Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA) berkenan berangkat sebagai Tetamu Kehormat ke Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2024 dan seterusnya menyempurnakan pengurniaaan hadiah kepada pemenang-pemenang BICTA. Majlis diadakan pagi tadi di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al- Muhtadee Billah dijunjung oleh:
i. Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi;
ii. Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2024;
iii. Yang Mulia Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, Pengerusi, InfoCom Federation Brunei (IFB) selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2024; dan
iv. Yang Mulia Ir. Jailani bin Haji Buntar, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi, Negara Brunei Darussalam (AITI);
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Salim bin Haji Awang Besar.
Majlis diteruskan dengan Sembah Alu-Aluan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Dalam Sembah Alu-Aluannya, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi antara lain menyembahkan mengenai jumlah penyertaan BICTA pada tahun ini. Sebanyak 158 penyertaan telah diterima dengan peningkatan kira-kira 70% berbanding tahun sebelumnya. Jumlah ini merupakan yang tertinggi pernah dicatat sepanjang pertandingan BICTA diadakan dengan penyertaan terbanyak daripada sekolah-sekolah dan tenaga pengajar. Ini mencerminkan minat yang luar biasa dari generasi muda yang memiliki semangat tinggi untuk mengeksplorasi dan mencipta penyelesaian inovatif untuk pelbagai cabaran yang kita hadapi hari ini.
(Sembah Alu-aluan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi disertakan setelah checked upon delivery).
Semasa Majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan tayangan video mengenai BICTA 20 Tahun yang memaparkan pencapaian-pencapaian BICTA sepanjang dua puluh (20) tahun ianya dikendalikan. Seterusnya, ulasan keputusan bagi BICTA 2024 telah diumumkan oleh Yang Mulia Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, selaku Ketua Hakim bagi Anugerah BICTA 2024. Ini disusuli dengan tayangan video “Catatan Perjalanan BICTA 2024” yang memperlihatkan kompilasi aktiviti dan pengalaman para peserta BICTA sepanjang tahun 2024.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah BICTA 2024 bagi setiap kategori pertandingan, Anugerah Negara Pintar dan penyempurnaan pengurniaan Anugerah Penaung Diraja BICTA. Terdapat sepuluh (10) kategori dipertandingkan yang terdiri daripada:
i. Tujuh (7) Kategori Utama, iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Pengajian Tinggi, Perkhidmatan Pengguna dan Perniagaan, Khidmat Kemasyarakatan dan Keikutsertaan, Perindustrian, dan Awam dan Kerajaan; dan
ii. Tiga (3) Kategori Silang, iaitu Pemula (Start-Up), Penyelidikan dan Perkembangan, dan Teknologi.
Kategori Sekolah Rendah
Sekolah Rendah Rimba III dengan produk ASK ALAI telah diumumkan sebagai juara bagi Kategori Sekolah Rendah dan menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$1,000.00.
Lima (5) anugerah merit telah dianugerahkan kepada:
i. [Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan] dengan produk [ScamCareBN];
ii. [Seri Mulia Serjana International School] dengan produk [TerraBN Sentinal];
iii. [Sekolah Rendah Lambak Kanan 49] dengan produk [PIXEL PIONEER 49ERS];
iv. [Sekolah Rendah Lambak Kanan 49] dengan produk [CODE CRAFTER 49ERS]; dan
v. [Sekolah Rendah Tumpuan Telisai] dengan produk [Bantu Pelajar Kitani].
Penerima-penerima anugerah merit masing-masing menerima sebuah trofi, sijil dan wang tunai berjumlah B$500.00.
Kategori Sekolah Menengah
[Sekolah Menengah Berakas] dengan produk [Project Aquacool Evaporative Cooling Suit] telah diumumkan sebagai juara bagi Kategori Sekolah Menengah, dan menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$1,500.00.
Lima (5) anugerah merit telah dianugerahkan kepada:
i. [Chung Hwa Middle School, Bandar Seri Begawan] dengan produk [TrashMove];
ii. [Chung Hwa Middle School, Bandar Seri Begawan] dengan produk [Parents Care];
iii. [Maktab Anthony Abell] dengan produk [Intellect Trails Puzzle];
iv. [Chung Hwa Middle School, Bandar Seri Begawan] dengan produk [InnerPal]; dan
v. [Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan] dengan produk [Intention].
Penerima-penerima anugerah merit masing-masing menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$800.00.
Kategori Pengajian Tinggi
[Universiti Teknologi Brunei] dengan produk [BirthPro VR: Low Risk Birth VR Simulation] diumumkan sebagai juara bagi Kategori Pengajian Tinggi dan menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$2,000.00.
Dua (2) anugerah merit telah dianugerahkan kepada:
i. [Universiti Islam Sultan Sharif Ali] dengan produk [Intelligent Maqra’ah Online Al Qur’an]; dan
ii. [Universiti Teknologi Brunei] dengan produk [Sustainable Smart Water Management System At Home Using IoT].
Penerima-penerima anugerah merit masing-masing menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$1,000.00.
Kategori Perkhidmatan Pengguna dan Perniagaan
[SOUL CAT Entertainment] dengan produk [VAGUE] diumumkan sebagai juara bagi Kategori Perkhidmatan Pengguna dan Perniagaan, dan menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai
berjumlah B$5,000.00.
Satu (1) anugerah merit telah dianugerahkan kepada [Rumine Corporation] dengan produk [Safety XR], dan menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$2,500.00
Kategori Perkhidmatan Masyarakat dan Keikutsertaan
[DigiNations] dengan produk [DigiThink] diumumkan sebagai juara bagi Kategori Perkhidmatan Masyarakat dan Keikutsertaan, dan menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$5,000.00.
Satu (1) anugerah merit telah dianugerahkan kepada [Datastream Digital Sdn Bhd (DST)] dengan produk [eZakat], dan menerima sebuah trofi, sijil dan wang tunai berjumlah B$2,500.00.
Kategori Perindustrian
Tidak ada pemenang bagi Kategori Perindustrian. [Progresif Sdn Bhd] dengan produk [ding!] diumumkan sebagai penerima anugerah merit dan menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$2,500.00.
Kategori Awam dan Kerajaan
Tidak ada pemenang bagi Kategori Awam dan Kerajaan. [Public Service Commission] dengan produk [PSCR 2.0] diumumkan sebagai penerima anugerah merit dan menerima sebuah trofi dan sijil.
Kategori Pemula
Tidak ada pemenang bagi Kategori Pemula. [SOUL CAT Entertainment] dengan produk [VAGUE] diumumkan sebagai penerima anugerah merit dan menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$2,500.00.
Kategori Penyelidikan dan Perkembangan
[Pararoutte Company] dengan produk [Empowering Rural and Urban Resilience: Holistic FloodTech] diumumkan sebagai juara bagi Kategori Penyelidikan dan Perkembangan, dan menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$5,000.00.
Satu (1) anugerah merit telah dianugerahkan kepada [DigiNations] dengan produk [DigiThink], dan menerima sebuah trofi, sijil dan wang tunai berjumlah B$1,500.00.
Kategori Teknologi
[Datastream Digital Sdn Bhd (DST)] dengan produk [eZakat] diumumkan sebagai juara bagi Kategori Penyelidikan dan Perkembangan, dan menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah B$5,000.00.
Satu (1) anugerah merit telah dianugerahkan kepada [AIQuatic Enterprise] dengan produk [AIQuatic], dan menerima sebuah trofi, sijil dan wang tunai berjumlah B$1,500.00.
Anugerah Negara Pintar
Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Negara Pintar yang dianugerahkan kepada peserta yang tidak memenangi mana-mana kategori pertandingan, tetapi telah memenuhi ciri-ciri aspirasi negara pintar. Penerima-penerima bagi Anugerah Smart Nation menerima plak dan sijil. Mereka adalah:
• [TechBru Solution (B) Sdn Bhd] dengan produk [AssetTrack+] bagi sektor Logistik & Pengangkutan; dan
• [Pusat Teknologi Pendidikan (EdTech), Kementerian Pendidikan] dengan produk [SUMBER, Digital Resource Management System (DRMS)] bagi sektor Pendidikan.
Tidak ada penerima Anugerah Smart Nation bagi sektor Pelancungan, Pertanian dan Pembinaan. Trofi bagi semua kategori pertandingan dan plak bagi Anugerah Negara Pintar adalah sumbangan Imagine Sdn Bhd.
Anugerah Penaung Diraja BICTA 2024
[eZakat] oleh [Datastream Digital Sdn Bhd (DST)] diumumkan sebagai penerima Anugerah Penaung Diraja BICTA 2024, yang dianugerahkan kepada pemenang terbaik keseluruhan dari kalangan kesemua kategori.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Sejurus itu, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk melawat ke Galeri BICTA 20 Tahun dan pameran produk-produk para pemenang BICTA 2024.
Selain daripada memenangi hadiah wang tunai dan trofi, para pemenang dalam setiap kategori juga berpeluang untuk mewakili negara ke Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) 2024 yang akan diadakan pada penghujung tahun ini di Negara Brunei Darussalam. Anugerah APICTA merupakan pertandingan ICT di peringkat antarabangsa yang berprestij, disertai oleh 17 ahli ekonomi dari rantau Asia Pasifik. Sejak penyertaannya di APICTA pada tahun 2001, Negara Brunei Darussalam setakat ini telah meraih empat (4) anugerah kemenangan dan 32 anugerah merit.
BICTA merupakan pertandingan ICT tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB). Pertandingan ini bertujuan untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT di kalangan individu, pelajar serta perusahaan tempatan. BICTA turut disokong oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan dan Darussalam Enterprise (DARe).
Anugerah BICTA pada tahun ini bertemakan Negara Pintar Melalui Transformasi Digital, selaras dengan visi Majlis Ekonomi Digital dan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 yang memfokuskan kepada pentingnya memanfaatkan teknologi digital bagi perkembangan sosio-ekonomi dan memperkayakan masyarakat dengan kemahiran dan pengetahuan bagi menyertai ekonomi digital secara efektif.
Dikeluarkan oleh:-
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam
26 Zulhijah 1445H / 03 Julai 2024