Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 7 Julai 2022 - Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2022
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA) berkenan berangkat sebagai Tetamu Kehormat ke Majlis Anugerah BICTA 2022 dan seterusnya menyempurnakan pengurniaaan hadiah kepada pemenang-pemenang BICTA. Majlis diadakan pagi tadi di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji AlMuhtadee Billah dijunjung oleh:-

i. Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi;

ii. Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw, Timbalan Menteri, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI);

iii. Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2022; dan

iv. Yang Mulia Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, Pengerusi, InfoCom Federation Brunei (IFB) selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2022.
 
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir. 

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Dalam Sembah AluAluannya, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyembahkan mengenai inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan bagi memastikan keteguhan para peserta dan kemajuan produk BICTA yang berterusan. 

Semasa Majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan tayangan video mengenai Kisah-kisah Kejayaan BICTA (BICTA Success Stories) yang memaparkan pengalaman beberapa peserta BICTA yang berjaya memajukan produk mereka selanjutnya selepas bertanding didalam BICTA. Ini disusuli dengan video Catatan Perjalanan BICTA 2022 yang menunjukkan kompilasi aktiviti dan pengalaman para peserta sejak BICTA sepanjang tahun 2021 dan 2022.

Ulasan keputusan bagi BICTA 2022 telah diumumkan oleh Yang Mulia Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, selaku Ketua Hakim bagi Anugerah BICTA 2022.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan penghargaan kepada hakim-hakim serta penyempurnaan pengurniaan Anugerah BICTA 2022 bagi setiap kategori pertandingan, Anugerah Khas dan penyempurnaan pengurniaan Anugerah Penaung Diraja BICTA.

Chung Hwa Middle School dengan produk mereka AI Care muncul sebagai juara bagi Kategori Sekolah dan memenangi trofi sumbangan Imagine Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak B$3,000.00, sementara Sekolah Menengah Berakas dengan produknya MidoriSAWI memenangi hadiah kedua dengan trofi sumbangan Dynamik Technologies Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$2,000.00. Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha memenangi tempat ketiga dengan produk mereka bernama SignSpeak dan menerima trofi sumbangan Alif Technologies Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak B$1,000.00.

Tidak ada pemenang di tempat pertama bagi Kategori Pengajian Tinggi. Universiti Teknologi Brunei diumumkan sebagai naib juara dan memenangi trofi sumbangan Dynamik Technologies Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak B$3,500.00 bagi produk mereka Smart Paddy Irrigation System. Universiti Teknologi Brunei memenangi tempat ketiga dengan produk bernama Smart Waste Bin System with Beacon Technology dan menerima sebuah trofi sumbangan Alif Technologies Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak B$1,750.00.

Bagi Kategori Industri ICT, Kementerian Kesihatan dengan produknya bernama BruHealth mendapat tempat pertama dan memenangi hadiah berupa sebuah trofi sumbangan Imagine Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak B$10,000.00. Techbru Solution (B)Sdn Bhd memenangi tempat kedua dengan hadiah sebuah trofi sumbangan Dynamik Technologies Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak B$5,000.00 bagi produk mereka KedaiPOS. Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) Sdn Bhd memenangi tempat ketiga bagi produk OBSERVE dengan menerima hadiah berupa sebuah trofi sumbangan Alif Technologies Sdn Bhd, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak B$2,500.00.

Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Khas yang diberikan kepada peserta yang mempunyai projek paling relevan kepada kriteria untuk Anugerah Khas BICTA 2022 ini. Pemenang-pemenang bagi Anugerah Khas menerima plak sumbangan Folec Communications Sdn Bhd dan sijil. Mereka adalah:

• BruIoT dengan produknya bernama LoRa Based Relay bagi Teknologi Internet of Things (IoT);
• CodeBit Company dengan produk AI Pipeline for Receipts Digitisation bagi Teknologi Artificial Intelligence (AI);
• Jabatan Pengangkutan Darat (JPD)/ Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan produk Road Accident Data Enhancement and Development (RADED) bagi Teknologi Big Data Analytics; dan
• Thryffy Technologies dengan produk mereka Thryffy bagi Start-Up.

Tidak ada penerima Anugerah Khas bagi Projek Penyelidikan dan Perkembangan.

BruHealth oleh Kementerian Kesihatan diumumkan sebagai penerima Anugerah Penaung Diraja BICTA 2022, yang dianugerahkan kepada pemenang terbaik keseluruhan dari kalangan kesemua kategori.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Pesambah berkenaan merupakan sebuah buku dengan teknologi Augmented Reality berjudul Ristaan Kenangan BICTA yang dihasilkan oleh anak tempatan dari Universiti Brunei Darussalam.

Selain daripada memenangi hadiah wang tunai dan trofi, para pemenang dalam setiap kategori juga berpeluang untuk mewakili Negara Brunei Darussalam ke Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) 2022 yang akan diadakan pada penghujung tahun ini. Anugerah APICTA merupakan pertandingan ICT di peringkat antarabangsa yang berprestij, disertai oleh 16 ahli ekonomi dari rantau Asia Pasifik. Sejak penyertaannya di APICTA pada tahun 2008, Negara Brunei Darussalam setakat ini telah meraih dua (2) anugerah kemenangan dan 27 merit.

BICTA merupakan pertandingan ICT tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB). Pertandingan ini bertujuan untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT di kalangan individu, pelajar serta perusahaan tempatan. BICTA turut disokong oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Darussalam Enterprise (DARe) dan Pejabat Harta Intelek Brunei Darussalam (BruIPO).

Anugerah BICTA pada tahun ini bertemakan Negara Pintar Melalui Transformasi Digital, selaras dengan visi Majlis Ekonomi Digital dan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 yang memfokuskan kepada pentingnya memanfaatkan teknologi digital bagi perkembangan sosio-ekonomi dan memperkayakan masyarakat dengan kemahiran dan pengetahuan bagi menyertai ekonomi digital secara efektif.

[TAMAT]

Dikeluarkan oleh:-
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam


Attachments