; dan (vi) bandar-bandar mampan.  Forum-Forum Khas juga diadakan bagi membincangkan penggunan sains, teknologi dan inovasi serta peranan sektor swasta dalam memajukan pengangkutan yang mampan dan berdayatahan.

4. Satu Forum Menteri-Menteri membincangkan “Sustainable transport, poverty, eradication and economic recovery – direct exchange of views and sharing of national experiences” telah diadakan pada 15 Oktober 2021 (Hari Kedua) yang melibatkan kenyataan menteri-menteri dari 22 buah negara, termasuk dari Negara Brunei Darussalam.

5. Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam ucapannya semasa sesi forum menteri-menteri tersebut telah mengongsikan aspirasi Negara Brunei Darussalam bagi mencapai pengangkutan yang mampan melalui tiga komponen utama iaitu: -

(i) Peningkatan keselamatan jalan raya yang progresif. Ke arah usaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya, satu Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam 2025 telah dilancarkan pada bulan Disember 2020 dengan visi untuk mencapai sifar kematian kemalangan jalan raya menjelang tahun 2025.  Ianya mengandungi senarai strategi dan inisiatif yang komprehensif termasuk menggunakan teknologi dalam menangani isu-isu keselamatan jalan raya;

(ii) Menyusun semula sistem pengangkutan awam yang juga mengambil kira kawasan-kawasan yang terpencil yang mungkin mempunyai akses terhad kepada kesalinghubungan dalam komunikasi dan pengangkutan; dan

(iii) Untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara pintar dan bandar pintar melalui inovasi, penyelidikan dan pembangunan yang diungkayahkan oleh Council for Research and Advancement in Technology and Science (CREATES).

6. Yang Berhormat Menteri juga menyentuh bahawa melalui pengurusan pengangkutan, ianya membolehkan untuk memahami lebih lanjut akan trend dan corak baru yang dapat berfungsi sebagai input utama kepada penggubalan dasar pengangkutan di Negara Brunei Darussalam.  Antara dasar negara yang sedang ditangani termasuklah inisiatif ke arah mengurangi “carbon footprint” dan menggalakkan penggunaan pengangkutan pelbagai guna.  Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga berharap melalui persidangan ini negara-negara yang mengikuti forum berkenaan akan dapat mengongsikan pengalaman dan bertukar-tukar pendapat dan idea dalam menangani isu-isu dan cabaran khususnya semasa pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan sistem pengangkutan, logistik, rantaian bekalan dan ekonomi.

7. Semasa Majlis Penutup, Persidangan ini menghasilkan satu Beijing Statement of the 2nd United Nations Global Sustainable Transport Conference yang menggariskan kepentingan serta halatuju bagi mencapai transformasi pengangkutan yang mampan dan berdayatahan.  Kenyataan Beijing ini juga telah menggariskan enam (6) cadangan untuk dilaksanakan oleh masyarakat pengangkutan termasuk negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pihak-pihak berkepentingan lainnya.  Antaranya ialah untuk mengambil iktibar dari pandemik COVID-19 dan memikirkan semula sistem pengangkutan penumpang dan barangan yang dapat menahan krisis yang berkemungkinan berlaku dimasa akan datang serta mengintegrasikan objektif pengangkutan yang mampan ke dalam rancangan pembangunan negara dengan memuatkan pakej rangsangan dan pemulihan bagi COVID-19 serta sumbangan yang ditentukan secara nasional. Negara-negara ahli juga perlu untuk terus memperkukuhkan koordinasi dan kolaborasi di seluruh sistem PBB bagi mencapai sistem pengangkutan yang mampan.

8. Turut menyertai Persidangan United Nations Global Sustainable Transport kali ke-2 ini ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Yang Mulia Awang Haji Mohd. Salihin bin Haji Aspar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC serta pegawai-pegawai kanan dari MTIC.




Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam



Attachments