Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Rabu, 03 Ogos 2022 - Penggunaan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien

Jawatankuasa Pengurusan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (SHOAS) yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Pembangunan, berikutan dengan pembukaan sempadan laluan darat ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan dan mengingatkan orang ramai mengenai dengan penggunaan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien serta berpandukan Sidang Media awal yang telah dikeluarkan pada Isnin 21 Rejab 1441H bersamaan 16 Mac 2020M bagi makluman pembukaan Jambatan berkenaan kepada orang ramai pada Selasa 22 Rejab 1441H bersamaan 17 Mac 2020M, seperti berikut:

1. Kementerian Pembangunan melalui "Brunei Bridge Authority (BBA)", Jabatan Kerja Raya adalah bertanggung-jawab bagi pengurusan dan pemeliharaan penggunaan Jambatan berkenaan secara am nya, dengan dibantu oleh agensiagensi yang berkepentingan dari segi penguatkuasaan, sekuriti dan keselamatannya.

2. Penjagaan penggunaan Jambatan SHOAS secara berterusan adalah berpandukan kepada beberapa kaedah logistik termasuklah rondaan sepanjang Jambatan, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan dalam masa terdekat, Sistem Pengangkutan Pintar ("Intelligent Transport System").

3. Kebenaran penggunaan Jambatan SHOAS adalah dihadkan kepada kenderaan yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam dalam Kelas I, III, IV dan VI sahaja. Walaubagaimanapun, bagi kenderaan-kenderaan komersial yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam dalam Kelas II dan V, kebenaran hendaklah dipohonkan kepada Brunei Bridge Authority bagi "Permit Menggunakan Jambatan".

4. Bagi kenderaan pendaftaran asing dalam semua kelas adalah dinasihatkan untuk menggunakan jalan yang dibenarkan iaitu ASEAN Highway 150 ataupun AH150 yang lazimnya digunakan pada masa ini.

5. Para pengguna hendaklah mematuhi had kelajuan 100 km/jam bagi kenderaan biasa manakala had kelajuan bagi kenderaan komersial adalah 80 km/jam.

6. Pihak BBA akan menutup jambatan berkenaan pada bila-bila masa yang difikirkan perlu seperti semasa keadaan cuaca tidak mengizinkan atau bagi mana-mana perkara yang menyebabkan jambatan berkenaan tidak dapat digunakan.

7. Penunggang basikal dan pejalan kaki adalah tidak dibenarkan untuk menggunakan jambatan berkenaan.

8. Kerjasama orang ramai adalah diharapkan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan kesemua pengguna jalan raya semasa menggunakan Jambatan SHOAS.

9. Sebarang perubahan penggunaan Jambatan SHOAS akan dimaklumkan melalui Sidang Media dari masa ke semasa. Sebarang pertanyaan orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 atau pihak "Brunei Bridge Authority" melalui email pro@pwd.gov.bn.


Disediakan oleh:

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Pembangunan


Attachments