Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Speeches

Manage PermissionsManage Permissions
Teks Ucapan Awang Haji Azhar Bin Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan, Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu BICTA 2016 Sempena Majlis Pelancaran Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2016

TEKS UCAPAN

 

AWANG HAJI AZHAR BIN HAJI AHMAD

SETIAUSAHA TETAP

KEMENTERIAN PERHUBUNGAN

 

SELAKU

PENGERUSI JAWATANKUASA PANDU BICTA 2016

 

 

 

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN

ANUGERAH ICT BRUNEI (BICTA) 2016

 

 

PADA

HARI ISNIN

29 FEBRUARI 2016 BERSAMAAN

20 JAMADILAWAL 1437H

 

9:30 PAGI

 

DEWAN AMAR PAHLAWAN

KEMENTERIAN PERHUBUNGAN

 



Bismillahir Rahmanir Rahim

 

Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasalaatu Wassalaamu `Alal Asyrafil Ambiya e Walmursaleen, Saidina Muhammadiw Wa'alaa Aalihiee Wasabbihee Ajama'een

 

Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Menteri Perhubungan

 

Yang Mulia

Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Naib Canselor Institut Teknologi Brunei (ITB), Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB),

 

Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu BICTA 2016,

Ahli-Ahli Pihak AITI, Pengarah-Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan,

Wakil-wakil daripada Industri ICT,

 

Hadirin dan hadhirat yang dihormati sekalian,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Selamat Pagi,

 

1. Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana di atas limpah, rahmat dan izinNya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini di Majlis Pelancaran Anugerah ICT Brunei atau Brunei ICT Awards (BICTA) bagi tahun 2016.

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengalu-alukan kehadiran para hadirin di majlis pelancaran pada pagi ini. Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih khususnya kepada Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Menteri Perhubungan, di atas kesudian Yang Berhormat Dato untuk hadir sebagai Tetamu Kehormat dan seterusnya merasmikan majlis pada pagi ini. Sesungguhnya kehadiran Yang Berhormat Dato memberi makna yang besar kepada kita semua terutamanya kepada bakal-bakal peserta BICTA 2016 serta warga industri ICT tempatan.

 

Yang Berhormat Dato, hadirin dan hadirat sekalian,

3. Tahun ini menandakan tahun ke tiga belas (13) BICTA dianjurkan melalui kerjasama di antara Kementerian Perhubungan, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Infocom Federation Brunei (IFB).

4. Dengan bertemakan "Generasi Digital Berwawasan", BICTA 2016 menekan akan kepentingan generasi berwawasan sebagai pencetus inovasi masa depan. Tema ini menggambarkan generasi berdaya tahan yang sentiasa peka dengan perkembangan teknologi terkini dan sentiasa berusaha untuk menghasilkan penyelesaian yang inovatif. Inovasi dalam ICT adalah tunjak kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. Kita berhadapan dengan pelbagai cabaran, seperti isu-isu yang berkaitan dengan tenaga, alam sekitar, kesihatan awam dan sebagainya. Generasi yang berfikiran kreatif serta memiliki jati diri yang luhur dan tahan lasak adalah penting dalam menangani cabaran-cabaran berkenaan terutama sekali di dalam memastikan pembangunan ICT bagi masyarakat.

               

Yang Berhormat Dato, hadirin dan hadirat sekalian,

5. BICTA 2016 juga merupakan tahun di mana Anugerah Penaung Diraja atau Royal Patron Award akan diadakan.  Anugerah Penaung Diraja ini diadakan setiap dua tahun sekali dan trofi Penaung Diraja akan dianugerahkan In Sha Allah oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah kepada pemenang terbaik tempat pertama dalam kalangan semua kategori pada Majlis Anugerah BICTA nanti.

 

6. Seperti tahun-tahun sebelumnya, pertandingan BICTA 2016 dibukakan kepada tiga (3) kategori, iaitu:

6.1 Projek Sekolah (School Project) - yang dibukakan kepada individu atau kumpulan projek ICT yang terdiri dari pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah;

6.2 Projek Pengajian Tinggi (Tertiary Project) - yang dibukakan kepada individu atau kumpulan projek ICT yang terdiri dari penuntut-penuntut institut pengajian tinggi; dan

6.3 Industri ICT (ICT Industry) - yang dibukakan kepada individu atau kumpulan atau pengusaha ICT yang berdaftar dalam negara ini.


Di samping itu, BICTA 2016 kali ini juga turut menawarkan empat (4) Anugerah Khas, iaitu:

i. Usahawan Harapan (Promising Entreprenueur);

ii. Pemaju Belia (Young Developer);

iii. ICT Hijau (Green ICT), dan

iv. Teknologi Baru (Emerging Technology).

 

Yang Berhormat Dato, hadirin dan hadirat sekalian,

7. Anugerah BICTA telah menjadi platform utama untuk mengiktiraf pencapaian bakat-bakat ICT dari kalangan individu, pelajar dan pengusaha tempatan.  Setiap tahun, anugerah BICTA mengenal pasti inovasi ICT tempatan yang terbaik serta memberi galakan dan peluang untuk mendapatkan kejayaan seterusnya dalam arena antarabangsa dan pasaran global melalui penyertaan dalam pertandingan ICT di peringkat antarabangsa yang dikenali sebagai Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA).

 

8.  Antara pencapaian Negara Brunei Darussalam di APICTA ialah berjaya memenangi dua (2) anugerah pemenang dan tujuh belas anugerah (17) merit - termasuk tiga (3) yang diterima di APICTA Sri Lanka pada tahun lalu.  Pencapaian ini membuktikan usahasama dan sokongan padu di antara pihak kerajaan dengan pihak industri dan institusi akademik dalam memupuk pembangunan ICT di negara ini.

 

9. Setiap tahun, pertandingan BICTA menerima penyertaan yang sangat menggalakkan bagi semua kategori. Adalah diharapkan jumlah penyertaan bagi BICTA tahun ini akan meningkat dengan lebih banyak lagi serta menonjolkan produk ICT yang berkualiti tinggi untuk bersaing dalam APICTA 2016 yang dijadualkan akan diadakan di Taiwan.

 

10. Dalam usaha untuk menggalakkan lebih banyak lagi penyertaan bagi BICTA 2016, Jawatankuasa Kerja telah menyediakan beberapa aktiviti promosi termasuk jerayawara ke sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi, kolej-kolej tempatan serta kepada pihak industri ICT. Beberapa bengkel yang berfokus kepada pembangunan inovasi juga akan dianjurkan bagi membolehkan para peserta menjana idea-idea baru serta menghasilkan "ICT Solutions" yang dapat mendatangkan faedah kepada perniagaan dan masyarakat pada masa kini.

 

Yang Berhormat Dato, hadirin dan hadirat sekalian,

11. Dalam kesempatan ini, saya ingin menyeru dan menggalakkan pelajar-pelajar dan individu-individu yang kreatif serta para pengusaha yang mempunyai inspirasi tinggi untuk menyertai BICTA 2016 dan menyahut cabaran dalam mewujudkan inovasi dan ciptaan baru. Selamat maju jaya saya ucapkan kepada semua bakal peserta dan saya berharap pada tahun ini kita akan dapat melihat penyertaan beberapa inovasi ICT yang dapat memberi kesan terhadap sosio-ekonomi negara.

 

12.  Seterusnya, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja di atas usaha mereka di dalam mengungkayahkan majlis pelancaran ini.

 

13. Akhir sekali, saya ingin menyampaikan penghargaan tulus ikhlas kepada Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Dato Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Menteri Perhubungan kerana sudi menghadiri majlis pada pagi ini.

 

Sekian.

 

Wabillahi taufik walhidayah

wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 


Attachments
Created at 29/02/2016 16:12 by Hajah Suriati Binti Haji Yusof
Last modified at 29/02/2016 16:17 by Hajah Suriati Binti Haji Yusof