Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Jumaat, 12 November 2021 - Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN Ke-27 (ATM 27) dan Mesyuarat-Mesyuarat Bersama Rakan-Rakan Dialog


1. Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Awang Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN Ke-27 (ATM 27) dan Mesyuarat-Mesyuarat Bersama Rakan Dialog yang diadakan melalui sidang video selama dua (2) hari pada 11 hingga 12 November 2021. 

2. Mesyuarat ATM ke-27 telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama, Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, Perdana Menteri, Kemboja. Dalam Ucapan Pembukaannya, Tuan Yang Terutama telah menyentuh mengenai Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 (Master Plan on ASEAN Connectivity 2025) yang berfungsi sebagai pelan utama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dengan jurang pembangunan yang minimum dan kesalinghubungan yang lancar di kalangan Negara-negara Ahli ASEAN dan global. Kearah itu, Tuan Yang Terutama menyeru agar Pelan Strategik Pengangkutan ASEAN 2016-2025 akan dapat dilaksanakan bagi kepentingan pembangunan sosio dan ekonomik ASEAN.

3. Semasa Mesyuarat ATM Ke-27, Mesyuarat telah membincangkan Dasar Mempercepatkan Transformasi Digital untuk Pengangkutan dan Logistik yang Lebih Berdaya Tahan di Rantau ASEAN. 

4. Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi di dalam ucapannya antaralainnya menyentuh mengenai pendigitalan dalam sektor pengangkutan di Negara Brunei Darussalam termasuk permohonan pembaharuan Lesen Kenderaan dan Lesen Memandu serta memperkenalkan pendaftaran “domestic runners” secara online. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk memudahkan serta menjaga kepentingan dan kesejahteraan sektor perniagaan, terutamanya MSMEs baru yang telah memasuki pasaran berikutan gelombang kedua pandemik COVID-19. 

5. Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga telah menyentuh kepentingan keselamatan jalan raya dalam merealisasikan pengangkutan kargo yang lebih berdaya tahan. Selaras dengan Deklarasi Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam 2020, Brunei Darussalam melancarkan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam 2025 yang mengandungi senarai strategi dan inisiatif yang komprehensif, dan antaranya ialah: (i) merangka pengumpulan dan akses data yang berkesan; dan (ii) menggunakan teknologi yang berkaitan yang membolehkan menangani isu-isu keselamatan jalan raya. 

6. Selaras dengan inisiatif digital baru dalam Jadual Tindakan Pelan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur 2016-2025 yang diterima pakai pada ATM ke-26 tahun lepas, Negara Brunei Darussalam percaya bahawa pendigitalan harus berada di barisan hadapan dalam usaha pemulihan ASEAN dan merealisasikan transformasi digital sepertimana yang muatkan di dalam Jadual Tindakan Pelan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur 2016-2025 yang disahkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN kali ke-26 pada tahun 2020. 

7. Di Mesyuarat ATM Ke-27 Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN juga telah bersetuju untuk menandatangani Protocol to Implement the Twelfth Package of Commitments on Air Transport Services under the ASEAN Framework Agreement on Services (AFAS) secara ad-referendum. 

8. Mesyuarat tersebut juga telah mensahkan: 

(i) Phnom Penh Declaration on Sustainable Urban Mobility; 
(ii) Guidelines for the development of Sustainable Urban Mobility Plans (SUMP) in ASEAN Metropolitan Regions; 
(iii) Toolbox for the establishment of Metropolitan Transport Executives (MTE) in ASEAN Metropolitan Regions; 
(iv) Joint Ministerial Statement of the 27th ATM; dan 
(v) Annual Priorities / Key Deliverables in Transport for 2022

9. Mesyuarat ATM ke-27 diikuti dengan Mesyuarat-Mesyuarat bersama Rakan-Rakan Dialog Pengangkutan ASEAN iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea bagi membincangkan inisiatif-inisiatif bagi mengembangmajukan kerjasama pengangkutan diantara ASEAN dan Rakan-Rakan Dialog termasuk mensahkan rangka kerja-rangka kerja utama masing-masing. 

10. Turut diadakan adalah Konsultansi Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN dan United States-ASEAN Business Council (US-ABC) serta Mesyuarat Khas diantara Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN, Rakan-Rakan Dialog ASEAN dan RakanRakan Pembangunan ASEAN yang membincangkan inisiatif-inisiatif ke arah melaksanakan transformasi digital. 

11. Mesyuarat kali ini telah dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi, Setiausaha Agung ASEAN, Sekretariat ASEAN. Turut hadir di Mesyuaratmesyuarat tersebut ialah Yang Mulia Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Yang Mulia Haji Mohammad Salihin Haji Aspar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan dari MTIC dan jabatan serta pihak berkuasa yang berkaitan di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. 

12. Mesyuarat ATM ke-27 telah didahului dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN ke-52 (STOM ke-52) dan Mesyuarat Rakan-Rakan Dialog yang diadakan dari 2 hingga 3 November 2021. Delegasi Negara Brunei Darussalam ke STOM ke-52 diketuai oleh Yang Mulia Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokommunikasi. Mesyuarat STOM kali ke-52 membincangkan dokumen-dokumen untuk dihadapkan kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN kali ke-27 (27th ATM). 

13. Mesyuarat ATM merupakan platform tahunan di mana Menteri-Menteri Pengangkutan dari negara-negara ahli ASEAN berkumpul untuk berbincang dan memutuskan untuk meneruskan kerjasama pengangkutan dalam ASEAN dan Rakan-Rakan Dialog khususnya mengenai kemajuan kerjasama pengangkutan ASEAN termasuk projek-projek dan inisiatif-inisiatif dalam meningkatkan lagi kesalinghubungan dan mewujudkan sistem pengangkutan yang cekap, selamat dan mampan untuk menyokong integrasi ekonomi dalam mencapai Komuniti Ekonomi ASEAN. 


Disediakan oleh: 
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi 
Negara Brunei Darussalam
12 November 2021



Attachments