Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Speeches

Manage PermissionsManage Permissions
Teks Ucapan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Awang Haji Mohammad Yusof Menteri Perhubungan Sempena Sambutan Hari Pos Sedunia Ke 144 Tahun bagi Tahun 2018, Pada Hari Sabtu, 13 Oktober 2018

Teks Ucapan Tetamu Kehormat


Yang Berhormat 
Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib 
bin Pehin Orang Kaya Seri Setia 
Dato Paduka Awang Haji Mohammad Yusof
Menteri Perhubungan

Sempena: 
Sambutan Hari Pos Sedunia Ke 144 Tahun Bagi Tahun 2018

Pada: 
Hari Sabtu, 4 Safar 1440h 
/ 13 Oktober 2018m

Bertempat : Pusat Memproses Mel (MPC)
Jabatan Perkhidmatan Pos
Kementerian Perhubungan

 

Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil
Ambiya e Wal Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’ala Aalihiee
Wasahbihee Ajmaeen.

Yang Mulia 
Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim
Pemangku Ketua Pos Agung, Negara Brunei Darussalam
selaku Pengerusi Majlis 

Yang Berhormat
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara 

Yang Mulia 
Awang Haji Azhar Bin Haji Ahmad,
Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan

Yang Mulia 
Dayang Hajah Airah binti Hj Abdullah
Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan

Yang Mulia Ketua-Ketua Jabatan, Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Eksekutif,  Pegawai-Pegawai Kanan dan perwakilan dari sektor swasta, rakan-rakan media, hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Kita sudah masuk ke era Ekonomi Digital dan Revolusi Industri ke 4 atau lebih dikenali dengan 4th Industrial Revolution. Apakah keperluan-keperluan dan kepentingan-kepentingan yang perlu kita jaga dalam menjana sebuah Ekonomi Digital? 

2. Mula-mula sekali, izinkan saya mengongsikan antara petikan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Konvokesyen Ke-30 Universiti Brunei Darussalam pada 29hb September 2018 baru-baru ini, yang berkaitan dengan Revolusi Industri ke-4.  

3. Baginda menitahkan “Respon terhadap revolusi ini tentu saja melibatkan semua pihak yang berkepentingan, sama ada oleh sektor awam, swasta dan malah seluruh masyarakat, termasuk para akademik dan graduan untuk berganding bahu menggerakkan pembangunan negara melalui “Knowledge-based”. 

Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian,  

4. Selari dengan keperluan dalam membangun ekonomi melalui “Knowledge-based”, pada tahun ini, Kesatuan Pos Sedunia memilih tema “The Post: Delivering good to the world”.  

5. Tema ini, antaralainnya menekankan komitmen dan dedikasi perkhidmatan pos dalam memudahcara perhubungan orang ramai dalam era digital.

6. Disini saya ingin memetik sedikit mesej Bishar A Hussein, Ketua Pengarah Kesatuan Pos Sedunia (Director General of Universal Postal Union), bahawa dalam era digital masa ini, perkhidmatan pos telah dapat menempatkan dirinya sebagai antara penggiat utama dalam e-commerce secara global.  

7. Ini didokong oleh perkhidmatan pos, yang sedia diketahui mempunyai rangkaian cawangan yang luas dan digunakan oleh masyarakat dan sektor perniagaan. 

8. Tema ini bersandarkan kepada teras-teras utama UPU, iaitu Innovation – Inclusion – Integration.  Pada pandangan saya, ketiga-tiga teras ini adalah sangat relevan kepada apa jua usaha dan inisiatif kita di Negara ini. 

9. Innovasi bermakna bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan jangkaan pengguna agar kekal relevan dalam terus memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan masyarakat. 

10. Sehubungan ini, saya ingin menekankan pentingnya inovasi dalam penambahbaikan dan peningkatan mutu perkhidmatan secara menyeluruh, berintegrasi dan inklusif.  Teknologi perlu dimanfaatkan dalam setiap pertimbangan dan proses yang dilaksanakan.  

11. Dari itu, saya ingin mengongsikan lima (5) perkara utama yang berhubungkait dengan matlamat acara kita pada pagi ini. 

12. Pertama, peningkatan kualiti perkhidmatan melalui penggunaan teknologi. Dalam Revolusi Industri yang ke-4 ini, keupayaan teknologi digital semakin ketara dalam menggerakkan pemikiran, gaya hidup, perhubungan dan cara kita bekerja. 

13. Revolusi ini membawa kemajuan yang saling berhubungkait dalam semua aspek, termasuk pembuatan dan pengedaran melalui teknologi seperti “The Internet of Everything” (IoE), digitisation, mobile devices, big data, analytics dan cloud computing.  

14. Teknologi berkeupayaan tinggi boleh membukakan skop pasaran dan perkhidmatan yang luas bagi perniagaan dan pengguna.  Proses dan transaksi juga sudah menjadi semakin mudah dan cepat.  

15. Perkhidmatan-perkhidmatan pos juga tidak  ketinggalan dalam revolusi ini, khususnya dari perspektif kecepatan mengikut tren global dalam penggunaan dan kepekaan teknologi-teknologi baharu.

16. Kedua adalah potensi pasaran perniagaan secara Online atau diatas talian. Mengikut kajian Asia Development Bank, rantau Asia-Pasifik adalah penyumbang terbesar kepada pertumbuhan pasaran e-commerce global, khususnya bagi segmen business to consumer (B2C). 

17. Dari nilai global berjumlah, $2.3 trillion USD, $1 trillion USD adalah dari rantau Asia Pasifik, dengan kadar pertumbuhan pada 28 peratus.  


18. Menurut laporan daripada Google and Temasek Holdings, pasaran digital Asia Tenggara boleh mencapai lebih 200 billion USD  menjelang tahun 2025. 

19. Dengan jumlah penduduk lebih 640 juta orang dan penembusan Internet yang semakin meningkat setiap tahun, rantau ASEAN dianggap mempunyai potensi yang sangat tinggi bagi perkembangan E-Commerce.  

20. Berkaitan dengan ini, adalah kajiselidik E-Commerce Survey for Consumers in Brunei Darussalam 2018 Report yang dijalankan oleh pihak AITI.  

21. Dari sampling yang dijalankan keatas Seribu orang pengguna kira-kira 7 setiap 10 orang ada menggunakan E-Commerce. Kajiselidik ini memberi gambaran tahap penggunaan E-Commerce di Negara Brunei Darussalam ini berpotensi besar untuk dikembang majukan.   

22. Gambaran ini turut disokong oleh data yang direkodkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos dari tahun 2000 sehingga 2017, dimana:-

a. Jumlah surat menurun secara konsisten dari tahun 2000, iaitu 14.7 juta pada tahun 2000 kepada 6.6 juta pada tahun 2017;  

b. Walaubagaimanapun, Jumlah paket dan bungkusan menunjukkan peningkatan konsisten sejak tahun 2010;  


i. Kadar peningkatan sebanyak 100% dari lebih 220,000 pada tahun 2010 kepada 540,000 pada tahun 2017;

ii. Peningkatan ini menunjukkan perkembangan e-commerce dan perniagaan dalam talian. 

23. Perkara KETIGA yang berkaitan rapat dengan persediaan kearah pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos adalah Penjenamaan atau Rebranding bagi jabatan ini. Pada pandangan saya, penjenamaan adalah sangat penting sebagai dorongan berinovasi serta memberi keyakinan kepada pelanggan.  

24. Dari itu, saya ingin menyarankan supaya Jabatan Perkhidmatan Pos akan menggandakan lagi usaha penjenamaan ini melalui penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan baharu yang kompetitif dan memudahcara para pelanggan.  

25. Untuk mencari pembaharuan, Jabatan Perkhidmatan Pos juga perlu meneroka peluang kolaborasi strategik dengan rakan-rakan kerjasama yang berpotensi.   

26. Disinilah kita bergerak secara berintegrasi, holistik dan bersepadu, dengan bersandarkan pendekatan “whole of nation” bersama pelbagai pihak, seperti syarikat-syarikat milik Kerajaan (GLCs), sektor swasta dan institusi pengajian tinggi.   

27. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengongsikan sedikit perkembangan dimana usaha kearah pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan pos pada masa ini sedang giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak yang berkepentingan. 

28. Antara perkara yang diberi perhatian serius adalah penyediaan pelan strategi perniagaan dan penilaian asset kearah pengkorporatan.  

29. Perkara KEEMPAT adalah keperluan pemberian perkhidmatan yang Inklusif.  Universal Service Obligation, atau Keutamaan Perkhidmatan Sejagat, perlulah tetap terpelihara dalam penyediaan perkhidmatan berkualiti yang dapat diperolehi oleh setiap pengguna di kawasan bandar mahupun di pedalaman.
  
30. Keutamaan ini mendokong dasar Kementerian Perhubungan kearah sektor perhubungan yang kompetitif dan mampan yang memberikan pilihan kepada pengguna. 

31. Perkara KELIMA dan yang terakhir, Keutamaan Pelanggan atau Customer Priority. Alhamdulillah, saya telah difahamkan Jabatan Perkhidmatan Pos sedang giat berusaha secara berterusan kearah memperbaiki kualiti perkhidmatannya kepada pelanggan. 

32. Pada hari ini, Insha Allah Buku Poskod Edisi Kedua dan Projek Rintis Sistem QueUp Jabatan Perkhidmatan Pos juga akan dilancarkan. Adalah dihasratkan produk dan perkhidmatan baharu ini akan membentuk hubungan mesra dan interaktif diantara Jabatan Perkhidmatan Pos dengan pelanggan. 

33. Cadangan pembaharuan dan kritikan membina dari para pelanggan adalah sangat-sangat dihargai bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan. 

34. Dalam hal ini, Jabatan Perkhidmatan Pos perlu terus meningkatkan usaha-usaha berorentasikan ‘Customer Satisfaction’ yang lebih interaktif dan berinnovasi. 

35. Kementerian Perhubungan khususnya mengambil berat keatas sebarang aduan dan pandangan pelanggan yang berhubungkait dengan perkhidmatan - perkhidmatan yang disediakan oleh agensi – agensi di bawah Kementerian ini termasuklah perkhidmatan pos.  

36. Ini adalah antara fokus strategik utama Kementerian selaras dengan aspirasi dan citarasa orang ramai dalam membentuk hubungan serasi dan pengurusan mesra pelanggan.

Hadirin dan Hadirat Sekalian,
37. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Warga Pos yang sentiasa berusaha gigih, komited dan bersemangat dalam menghadapi apa jua cabaran kearah memberikan perkhidmatan-perkhidmatan yang cemerlang.   

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuhi Wabarakatuh. 



Attachments
Created at 14/10/2018 12:36 by Dk Noorismawarni Binti Pg Hj Ismail
Last modified at 14/10/2018 12:36 by Dk Noorismawarni Binti Pg Hj Ismail