Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Jumaat, 22 November 2024 - Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN kali ke-30 (ATM ke-30) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan
1. Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, telah mewakili Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN kali ke-30 (ATM ke-30) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang telah diadakan pada 21 hingga 22 November 2024 di Kuala Lumpur, Malaysia. 



2. Mesyuarat ATM ke-30 telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof, Timbalan Perdana Menteri II Malaysia. Mesyuarat ATM ke-30 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan seterusnya dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan, Malaysia selaku Pengerusi Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ASEAN Transport Ministers – ATM) pada tahun 2024. 



3. Mesyuarat tersebut telah mensahkan dokumen-dokumen berikut, yang memberi tumpuan kepada kemampanan sektor pengangkutan melalui usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif seperti dekarbonisasi dan pendigitalan: - 

i.   Signing of Protocol 5 on own stopover rights to the ASEAN Multilateral Agreement on the Full Liberalisation of Passenger Air Services; 
ii.    ASEAN Guidelines on Light Electric Vehicles (LEV); 
iii.   ASEAN Guidelines on Urban Freight Transport (UFT); 
iv. ASEAN Guidelines on Port Sector Public Private Partnership (PPP); dan 
v. ASEAN Guidelines on Port Digitalisation and Automation. 

4. Mesyuarat ATM ke-30 seterusnya diikuti dengan Mesyuarat-Mesyuarat bersama Rakan-Rakan Dialog Pengangkutan ASEAN iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea bagi membincangkan inisiatif-inisiatif kearah mengembangmajukan kerjasama pengangkutan termasuk mensahkan rangka kerja-rangka kerja utama masing-masing. 

5. Yang Behormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi telah menandatangani Protocol 5: Own Stopover Rights between Any Points within the Territory of any other ASEAN Member State di bawah ASEAN Multilateral Agreement on the Full Liberalisation of Passenger Air Services (MAFLPAS) bagi pihak Kerajaan Negara Brunei Darussalam pada hari Khamis, 21 November 2024. Protokol 5 di bawah MAFLPAS ini akan membolehkan syarikat-syarikat penerbangan dari negara-negara ahli ASEAN untuk menurunkan serta mengambil penumpang di antara dua atau lebih points selepas membuat persinggahan di AMS yang lain bagi perjalanan yang sama. Protokol 5 ini berpotensi untuk meluaskan lagi pilihan kepada penumpang dan pada masa yang sama akan meningkatkan lagi jumlah pergerakan penumpang di rantau ASEAN. 

6. Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi membuat perjumpaan dua hala bersama Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia, selaku Pengerusi dan Tuan Rumah bagi Mesyuarat ATM pada tahun 2024. Yang Berhormat Menteri-Menteri telah membincangkan cara-cara meningkatkan kerjasama di sektor pengangkutan di antara kedua-dua negara, termasuk dalam pendigitalan perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan yang berkaitan, serta pengiktirafan bersama dokumen-dokumem, yang akan membolehkan pergerakan rentas sempadan yang lebih efisien. Kedua-dua Menteri juga menyatakan hasrat serta komitmen bersama untuk terus memupuk kerjasama di antara kedua belah pihak. 

7. Yang Berhormat Menteri juga membuat perjumpaan dua hala masing-masing bersama Tuan Yang Terutama Chee Hong Tat, Menteri Pengangkutan Republik Singapura, yang mana Menteri-Menteri telah membincangkan peluang dan hasrat untuk mengembangluaskan lagi kerjasama di sektor pengangkutan di antara kedua belah pihak terutamanya dalam bidang kelestarian, dan bersama Tuan Yang Terutama Park Sangwoo, Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (Minister of Land, Infrastructure and Transport) Republik Korea, yang mana Menteri-Menteri telah membincangkan hasrat kerjasama di dalam pembangunan bandar pintar dan bertukar-tukar pendapat mengenai meningkatkan kerjasama dalam bidang pengangkutan pintar. 

8. Mesyuarat ATM ke-30 ini didahului dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN kali ke-58 (STOM ke-58) dan Mesyuarat bersama Rakan-Rakan Dialog yang diadakan pada 18 hingga 20 November 2024 di Kuala Lumpur, Malaysia. Delegasi Negara Brunei Darussalam ke STOM ke-58 diketuai oleh Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Mesyuarat STOM ke-58 telah membincangkan dokumen-dokumen untuk dihadapkan kepada Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN, dan juga status program, aktiviti dan projek dibawah rangka kerja Kuala Lumpur Transport Strategic Plan (KLTSP) 2016-2025. Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN ini juga berkesempatan untuk membincangkan mengenai perkembangan-perkembangan global dan serantau yang memberikan impak kepada sektor pengangkutan, termasuk antaranya shift in global political affairs and trade flows, pendigitalan, dekarbonisasi dan isu-isu rantaian bekalan (supply chain issues). 



9. Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) merupakan platform tahunan di mana Menteri-Menteri Pengangkutan dari negara-negara ahli ASEAN berkumpul untuk berbincang dan meneruskan kerjasama pengangkutan dalam ASEAN dan Rakan-Rakan Dialog khususnya mengenai kemajuan kerjasama pengangkutan termasuk projek-projek dan inisiatif-inisiatif dalam meningkatkan lagi kesalinghubungan dan mewujudkan sistem pengangkutan yang cekap, selamat dan mampan demi menyokong integrasi dan kemajuan ekonomi di rantau ASEAN. 

Disediakan oleh: 
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, 
Negara Brunei Darussalam 
22 November 2024



Attachments