Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
KEJADIAN KEBAKARAN KENDERAAN BERMOTOR DI STESEN MINYAK KOPERASI PERSATUAN KOTIBA, KAMPONG SALAMBIGAR

Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) merujuk kejadian kebakaran kenderaan bermotor jenis Nissan Cefiro yang berlaku di Stesen Minyak Koperasi Persatuan KOTIBA, Kampong Salambigar pada hari Isnin, 05 Ogos 2019.

Dalam kejadian tersebut kenderaan berkenaan telah didapati terbakar semasa hendak mengisi minyak petrol. Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (BFRD) telah berkejar ke tempat kejadian dan mendapati api telah dapat dikawal oleh pekerja-pekerja stesen minyak berkenaan.

Seterusnya pihak JPD, BFRD, Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian (MEMI) dan Syarikat Pemasaran Minyak Brunei Shell (BSM) telah mengadakan perjumpaan dan penyiasatan lanjut untuk mengetahui punca-punca kejadian kebakaran kenderaan berkenaan pada hari Selasa, 06 Ogos 2019.

Antara lain, hasil siasatan mendapati kenderaan terlibat adalah milik Sung Ah Chit iaitu seorang penduduk tetap Negara Brunei Darussalam tetapi kenderaan berkenaan dipandu oleh Mohammad Delower, seorang warga asing. Kenderaan berkenaan berumur 15 tahun (2004) dan didapati di dalam keadaan kurang baik dan tidak selamat untuk diguna-pakai. Lesen kenderaan ini juga didapati telah mansuh.

Pihak JPD dan BFRD mendapati semakin banyak kejadian kebakaran kenderaan berlaku pada masa ini dan terdapat beberapa punca kebakaran seperti kenderaan yang kurang penjagaan atau penyelengaraan, pengubahsuaian yang tidak menentu, pendawaian yang tidak teratur sehingga menyebabkan kebocoran saluran tangki minyak kenderaan dan "short-circuit" yang menghasilkan bunga-bunga api.

Susulan kejadian ini, pihak JPD ingin menarik perhatian orang ramai khususnya para pemilik kenderaan bermotor dan pemandu untuk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ada demi memastikan keselamatan bersama jua. Antara lainnya :

i) Memastikan kenderaan didalam keadaan baik dan tidak menyalahi Akta dan Peraturan Lalulintas Jalanraya seperti pengubahsuaian terhadap bentuk asal kenderaan;

ii) Apabila berada di stesen minyak, pemandu mestilah mematikan enjin kenderaan, dan tidak menyalakan api atau rokok, serta tidak menggunakan telefon bimbit kerana minyak kenderaan adalah bahan yang mudah terbakar;

iii) Melakukan pemeliharaan terhadap enjin dan sistem kenderaan mengikut tatacara yang betul dan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan untuk penyelanggaran (periodical servicing) oleh syarikat-syarikat pengedar kenderaan masing-masing atau stesen-stesen pemeriksaan kenderaan yang berdaftar di negara ini;

iv) Menggalakkan untuk mengadakan peralatan kecemasan bagi membantu sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini.


Jabatan Pengangkutan Darat dengan ini juga menekankan kepada pemandu-pemandu dan pemilik kenderaan bermotor di negara ini supaya:

 i) Memastikan urusan tukar milik kenderaan diuruskan dengan betul. Kegagalan berbuat demikian adalah menjadi kesalahan dibawah Peraturan 48, Peraturan Lalulintas Jalanraya Bab 68 dan boleh dikenakan kompaun sebanyak $50.00;


 ii)  Memastikan lesen kenderaan tidak mansuh dan masih sah digunakan. Kegagalan bebuat demikian adalah menjadi kesalahan dibawah Seksyen 8, Akta Lalulintas Jalanraya Bab 68 dan boleh dikenakan kompaun sebanyak $100.00 bagi kesalahan pertama, $200.00 bagi kesalahan kedua, $400.00 bagi kesalahan ketiga dan boleh dibawa ke mahkamah bagi kesalahan seterusnya;

iii) Memastikan lesen memandu adalah sah dan tidak mansuh. Kegagalan berbuat demikian adalah menjadi kesalahan dibawah Seksyen 16, Akta Lalulintas Jalanraya Bab 68 dan boleh dikenakan kompaun sebanyak $50.00 bagi kesalahan pertama, $150.00 bagi kesalahan kedua, $300.00 bagi kesalahan ketiga, $500.00 bagi kesalahan ke-empat dan kesalahan seterusnya boleh dihadapkan ke mahkamah.


Di kesempatan ini, pihak JPD menekankan pentingnya para pemandu dan pemilik kenderaan bermotor di negara ini untuk sama-sama bertanggungjawab dalam meningkatkan keselamatan di jalan raya terutama dalam mencegah kejadian kebakaran kenderaan. 

Jika orang ramai ingin mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai Akta dan Peraturan Lalulintas Jalanraya, sila hubungi Talian Darussalam 123; menghantar pesanan melalui Aplikasi WhatsApp Talian Darussalam +6738333123 atau melayari laman sesawang Talian Darussalam www.123.gov.bn.

 

Disediakan oleh :

Haji Rozaly bin Haji Saidon

Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat

Jabatan Pengangkutan Darat,

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi


Attachments