Majlis Keselamatan Kebangsaan Jalan Raya (MKKJR) dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) hari ini telah mengadakan Majlis Sempena Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2024 di Dewan Mawaddah, SetiaPoint, Mukim Berakas A.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Mohammad bin Haji Bagol, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampong Lambak Kiri, diikuti dengan Ucapan Alu-Aluan dari Yang Mulia Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Setiausaha Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Bin Pengiran Dato Paduka Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, selaku Pengerusi MKKJR, hadir sebagai tetamu kehormat dan melancarkan poster kempen bertemakan “HARI ITU (THAT DAY)”. Poster ini mengetengahkan kisah-kisah benar kemalangan jalan raya di Negara Brunei Darussalam yang meragut nyawa pemandu dan penumpang, serta mengakibatkan kecederaan serius dengan kesan berpanjangan kepada mangsa dan keluarga mereka. Tema ini bertujuan memberi kesedaran kepada semua pihak tentang pentingnya keselamatan di jalan raya.
Majlis diteruskan dengan penyampaian piala dan hadiah oleh Yang Berhormat Menteri kepada murid dan pelajar yang menyertai pelbagai pertandingan keselamatan jalan raya. Inisiatif ini merangkumi Pertandingan Lukisan Keselamatan Jalan Raya untuk sekolah rendah, Pertandingan Kuiz Keselamatan Jalan Raya untuk sekolah menengah, maktab, dan pusat tingkatan enam, serta pertandingan reka bentuk video klip animasi Keselamatan Jalan Raya dan video klip RADED (Road Accident Data Enhancement and Development). Aktiviti ini bertujuan memupuk kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah Pengarah, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.
Sebagai sebahagian daripada aktiviti sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia tahun ini, sebuah bengkel bertajuk “Crash Investigation (Basic Level) In-house Training Workshop” turut diadakan dengan kerjasama antara Majlis Keselamatan Kebangsaan Jalan Raya (MKKJR) dan Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) dari Malaysia. Bengkel ini akan berlangsung selama tiga (3) hari dari 26 hingga 28 November 2024 dengan bertujuan untuk memberi latihan kepada agensi-agenis penguatkuasaan dan pihak-pihak berkepentingan dalam memperkukuhkan kemahiran mereka berkaitan proses asas penyiasatan punca kemalangan, merekod bukti-bukti, serta mengenalpasti langkah-langkah berkesan bagi menangani isu-isu keselamatan jalan raya.
Selain itu, bengkel ini juga menjadi platform untuk berkongsi inisiatif serta amalan terbaik dalam penyiasatan kemalangan jalan raya, dengan harapan dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pencegahan kemalangan di masa hadapan.
Dalam kesempatan ini, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKKJR) menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada, memberi tumpuan penuh semasa memandu, dan mengamalkan sikap berhemah. Keamanan dan keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama, yang bermula dengan diri kita sendiri.
MENGENAI WDoR:
Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia atau World Day of Remembrance for Road Traffic Victims (WDoR) adalah inisiatif antarabangsa yang jatuh pada Hari Ahad minggu ketiga pada bulan November setiap tahun. WDoR memberikan peluang kepada pelbagai pihak termasuk daripada Agensi-agensi Kerajaan, Sektor swasta, penyelidik dan akademia, perkhidmatan perubatan dan kecemasan, penyelamat, serta masyarakat umum dalam menggariskan keutamaan dalam kesedaran Keselamatan Jalan Raya.
Disediakan oleh:
Majlis Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam (MKKJR) dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC)