Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Speeches

Manage PermissionsManage Permissions
Hari Khamis, 03 Rabiulakhir 1441H / 30 November 2019M - Sambutan Hari Pos Sedunia Ke 145 Tahun Bagi Tahun 2019

​Teks Ucapan

Yang Berhormat
Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Awang Haji Mohammad Yusof

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Sempena:
Sambutan Hari Pos Sedunia Ke 145 Tahun Bagi Tahun 2019


Pada:
Hari Khamis, 03 Rabiulakhir 1441H/30 November 2019M

Bertempat:
Dewan Ballroom, Starlodge Hotel Jerudong


Yang Mulia
Awang Haji Aminuddin bin Haji Mohd Taib
Pemangku  Ketua  Pos  Agung,  Negara
Brunei Darussalam selaku Pengerusi Majlis


Yang Mulia pihak pengurusan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC)


Yang Mulia Tuan Imam, Haji Kamaruzzaman bin Haji Jakar, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Al-Ameerah Al- Hajah Mariam, Jerudong 


Yang Mulia Ketua-Ketua Jabatan, Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Eksekutif, Pegawai-Pegawai Kanan dan perwakilan dari sektor swasta, rakan- rakan media, dan warga perkhidmatan pos yang dihormati sekalian.


Assalamualaikum Warrahmatullahi
Wabarakatuh, selamat pagi, Hadirin dan Hadirat sekalian,
1. Izinkan   saya   memulakan   ucapan saya dengan mengongsikan sedikit intipati dari Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN - Republik Korea ke - 3 yang berlangsung di Busan, Republik Korea  pada  25hb  November  2019 lalu.



2. Semasa Sidang Kemuncak berkenaan, Baginda telah menekankan, antaralainnya,mengenai hubungan ASEAN dan Republik  Korea akan datang  bakal memberikan peluang serta cabaran di dalam kemajuan pesat teknologi, di mana keselamatan siber adalah yang paling utama.



3. Apa yang ingin saya tekankan dari Titah  Baginda  ini,  adalah  peranan kita untuk  bersedia  memanfaatkan peluang dan menangani cabaran dari kemajuan teknologi.


4. Dalam hal ini, Alhamdulillah, sukacita saya ingin mengongksikan di sini bahawa beberapa   perkembangan dasar dan strategi bagi membentuk satu ecosystem infokomunikasi yang holistik dan terarah seperti berikut:- 


i. Pertama,  Kebawah  Duli  Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penyerapan Pusat Kebangsaan E Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri sebagai sebuah agensi di bawah MTIC. Turut diserapkan ke MTIC adalah fungsi berkaitan Digital Nation yang sebelum ini di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga; dan 


ii. Kedua, penubuhan Cyber Security Brunei (CSB) sebagai sebuah agensi kebangsaan juga di bawah kawalan MTIC. Cyber Security Brunei (CSB) bertanggungjawab dalam melaksanakan  dasar dan inisiatif-inisiatif bagi memantapkan keselamatan siber di Negara Brunei Darussalam.


5. Kedua-dua perkembangan ini membawa pengertian yang signifikan dalam sektor infokomunikasi negara. Dengan bersandarkan kepada semangat berpasukan dan permuzakarahan, hala tuju dasar dan strategik perkhidmatan digital e- Kerajaan, ekonomi digital serta urustadbir keselamatan siber, kini ditempatkan dibawah satu bumbung dibawah bidang kuasa MTIC. Ianya adalah antara inisiatif dasar dalam penyusunan struktur industri infokomunikasi yang sedang berjalan pada masa ini.



6. Apa yang dihasratkan melalui langkah-langkah penyelarasan ini, adalah kita sama-sama membawa Negara Brunei Darussalam bergerak pantas seiring perkembangan teknologi sejagat, keutamaan ekonomi semasa dan keperluan para pengguna.


7. Perkembangan baharu ini di hasratkan akan membukakan laluan kepada sektor-sektor ekonomi yang lain untuk masing-masing merangka strategi digital jangka   panjang   dan   lebih berdayatahan.  Dalam hal ini,  sektor perkhidmatan pos juga tidak ketinggalan. Inshaa Allah, dengan pelaksanaan pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos, sektor ini akan dapat mengorak langkah strategi hala tujunya dan bergerak lebih pantas ke hadapan. 


8. Usaha bagi menjayakan pengkorporatan ini sedang giat dijalankan oleh MTIC dengan kerjasama rapat Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI) selaku pengawalselia dan agensi-agensi lain yang berkenaan.


Hadirin dan hadirat sekalian,


9. Untuk mengukuhkan lagi peranan dan penglibatan sektor perkhidmatan pos dalam ekonomi digital, pembaharuan dan innovasi perlu di titik beratkan. Ini adalah seperti yang di tekankan dalam Istanbul World Postal Strategy 2017 – 2020. 


10. Salah satu matlamat di dalam Istanbul World Postal Strategy  adalah untuk memastikan produk yang moden dan berdayatahan. Di bawah matlamat ini, antara strategi yang dikenalpasti, termasuk keperluan untuk mempercepatkan pembentukan e- commerce  solutions, mempelbagaikan produk dan perkhidmatan dan seterusnya memudahcara perniagaan (business facilitation) melalui rangkaian pos.


11. Pelaksanaan  Istanbul  World  Postal Strategy ini memerlukan pendekatan baharu, relevan dan innovatif. 


Mengikut laporan UPU, selaras dengan Strategi ini, perkhidmatan digital pos mengalami peningkatan yang konsisten sejak lima tahun kebelakangan ini.   Peningkatan ini adalah khusus dari segi pelaksanaannya dikalangan pengendali pos seluruh dunia.


12. Laporan   berkenaan,   antaralainnya, telah mengenalpasti 10 perkhidmatan digital pos  yang paling banyak dilaksanakan dikalangan negara- negara ahli UPU. Dari 10 perkhidmatan ini, Alhamdulillah, Jabatan Perkhidmatan Pos telah melaksanakan beberapa perkhidmatan   digital   pos,   seperti Track and Trace, Online Contact and Customer Service, Online lookup for postcodes, addresses and post offices.



13. Saya juga telah difahamkan bahawa pelaksanaan inisiatif ini telah mendapat sambutan  positif dikalangan para pengguna.  Sebagai contoh adalah applikasi Bru-Track (Trace and Track) seperti yang telah disebutkan oleh Pemangku Ketua Pos Agung awal-awal tadi; yang mana setakat ini telah di muat turun sebanyak lebih kurang 6,500 kali. Walaubagaimanapun,  pergerakan trend pengguna aktif applikasi BruTrack  ini  dilihat agak perlahandengan jumlah purata 380 pengguna sebulan bagi tahun 2018.  Perkara ini adalah ruang yang perlu untuk di tangani dan di perbaiki secara berterusan dan konsisten.



14. Segala        inisiatif       pembaharuan berteraskan innovasi dan teknologi digital ini  memang  adalah  menjadi harapan kita bagi meningkatkan tahap dayasaing dan kedayatahanan sektor perkhidmatan pos. Menurut kajian UPU, 67% dari kalangan pengendali pos telah merekodkan peningkatan dalam pendapatan   mereka   sejak tahun   2014,   ini   adalah  berikutan usaha dan pelaburan berterusan dalam perkhidmatan digital.


15. Saya penuh berharap momentum ini akan dapat dipertingkatkan lagi, apatah lagi  Jabatan  Perkhidmatan Pos, insya Allah akan melangkah sebagai  sebuah  agensi  korporat dalam waktu terdekat ini.



Hadirin dan hadirat sekalian,


16. Untuk mencapai keberkesanan dalam pelaksanaan inisiatif   dan perkhidmatan, ianya memerlukan semangat berpasukan dan synergy diantara  pihak  pengurusan  dan semua peringkat kakitangan. Kesepakatan ini, Insha Allah, boleh dicapai dan dikukuhkan dengan mengadakan sesi - sesi muzakarah untuk saling memahami cabaran dan sama-sama memikirkan langkah pembaikan.


17. Baru-baru ini saya telah mengadakan satu sesi dialog bersama kakitangan Bahagian IV dan V, khususnya para posmen dan posnita, di Jabatan Perkhidmatan Pos. Alhamdulillah, dari sesi berkenaan  perkara-perkara  on-the-ground issues; berkaitan kesejahteraan, kualiti perkhidmatan dan kemudahan telah dibincangkan bagi mengenalpasti langkah-langkah pembaikan bersama.



18. Dalam  hal  ini,  saya  ingin  menyeru, bukan sahaja    kepada  peringkat pengurusan Jabatan Perkhidmatan Pos tapi juga  semua  Jabatan  dan agensi dibawah MTIC untuk mengamalkan pendekatan bermuzakarah dengan semua peringkat kakitangan, dari masa ke semasa.  Melalui pendekatan ini, on- the-ground  issues, cabaran dan kerumitan yang dihadapi akan dapat ditangani bagi memastikan kesejahteraan kakitangan dan kualiti perkhidmatan adalah terpelihara.


Hadirin dan hadirat sekalian,


19. Dengan tema Melaksanakan Pembangunan atau ‘Delivering Development’, Bishar A Hussein, Director General, UPU melalui perutusannya, telah menekankan bahawa para  pengendali  pos perlu bertekad untuk sentiasa berinovatif dengan memanfaatkan teknologi moden bagi memenuhi  kehendak pelanggan.

20. Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada
Jabatan    Perkhidmatan    Pos    atas kerjasama dengan Syarikat Osco Sdn Bhd bagi menawarkan perkhidmatan Premium EMS SpeedPost kepada orang ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, LTAB.


21. Dengan kerjasama ini, orang ramai boleh mendapatkan    perkhidmatan premium EMS di lokasi yang mudah dikunjungi pada waktu-waktu yang bersesuaian, termasuk selepas waktu pejabat.  Perkhidmatan ini juga dapat menawarkan perkhidmatan penghantaran ‘value for money’ bagi ‘excess  baggage’ kepada penumpang-penumpang di LTAB.



22. Alhamdulillah, kerjasama ini menggambarkan sektor perkhidmatan pos, atau perkhidmatan penghantaran secara amnya,  semakin  rancak  di ceburi oleh pihak swasta.  Baru-baru ini, kebenaran telah di berikan kepada empat buah    syarikat  tempatan sebagai operator  berlesen bagi perkhidmatan   penghantaran   surat-surat     ekspress     tempatan     dan antarabangsa, atau yang   dikenali sebagai syarikat perkhidmatan courier.


23. Peningkatan    ini    menggambarkan pertumbuhan e-commerce telah membukakan peluang kepada syarikat-syarikat baharu berkecimpung dalam sektor perkhidmatan pos dan logistik ini, dan sekaligus membuka peluang-peluang pekerjaan kepada  anak-anak tempatan kita. 


Hadirin  dan hadirat yang di hormati sekalian,

24. Bagi  mengakhiri  ucapan  ini,  saya ingin mengucapkan  tahniah  kepada Jabatan Perkhidmatan Pos atas usaha berterusan untuk memastikan perkhidmatan pos tidak ketinggalan dalam perkembangan  semasa  dan keperluan para pengguna. Kepada semua warga sektor perkidmatan pos, saya ingin mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Pos Sedunia 2019’. 


Sekian Wabillahi Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuhi Wabarakatuh.






Attachments
Created at 03/12/2019 16:20 by Dk Dewi Najayati Pengiran Hj Shahrir
Last modified at 03/12/2019 16:20 by Dk Dewi Najayati Pengiran Hj Shahrir