Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Speeches

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 9 Januari 2020 - Muzakarah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama Ahli-Ahli Majlis Negara Tahun 2019
Ucapan Alu-aluan

Yang Berhormat

Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia
Dato Paduka Haji Mohamad Yusof,
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Di Sesi Muzakarah
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Bersama

Ahli-Ahli
Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2019



Pada:

Hari Khamis, 13 Jamadilawal 1441 bersamaan 9 Januari 2020

Bertempat:

Bilik Mesyuarat Al-Mahabbah,
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi



Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara,
Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii selaku Ketua Rombongan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Majlis Muzakarah diantara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara bagi sesi muzakarah pada tahun 2020.
Yang Mulia Awang Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC); 
Yang Mulia Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di MTIC;
Yang Mulia Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Eksekutif – Ketua Eksekutif dan Pegawai – Pegawai Kanan serta pegawai-pegawai dan kakitngan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang dihormati sekalian;

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat pagi;

1. Alhamdulillah, syukur Kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana diatas limpah kurnia dan izinNya jua, kita dapat bersidang dan bermesyuarah di sesi muzakarah yang berkebajikan dan bermanfaat ini.  Peramba/Kaola/saya mewakili seluruh warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) Negara Brunei Darussalam, sangat berbesar hati mengalu – alukan kehadiran Ahli – Ahli Yang Berhormat sekalian ke Kementerian ini.  

2. Peramba/kaola/saya sangat-sangat berharap melalui Sesi Muzakarah pada pagi ini jua, pihak MTIC akan dapat mengetahui secara langsung apa jua perkara dan isu-isu serta kewahaman yang ingin abis Yang Berhormat utarakan berkaitan sektor pengangkutan dan infokomunikasi. 

TUJUAN MUZAKARAH:

3. Alhamdulillah, bagi persediaan sesi muzakarah pada kali ini, MTIC telah mengambil pendekatan yang sedikit berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.  Peramba/kaola/saya berharap Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara telahpun, sedikit sebanyak melalui MTIC Innovation Showcase sebentar tadi, beroleh gambaran sepintas lalu kehidupan SMART yang berlandaskan kemajuan teknologi masakini, sesuai dengan aspirasi SMART Nation yang kita sasarkan.  

4. Disamping itu juga, Kementerian ini juga telahpun berusaha untuk memperlihatkan secara dekat bebrapa usaha-usaha yang mendokong isu-isu strategik Kementerian seperti keselamatan dan kesejahteraan melalui demonstrasi latihan-latihan keselamatan yang telah diadakan pada 21hb November 2019 yang lalu bagi MPABD (Maritime and Port Authority Brunei Darussalam) dan pada 5hb Disember 2019 yang lalu bagi Latihan Kecemasan Udara 2019 (Table Top Exercise Aircrash 2019), di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB). Usaha-usaha ini akan dipertingkatkan secara berterusan bagi memastikan keupayaan aset termasuk kapasiti tenaga manusia adalah sentiasa bersiap saga, mantap,relevan dan berdaya tahan. 

5. Pada sesi muzakarah pagi ini, Peramba/Kaola/saya akan menyampaikan beberapa perkembangan terkini dari segi dasar dan projek-projek pengangkutan dan infokomunikasi serta beberapa pembaharuan yang telah diungkayahkan dalam tempoh 9 bulan, iaitu dari Suku Pertama 2019 hingga ke penghujung Disember ataupun Suku Keempat 2019.  Perbincangan juga dapat kita laratkan kepada isu-isu dalam perancangan dan pihak MTIC mengalu-alukan pandangan dan sebarang usulan dan pertanyaan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian dalam sama-sama menyelesaikan isu-isu berkenaan.
   
6. Dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) akan sentiasa memastikan arah tujuan Kementerian ini bagi pembangunan negara yang mampan dan mantap terutama sekali dalam bidang pengangkutan dan infokomunikasi.  Adalah menjadi aspirasi Kementerian ini bagi Negara Brunei Darussalam untuk memperbaiki kedudukannya dalam ranking di peringkat antarabangsa, antaralainnya adalah seperti berikut:- 

a. Top 4 (teratas ter-empat) dikalangan ASEAN dalam Global Cybersecurity Index; 
b. Top 40 dalam International Telecommunications Union (ITU) ICT Development Index; dan
c. Top 40 dalam UN E-Government Survey.

7. Insha Allah, aspirasi ini akan memacu usaha-usaha dan tenaga kita dalam menjadikan negara kita ini sebagai sebuah negara yang berstatuskan Smart Nation.  Alhamdulillah, pada tahun ini MTIC berhasrat untuk mengeluarkan Pelan Strategik 2020 – 2025 atau bis Peramba /Kaola / saya sebutkan MTIC2025 dengan visi yang baharu sesuai dengan penjenamaan Kementerian ini, iaitu “Connected Smart Nation”.

8. Seterusnya, izinkan jua Peramba/Kaola/saya mengongsikan beberapa perkembangan dan pembaharuan substantif dalam strategi-strategi yang dikenalpasti bagi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, iaitu:- 

   8.1 Pertama – ke arah Transformasi Digital (Digital Transformation). Beberapa dasar baharu serta arah tuju yang lebih fokus telah pun disatukan di bawah Kementerian ini terutama sekali di dalam dasar yang berkaitan dengan sektor infokomunikasi:

       a) Kementerian ini menjunjung setinggi-tingginya Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke 73-tahun pada 15hb Julai 2019 sehubungan dengan persediaan satu Pelan Induk Ekonomi Digital.  Alhamdullillah, MTIC melalui Urusetia Majlis Ekonomi Digital sedang giat memberigakan rangka kerja Pelan Induk berkenaan ke Kementerian-Kementerian, institusi pengajian tinggi dan pelbagai agensi termasuk sektor swasta.   Usaha ini adalah bagi memastikan adanya penyelarasan dalam inisiatif Digital Transformation serta untuk mendapatkan pandangan dari pihak-pihak berkenaan keatas deraf Pelan Induk Ekonomi Digital tersebut.  Apa yang disasarkan adalah bagi deraf Pelan Induk Ekonomi Digital ini untuk dilancarkan insya allah dalam jangkamasa Suku Pertama 2020 tahun ini; 
 
b) Perkembangan dasar-dasar baharu dari segi penelitian semula hala tuju dasar dan urustadbir sektor infokomunikasi juga telahpun selesai di laksanakan pada penghujung Disember 2019.  Dalam kesempatan ini, Peramba/Kaola/saya ingin mengongsikan beberapa perkembangan, iaitu:- 

     i. Pertama, penyerapan Pusat Kebangsaan E-Kerajaan dan Overall Government CIO yang sebelum ini dibawah Jabatan Perdana Menteri, serta Bahagian Digital Nation dibawah Kementerian Tenaga, ke MTIC.  Dengan penyerapan ini, penyelarasan yang lebih menyeluruh ke atas projek-projek Digital Government serta fungsi-fungsi pembangunan industri ICT kini ditempatkan dibawah MTIC.  satu sesi Muzakarah bersama CIO Kementerian-Kementerian dan institusi pengajian tinggi telahpun diadakan pada 12hb Disember 2019.  Dengan penyelarasan ini, Insha Allah dihasratkan untuk memudahkan lagi penggubalan dasar dan pelaksanaan inisiatif tersebut dengan lebih fokus oleh Agensi-Agensi pelaksana seperti AITI, EGNC, OGCIO dan Smart Nation/ Digital Government office dibawah satu bumbung dasar autoriti Kementerian, iaitu MTIC;

       ii. Kedua, bagi penubuhan Cyber Security Brunei (CSB) sebagai agensi kebangsaan yang khusus dalam keselamatan siber. Pada masa yang sama, penggubalan akta berkaitan keselamatan siber juga sedang berjalan. Walaupun penubuhan CSB ini masih dalam peringkat awal, perkhidmatan-perkhidmatan utama dalam keselamatan siber iaitu Cyberwatch, National Digital Forensic Laboratory dan BruCERT, memang sudah dijalankan oleh Syarikat IT Protective Security Sdn Bhd (ITPSS) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri selaku pusat keselamatan siber interim pada masa ini; 

   iii. Ketiga, perkembangan dasar yang terbaharu adalah bagi Bahagian Sains, Teknologi dan Innovation yang sebelum ini dibawah Kementerian Tenaga kini juga ditempatkan dibawah MTIC.  Turut dipindahkan ke MTIC adalah Brunei Research Council (BRC) dengan mengambilkira kaitan rapat kerja-kerja penyelidikan kearah kemajuan di dalam sains, teknologi dan inovasi, yang sekaligus menyumbang kepada perkembangan industri di Negara ini, Insya allah.  

c) Beralih kepada perkembangan industri, Alhamdulillah penyusunan semula struktur industri infokomunikasi sedang giat berjalan juga pada masa ini.  Saya telah difahamkan dengan penyatuan infrastruktur telekomunikasi dibawah Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), pengguna sudah mula dapat menikmati peningkatan dari segi kualiti perkhidmatan mobile broadband.  Pengguna sudah dapat menerima perkhidmatan mobile broadband dua kali ganda lebih laju dari 4G dibeberapa tempat.  Ianya bermaksud jika kitani mendapat perkhidmatan 4G di dalam telefon bimbit sebelum ini, secara purata (on average) kelajuan perkhidmatan 4G yang diterima adalah 30Mbps. Manakala dengan perkhidmatan 4G+ yang sedang dilaksanakan ketika ini, secara puratanya kelajuannya meningkat kepada 60Mbps. 

d) Seterusnya, peramba / kaola/ saya telah difahamkan bahawa syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (TelCos) kini sedang giat merangka strategi baharu dalam persediaan melancarkan produk dan perkhidmatan-perkhidmatan baharu masing-masing.  Ini adalah bagi memberi pilihan perkhidmatan-perkhidmatan telekomunikasi kepada orang ramai dengan harga yang lebih kompetitif. 

e) Dalam mendokong penggunaan teknologi terkini sebagai pemangkin kepada perkembangan sosio-ekonomi, projek-projek rintis 5G juga sedang dalam perancangan diantara MTIC, AITI dan syarikat-syarikat berkenaan.  Insha Allah, projek-projek rintis ini akan meneroka penggunaan teknologi 5G dalam pelbagai aspek termasuk pengangkutan, pelancongan dan pendidikan. 

   8.2 Kedua – Pengukuhan dalam urustadbir adalah sangat penting dalam memastikan sebarang rancangan dan juga inisiatif yang dijalankan adalah menepati visi dan sasaran yang telah diperuntukkan. Ke arah itu, pada tahun lepas 2019, struktur Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah diperkemaskan dengan perlantikan Timbalan Pengerusi di peringkat Timbalan Menteri dan bagi urusetia MKKJR untuk diketuai oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).  Perubahan ini adalah sangat penting dalam mengangkat isu-isu keselamatan di jalan raya yang semakin ketara dan kerap. Alhamdulillah, dengan usaha-usaha penambahbaikan antaralainnya struktur jalanraya, kempen kempen keselamatan Jalan Raya, acara-acara keugamaan dan pendidikan secara Whole of Nation sepanjang dua tahun kebelakangan; 2018 hingga 2019, beberapa hasil signifikan telahpun dapat diperolehi.  Penurunan ketara dalam jumlah kes kemalangan jalan raya iaitu 1,203 kes pada tahun 2018 menurun ke 1,196 kes pada tahun 2019. Dari segi jumlah kemalangan yang menyebabkan kehilangan nyawa, tren telah menunjukkan penurunan yang ketara bagi 2 tahun berturut-turut dari 2017 hingga 2019. Iaitu 41% penurunan dari 2017 ke 2018 dan menurun lagi seterusnya sebanyak 23% iaitu dari 17 kes bagi tahun 2018 ke 13 kes bagi tahun 2019.  Sama-sama kita berharap serta dengan usaha gigih dan doa supaya kes-kes kemalangan ini akan terus menurun pada tahun-tahun seterusnya. 

    8.3 Ketiga – penekanan dalam keselamatan samada di dalam sektor pengangkutan dan infokomunikasi perhubungan adalah perkara yang sangat diambil berat. Melalui kempen-kempen pemberigaan kepada orang ramai terutama sekali menggunakan media sosial dan juga kerjasama erat di antara agensi-agensi keselamatan dalam aspek penguatkuasaan, keselamatan orang ramai adalah prioriti utama bagi Kementerian ini.  Sepertimana yang Peramba/Kaola/saya sebutkan sebelum ini, dalam memastikan keberadaan dan kesiap-siagaan agensi-agensi keselamatan dalam sektor pengangkutan, beberapa latihan keselamatan telah dijalankan pada penghujung tahun lepas, iaitu yang telah diungkayahkan oleh MPABD dan juga Jabatan Penerbangan Awam. Insha Allah, dengan usaha berterusan ini, aspek keselamatan bagi orang ramai adalah sentiasa terjaga dan terjamin.  

    8.4 Keempat – Di antara fungsi utama Kementerian dan Jabatan-Jabatan dibawahnya adalah juga bagi memudahcara perkhidmatan kepada orang ramai.  Dalam sektor pengangkutan awam, penggunaan Intelligent Transport System (ITS) adalah sangat bermanfaat terutama sekali dengan penggunaan teknologi aplikasi dalam pemberian perkhidmatan kepada orang ramai yang lebih efisien dan reliable.  Dalam hal ini, bagi tahun 2020, MTIC berhasrat untuk melaksanakan beberapa pilot projek yang berunsurkan ITS ataupun Smart Public Transport. 

     8.5 Kelima – mengenai dengan Pengkorporatan, Alhamdulillah sektor perkhidmatan pos sedang menuju ke arah satu modality pengkorporatan yang giat diusahakan oleh MTIC bersama pihak-pihak yang berkenaan. Dengan mensasarkan penubuhan sebuah entiti korporat pos pada suku pertama 2020, Insha Allah pelaksanaan pengkorporatan ini dihasratkan untuk dijalankan secara terperinci dan teratur dengan kerjasama pihak-pihak berkenaan. Ke arah ini juga, pengemaskinian dasar-dasar yang berkaitan dengan pengurusan Lapangan Antarabangsa Brunei (LTAB) sedang giat dijalankan. Ini adalah termasuk mengadakan rebiu ke atas Airport Masterplan Study dengan penubuhan Jawatankuasa Pandu yang mempunyai ahli-ahli dari agensi-agensi yang berkaitan melalui pendekatan Whole of Nation.  

     8.6 Keenam – Di peringkat antarabangsa pula, kerjasama yang kukuh dengan negara-negara ahli ASEAN melalui perjanjian-perjanjian dan pelan tindakan yang konsisten adalah sebagai garispanduan kepada sebarang inisiatif-inisiatif yang akan dijalankan pada sektor pengangkutan dan infokomunikasi .  Insha Allah, pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi akan menjadi tuan rumah dan pengerusi bagi mesyuarat ASEAN Transport Ministers Meeting (ATM) dan Mesyuarat-Mesyuarat yang berkaitan dengannya, yang dijangkakan akan diadakan pada bulan November 2020 ini.
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi juga turut memberi perhatian dalam memanfaatkan jalinan kerjasama dengan negara-negara sahabat yang lain.  Pada bulan November 2019, MTIC telah menandatangani dua (2) Memorandum Persefahaman dengan Republik Korea, iaitu untuk kerjasama dalam bidang ICT dan e-Kerajaan.  Alhamdulillah, penandatanganan kedua-dua MOU ini telah disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa lawatan negara Baginda ke Republik Korea pada bulan November 2019 lalu.  Dalam bidang pengangkutan pula, satu Memorandum Persefahaman juga telah ditandatangani dengan pihak Republik Korea khusus di dalam bidang penerbangan awam, pada November 2019. 

9 Akhir sekali, Peramba/Kaola/saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih, dan apa jua kekurangan adalah dipohonkan kemaafan dan apa jua feedback, adalah diterima dengan terbuka dan apa jua cadangan baik boleh kita sama-sama fikirkan bagi kebaikan bersama. Sekian terima kasih. 

Wabillahitaufiq Wal hidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.
*******











Attachments
Created at 11/01/2020 08:27 by Dk Dewi Najayati Pengiran Hj Shahrir
Last modified at 11/01/2020 08:27 by Dk Dewi Najayati Pengiran Hj Shahrir