Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
SIDANG MEDIA BERSAMA JABATAN PENGANGKUTAN DARAT, JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT, SERTA PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI MENGENAI KEJADIAN KENDERAAN TERBAKAR

15 Jun 2020 – Beberapa kejadian kenderaan terbakar telah berlaku lagi dalam minggu-minggu kebelakangan ini.  Perkara ini adalah sangat membimbangkan dan kekerapan berlakunya kebakaran kenderaan ini perlu diatasi demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.  Sidang media bersama yang diadakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Pasukan Polis DiRaja Brunei pada pagi ini adalah untuk memberikan peringatan atau "awareness" kepada orang ramai khususnya pemilik-pemilik kenderaan dan pemandu serta mana-mana pihak yang berkenaan untuk meningkatkan kewaspadaan dan mengambil tindakan mengenainya.     

Sistem mekanikal, elektrikal dan penggerak yang terdapat dalam satu-satu kenderaan di samping fungsi utamanya untuk menggerakkan kenderaan adalah juga terdedah dengan bahaya kebakaran jika tidak dijaga dan diselenggarrakan dengan baik atau diubahsuai dengan tidak mengikut spesifikasi dan prosedur yang betul.

Manakala itu, kerosakan kepada sistem mekanikal, elektrikal seperti kebocoran bahan bakar (minyak) dan cecair yang mudah terbakar di dalam satu satu kenderaan dengan kepanasan enjin yang berlebihan boleh menjadi punca kebakaran dari ruangan enjin kenderaan.  Sering didapati ialah kes-kes kebakaran kenderaan yang berpunca litar pintas dan penggunaan arus elektrik (current) yang berlebihan disebabkan pengubahsuaian sistem pendawaian di luar spesifikasi dan pendawaian asal atau keadaan sistem yang sudah rosak dan reput terutama bagi kenderaan yang sudah lama.

Sehubungan itu, Jabatan pengangkutan Darat (JPD), ingin menasihatkan kepada orang ramai untuk meningkatkan kewaspadaan mengenai kenderaan-kenderaan mereka iaitu antaranya :

 

  1. Tidak membuat sebarang pengubahsuaian kenderaan samaada dari segi reka bentuk dan sistem dalamannya daripada yang asal; 
  2. Tidak mengubahsuai sistem pendawaian elektronik atau enjin kenderaan dengan tidak teratur atau mendapatkan perkhidmatan mekanik yang khusus dan berkelayakan;
  3. Mengadakan pemeliharaan kenderaan terutama sekali pemeliharaan enjin dan sistem dalaman kenderaan mengikut jadual sepatutnya (periodical servicing) dan tatacara yang betul;
  4. Mendapatkan khidmat pemeliharaan dan pemeriksaan kenderaan daripada bengkel-bengkel yang diiktiraf oleh JPD; 
  5. Tidak membiarkan enjin kenderaan hidup terlalu lama lebih-lebih lagi di bawah panas matahari; 
  6. Berhati-hati dan berwaspada mengenai penggunaan alat ganti kenderaan; dan
  7. Tidak meninggalkan benda atau barang seperti power bank, talipon bimbit atau barang yang mudah terbakar atau meletup seperti botol-botol minyak / gas dan seumpamanya di dalam kenderaan terdedah kepada panas matahari;       

Manakala itu, khusus bagi pemilik-pemilik bengkel kenderaan, pihak JPD ingin mengingatkan supaya sentiasa memberikan khidmat pemeliharaan dan penyelanggaraan kenderaan dengan teratur dan mengutamakan tahap keselamatan, iaitu:-

  1. Memastikan pekerja-pekerja seperti mekanik yang bertauliah, cekap dalam kerja-kerja mereka;
  2. Mengikuti piawaian dan prosedur yang baik dan teratur;
  3. Mengambil berat tentang keselamatan dan kesejahteraan orang ramai melalui khidmat pemeliharaan dan penyelenggaraan kenderaan yang bermutu tinggi serta teratur; dan
  4. Tidak menggunakan alat-alat ganti yang berkualiti rendah atau tidak sesuai dengan model kenderaan.

Seterusnya, JPD dan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak Pasukan Polis DiRaja Brunei akan meneruskan untuk memantau kes-kes kejadian kebakaran kenderaan di Negara ini. Usaha-usaha akan dibuat untuk melakukan pemeriksaan-pemeriksaan rambang ke syarikat-syarikat berkenaan dan premis-permis bengkel dengan kerjasama agensi-agensi berkenaan bertujuan memastikan peraturan dan piawaian dipatuhi. Pihak JPD dan agensi-agensi penguatkuasaan peraturan dan undang-undang tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak individu atau bengkel yang menyalahi peraturan dan undang-undang yang berjalan dari masa ke semasa.

Sebarang aduan berkaitan dengan pengubahsuaian terhadap bentuk asal kenderaan atau pengubahsuaian sistem pendawaian kenderaan tanpa mengikut spesifikasi, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darusalam 123 atau melalui Aplikasi WhatsApp Talian Darussalam +6738333123 atau melayari laman sesawang Talian Darussalam www.123.gov.bn dengan menyertakan gambar mengenai kenderaan terbabit.

Disediakan oleh:

Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

SIDANG MEDIA BERSAMA.jpg


Attachments