Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Rabu, 15 Disember 2021 - Siaran Media Pengemaskinian Perkhidmatan-Perkhidmatan di Bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Berikutan pengumuman mengenai Fasa Endemik yang bermula pada hari ini Rabu 15 Disember 2021, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) ingin mengongsikan beberapa maklumat terkini mengenai perkara-perkara seperti berikut:


SOP Pembukaan Sekolah Memandu dan Pengangkutan Awam 

1.  Selaras dengan Garis Panduan Fasa Awal Endemik bagi Sekolah Memandu yang dikeluarkan melalu laman sesawang www.jpm.gov.bn, semua sekolah-sekolah memandu adalah dibenarkan untuk beroperasi secara fizikal hingga kapasiti lima puloh peratus (50%) pada Peringkat Pertama dan tujuh puloh peratus (70%) pada Peringkat Kedua dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan. Sementara itu, ujian-ujian memandu juga akan dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) mengikut SOP fasa endemic yang telah ditetapkan.

2.  Begitu juga dengan Pengangkutan Awam seperti bas, teksi dan perkhidmatan- perkhidmatan e-hailing serta pengangkutan perahu penambang, perahu penumpang dan kapal penumpang dimana jumlah penumpang ditingkatkan kepada 75% dari jumlah kapasiti penumpang sebelumnya iaitu 50% (tidak termasuk pemandu) dan memastikan adanya langkah-langkah penjarakan sosial. Ini bererti kapasiti tempat duduk kenderaan dan jumlah penumpang bagi teksi dan kenderaan e-Hailing seperti perkhidmatan DART adalah mengikut muatan tempat duduk kenderaan seperti contoh muatan tempat duduk kenderaan ialah 5 orang dan had penumpang adalah 3 orang serta seterusnya jika muatannya 7 orang dan had penumpangnya adalah 4 orang.


Lesen Kenderaan dan Lesen Memandu 

3.  Merujuk Sidang Media MTIC pada 7 Oktober 2021, MTIC telah memaklumkan mengenai Sistem Pesanan Ringkas (SMS) bagi menggantikan Kad Lesen Memandu dan Pelekat Lesen Kenderaan sebagai langkah interim yang diambil dalam memastikan keberlangsungan perkhidmatan pembaharuan dibawah Business Continuity Plan (BCP) JPD. Langkah interim SMS ini dilaksanakan bermula 8 Oktober 2021 hingga 11 Disember 2021 bagi SMS Lesen Memandu dan 8 Oktober 2021 hingga 15 Disember 2021 bagi SMS Lesen Kenderaan.

4.  Dikongsikan dari 1 Ogos 2021 sehingga 13 Disember 2021, JPD telah menerima sebanyak 131,254 permohonan iaitu sebanyak 87,616 bagi lesen kenderaan dan sebanyak 43,638 bagi lesen memandu. Daripada jumlah permohonan tersebut, sebanyak 97% iaitu 127,415 permohonan telah diluluskan dan hanya 3% iaitu 3,839 permohonan yang masih diproses. Sementara itu sebanyak 97,263 SMS telah dihantar iaitu sebanyak 66,290 SMS bagi permohonan lesen kenderaan dan 30,973 SMS bagi permohonan lesen memandu.

5.  Alhamdulillah, sebagai langkah pembaikan perkhidmatan perkhidmatan yang berterusan, MTIC ingin memaklumkan mengenai beberapa pembaharuan yang antaranya adalah dengan memperkenalkan kaedah Lesen Digital ataupun Digital License dalam aplikasi TransportBN bagi menggantikan penggunaan SMS sebelum ini.

6.  Lesen Digital ini boleh diakses secara dalam talian (online) melalui applikasi telefon bimbit dan ianya mengandungi maklumat-maklumat mengenai keterangan butiran pemandu dan kenderaan. Antara maklumat-maklumat ini adalah kelas lesen memandu, pemilik kenderaan dan tempoh sah lesen bagi setiap kenderaan dan tempoh sah kelas atau kelas-kelas lesen memandu bagi setiap pemegang atau pemandu. Pengguna perlu mendaftar akaun di e- Darussalam bagi yang belum membuat demikian. Bagi mereka yang sudah mempunyai akaun e-Darussalam, mereka hanya memerlukan nombor Kad Pengenalan Pintar serta password e-Darussalam untuk melaksanakan urusan secara perkhidmatan sekali sahaja (single sign on).

7.  Kod-kod warna juga digunakan bagi menunjukkan status lesen iaitu Kod Warna Hijau bagi status lesen memandu yang sah, Kod Warna Kuning bagi tempoh sah lesen 30 hari dari tarikh mansuh dan Kod Warna Merah bagi lesen memandu yang sudah mansuh.

8.  Orang ramai juga boleh menggunakan ciri iaitu 'Cari" (Search) melalui TransportBN ataupun laman web Jabatan Pengangkutan Darat iaitu www.jpd.gov.bn/lesen bagi mengetahui status dan tempoh sah lesen memandu dan lesen kenderaan tanpa perlu mempunyai akaun e-Darussalam. Selain itu, orang ramai juga boleh mencetak atau print lesen memandu digital dan lesen kenderaan digital dengan memilih 'PDF' di TransportBN. Maklumat lanjut mengenai dengan Lesen Digital ini akan dikongsikan oleh Jabatan Pengangkutan Darat dalam masa yang terdekat ini.

9.  Perkhidmatan 'NomborKu' juga merupakan ciri tambahan di TransportBN bagi membolehkan orang ramai untuk mengetahui senarai nombor-nombor pendaftaran kenderaan yang boleh dipohonkan melalui Tawaran Terbuka.

10. Sehubungan dengan ini, orang ramai adalah dinasihatkan untuk memuat turun ataupun mengemaskini dan seterusnya menggunakan versi terkini TransportBN yang boleh didapati di App Store bagi iOS dan Google Play bagi pengguna Android bagi menggunakan ciri-ciri baharu ini.

11. Sebagai langkah tambahan, orang ramai yang memohon dan membaharui Lesen Memandu selepas 8 Disember 2021 telah juga mula diberikan kad Lesen Memandu fizikal dan tidak lagi menerima SMS. Bagi permohonan yang dibuat sebelum 8 Disember 2021, pihak JPD akan mengeluarkan kad lesen memandu fizikal kepada pemohon atau pemegang lesen memandu secara berperingkat- peringkat.

12. Sementara itu, bagi lesen kenderaan, SMS lesen kenderaan; atau e-resit yang diterima semasa permohonan melalui perkhidmatan sama ada dalam talian melalui portal www.gov.bn atau aplikasi TransportBN atau Talian Darussalam 123; atau resit yang diterima semasa permohonan melalui perkhidmtan kaunter- kaunter cawangan JPD atau kaunter-kaunter cawangan Pejabat-Pejabat Pos adalah masih digunapakai.

13. Dikesempatan ini juga, MTIC ingin memaklumkan bahawa pemasangan Pelekat Lesen Kenderaan ataupun Vehicle Licence adalah tidak lagi perlu untuk dipasang pada cermin hadapan kenderaan. MTIC dan JPD telahpun mengadakan taklimat dan perbincangan dengan pihak-pihak tertentu di dalam negeri termasuk Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pasukan Polis Di-Raja Brunei, Wakil Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Malaysia, termasuk Konsulat Negara Brunei Darussalam di Sabah dan Sarawak. Disamping itu, MTIC dan JPD juga telahpun memberikan taklimat dan mengadakan perundingan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak termasuk Pasukan Polis Di-Raja Malaysia mengenai dengan pengenalan baru Lesen Kenderaan yang berbentuk digital ini.

14. Walaubagaimana pun, orang ramai, terutama sekali pemandu-pemandu yang berhasrat untuk keluar ke Negara jiran adalah disarankan untuk mencetak Lesen Kenderaan dari aplikasi TransportBN terlebih dahulu untuk disimpan di dalam kenderaan bagi sebarang kemungkinan ianya diperlukan sahaja. Sekiranya diperlukan, orang ramai juga mempunyai pilihan untuk mencetak Lesen Kenderaan mereka di cawangan-cawangn JPD di setiap daerah.

 

Lesen Memandu Kelas 3 bagi Warga Emas berumur 70 tahun dan ke atas

15. MTIC sukacita memaklumkan mengenai perubahan dasar berkaitan permohonan membaharui Lesen Memandu Kelas 3 bagi warga emas yang berumur dari 70 tahun dan keatas yang sebelum ini dihadkan kepada satu tahun. Alhamdulillah, setelah membuat penilaian dan penelitian, MTIC ingin memaklumkan bahawa pemohon berumur 70 tahun hingga 85 tahun kini diberikan pilihan untuk membaharui lesen memandu mereka bagi tempoh satu tahun (1), tiga (3) tahun atau lima (5) tahun sekali. Pemohon hanya perlu melengkapkan Borang Pengakuan Kesihatan Diri (self-health declaration form) yang disediakan oleh JPD semasa membaharui Lesen Memandu.

16. Manakala bagi pemohon yang berumur 86 tahun dan ke atas pula, mereka boleh membaharui Lesen Memandu Kelas 3 mereka bagi tempoh satu (1) tahun sahaja dengan menyertakan Sijil Kesihatan (Medical Certificate) yang disahkan oleh Pengamal Perubatan yang berdaftar dan diiktiraf.

17. Keterangan lanjut mengenai pelaksanaan perkara-perkara di atas juga akan diterangkan dengan lebih terperinci melalui Siaran Media JPD yang akan diadakan dalam masa yang terdekat. Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123, talian WhatsApp TD123 di +673 8333123 atau melalui talian WhatsApp JPD di +673 7181641 atau Instagram @jpd.bn atau mengemel kepada info_ltd@jpd.gov.bn.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

Disediakan oleh:

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam

E-mel: info@mtic.gov.bn


Attachments