Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Speeches

Manage PermissionsManage Permissions
PERUTUSAN YANG BERHORMAT MENTERI PERHUBUNGAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA SAMBUTAN HARI MARITIM SEDUNIA 2018



PERUTUSAN YANG BERHORMAT MENTERI PERHUBUNGAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 

SEMPENA SAMBUTAN HARI MARITIM SEDUNIA 2018


TEMA: “IMO 70: OUR HERITAGE – BETTER SHIPPING FOR A BETTER FUTURE


1. Pengangkutan perkapalan merangkumi lebih dari 80 peratus perdagangan dunia yang menyampaikan barangan dan perkhidmatan kepada manusia dan masyarakat seluruh dunia. Dengan itu, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (International Maritime Organisation - IMO) telahpun berusaha bagi memastikan manusia seluruh dunia dapat meraih manfaat daripada perkapalan melalui cara-cara yang memenuhi keperluan ekonomi sejagat, ekspektasi pelanggan yang kian berubah, pemeliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan sebagainya.


2. Melihat betapa pentingnya perkapalan kepada aktiviti perekonomian global, maka tema Sambutan Hari Maritim Sedunia pada tahun ini adalah bertepatan dalam memberikan pengiktirafan kepada peranan perkapalan dalam memastikan kelancaran dan keselamatannya sejagat. Ianya melihat kepada sejarah dan juga masa akan datang yang memberikan peluang untuk merefleksi dan mempamerkan bagaimana IMO telahpun mencapai kemajuan serta beradaptasi, namun tetap taat kepada misi keseluruhannya untuk mempromosikan perkapalan yang selamat, terjamin, mesra alam sekitar dan berdaya tahan.


3. Lebih 50 international instruments yang digunapakai oleh IMO merangkumi kesemua aspek pelayaran antarabangsa. Walaupun pematuhan kepada piawaian-piawaian ini merupakan satu cabaran untuk industri perkapalan, namun pencapaian terbesar IMO adalah untuk mewujudkan arena persaingan secara adil melalui peraturan global yang dilaksanakan bagi memastikan pengusaha-pengusaha perkapalan tidak mengambil ringan keperluan-keperluan keselamatan perkapalan sedunia. Pendekatan inilah yang menggalakkan inovasi dan kecekapan dan melaluinya, IMO selama 70 tahun telah berjaya mendorong peningkatan dalam perkapalan masakini demi dimasa akan datang. Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan dalam usaha untuk memenuhi kehendak IMO melalui ratifikasi 20 konvensyen dan anex setakat ini.


4. Negara Brunei Darussalam selaku Negara Ahli IMO sejak 1984 tidak ketinggalan dalam memberikan sokongannya kepada sambutan Hari Maritim Sedunia amnya dan IMO khasnya selaku badan pengawalseliaan antarabangsa dalam memberikan fokus kepada kepentingan keselamatan perkapalan, sekuriti maritim dan persekitaran maritim. 


5. Dalam 70 tahun penubuhannya sejak 1948, IMO telahpun mengalami perubahan dalam pelbagai aspek termasuk agenda antarabangsa serta cabaran memastikan pematuhan obligasi oleh kesemua Negara ahlinya. Adalah menjadi harapan saya bagi Negara Brunei Darussalam, melalui Maritime and Port Authority Brunei Darussalam (MPABD) untuk dapat terus beradaptasi dan meningkatkan situasi maritim di Negara ini demi memenuhi piawaian dan peraturan IMO. 


6. Sejak penubuhannya pada 28 September 2017, MPABD selaku badan berkanun yang ditubuhkan dibawah Kementerian Perhubungan bertanggungjawab keatas pengurusan, pentadbiran dan sekuriti hal ehwal maritim dan pelabuhan Negara Brunei Darussalam selaras dengan keperluan piawaian antarabangsa. 


7. Dalam hal ini, antara langkah yang diambil oleh MPABD yang akan mengambilalih pendaftaran kesemua ejen perkapalan, freight forwarders, stevedorage dan pengangkutan yang memberikan perkhidmatan dikesemua pelabuhan di Negara Brunei Darussalam menjelang bulan November 2018 ini.  Peranan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dengan turut memanfaatkan Brunei Darussalam National Single Window sebagai platform atau landasan bagi tujuan ini. 


8. Selain itu, sebagai salah satu inisiatif untuk mempromosikan sektor perkapalan domestik, MPABD sudah melantik Classic Reliance Bureau (CRB) sebagai  domestic classification society yang bertanggungjawab untuk menjalankan kajiselidik dan pemeriksaan keatas kapal tidak konvensional iaitu mempunyai berat tidak melebihi 500 gross tan yang berdaftar dibawah bendera Negara Brunei Darussalam. CRB juga akan bertanggungjawab dalam memastikan sesebuah kapal mematuhi keperluan dan piawaian yang ditetapkan oleh MPABD. 


9. Dalam memastikan keselamatan perkapalan juga, keperluan dan piawaian keselamatan di perairan Negara Brunei Darussalam juga akan dipantau dengan terperinci. MPABD juga akan menambahbaik syllabus latihan pemandu bot-bot tempatan bagi meningkatkan keupayaan mereka secara berterusan.  


10. Selain dari keperluan memastikan sektor perkapalan domestik adalah teratur, MPABD juga memastikan kehendak piawaian antarabangsa adalah dipatuhi  melalui penggubalan empat peraturan utama yang berkaitan dengan keselamatan, pengawalan pencemaran dan piawaian kemahiran tenaga kerja maritim. 


11. Begitu juga aspek keselamatan maritim domestik juga tidak diabaikan dimana MPABD sedang dalam proses mengemaskini Peraturan Perahu-Perahu Penumpang bagi meningkatkan dan memantapkan pengawalseliaan demi menjaga keselamatan pengguna di perairan Negara Brunei Darussalam terutama sekali di Sungai Brunei. Ini akan lebih memantapkan pengawalseliaan MPABD keatas penumpang-penumpang dan perahu-perahu domestik.


12. Dengan segala inisiatif-inisiatif ini, MPABD selaras dengan keperluan IMO akan mentadbir, mengurus dan mengawalselia perkhidmatan dan kemudahan pelabuhan dan maritim di Negara ini bagi merealisasikan peningkatan dan kemajuan yang berterusan untuk menjadikan Pelabuhan Muara sebagai pelabuhan terpilih yang setaraf dengan pelabuhan-pelabuhan serantau. Inilah sumbangan Negara Brunei Darussalam kearah merealisasikan tema Sambutan Hari Maritim Sedunia tahun ini demi persekitaran perkapalan antarabangsa yang selamat, cekap dan mesra alam sekitar. Kerjasama orang ramai adalah sangat-sangat diharapkan bagi memastikan keselamatan maritim, bukan sahaja diperingkat antarabangsa tetapi di perairan Negara kita kerana ianya merupakan tanggungjawab bersama sejagat.


Attachments
Created at 21/10/2018 12:05 by Dk Noorismawarni Binti Pg Hj Ismail
Last modified at 21/10/2018 12:05 by Dk Noorismawarni Binti Pg Hj Ismail