Majlis Perasmian dan Sambutan Gala Anugerah Bersekutu ICT Asia Pasifik (APICTA) 2024 telah diadakan pada malam ini di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei. Berkenan berangkat sebagai Tetamu Kehormat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh:-
i. Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi;
ii. Yang Mulia Mr. Fulvio Inserra, Pengerusi APICTA;
iii. Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi bersama I Jawatankuasa Kerja Anugerah APICTA 2024;
iv. Yang Mulia Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, Pengerusi, InfoCom Federation Brunei (IFB) selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Kerja Anugerah APICTA 2024; dan
v. Yang Mulia Haji Jailani bin Haji Buntar, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI).
Majlis Perasmian dan Sambutan Gala dimulakan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan diikuti dengan sembah ucapan oleh Pengerusi APICTA, Yang Mulia Mr. Fulvio Inserra.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan merasmikan pelancaran Anugerah APICTA 2024, menandakan permulaan acara berprestij ini. Selepas pelancaran tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima Pesambah daripada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Majlis diteruskan dengan tayangan video Anugerah yang memaparkan pelbagai kategori pertandingan dan gambaran aktiviti yang berlangsung sepanjang minggu acara APICTA 2024 diadakan. Majlis juga turut menampilkan persembahan kebudayaan menarik dan hiburan oleh penyanyi dan penari tempatan. Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung untuk beramah mesra dengan para delegasi, yang mana membangkitkan lagi semangat kerjasama dan penghargaan bersama di kalangan ahli-ahli ekonomi APICTA.
Majlis Perasmian dan Sambutan Gala Anugerah APICTA merupakan satu perhimpunan dinamik yang menjadi titik permulaan bagi acara-acara sepanjang minggu. Majlis ini menjadi platform untuk mengalu-alukan kedatangan para delegasi, peserta, penaja, dan tetamu, serta menyediakan peluang untuk menjalin jaringan dan meraikan inovasi dalam ICT. Majlis yang turut mencerminkan semangat persahabatan dan harapan ini, menandakan bermulanya perjalanan menuju ke arah pengiktirafan kecemerlangan dan kejayaan dalam dunia digital.
Anugerah APICTA diadakan setiap tahun sebagai platform pertandingan rantau Asia Pasifik bagi produk dan penyelesaian digital inovatif, mengiktiraf daya saing dan potensinya di peringkat Asia Pasifik. APICTA terdiri daripada 17 ahli ekonomi, termasuk Australia, Bangladesh, Negara Brunei Darussalam, Republik Rakyat China, Chinese Taipei, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macao, Malaysia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Thailand, dan Vietnam.
Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam mendapat keistimewaan untuk menjadi tuan rumah bagi Anugerah APICTA 2024, yang merupakan satu lagi titik pencapaian, bertepatan dengan ulang tahun ke-20 penganjuran Anugerah ICT Brunei (BICTA). Ini merupakan kali kedua Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah bagi Anugerah APICTA sejak tahun 2012, dan negara menyambut peluang untuk menghimpunkan lebih daripada 500 delegasi dari negara-negara ahli. Ini terdiri daripada ahli Jawatankuasa Eksekutif APICTA (EXCO), para juri, peserta pertandingan, dan wakil industri dari rantau Asia Pasifik. Anugerah APICTA 2024 dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB).
Anugerah APICTA 2024 mempertandingkan sebanyak tiga puluh lima (35) kategori, termasuk sub-kategori bagi Pengguna, Perkhidmatan Masyarakat dan Keikutsertaan, Perindustrian, Perkhidmatan Perniagaan, Sektor Awam dan Kerajaan, Penuntut, Kategori Silang dan Anugerah Teknologi. Di samping itu, Anugerah Pilihan Ramai juga turut dipertandingkan bagi Kategori Penuntut Senior dan Kategori Projek Penuntut Pengajian Tinggi, di mana peserta yang memperoleh undian yang tertinggi daripada orang ramai akan layak memenangi Anugerah tersebut.
Beberapa aktiviti telah dirancang sepanjang Anugerah APICTA 2024. Antaranya adalah Business Networking dan Students Networking yang membuka peluang untuk jaringan hubungan di kalangan pihak-pihak yang berkepentingan terutama sekali mereka yang terlibat dalam bidang teknologi dan inovasi - untuk berhubung, berkerjasama dan bertukar-tukar idea. Selain itu, bersempena dengan Anugerah APICTA 2024, Pameran Digital Brunei yang mengetengahkan kemajuan inovasi dan komitment Negara Brunei Darussalam ke arah transformasi digital diadakan dari 4 hingga 6 Disember 2024 bertempat di Atrium, The Mall, Gadong dan dibukakan untuk kunjungan orang ramai dari jam 10 pagi hingga 9 malam.
Untuk maklumat lanjut dan terkini mengenai Anugerah APICTA 2024, ikuti Instagram @apicta.awards atau layari www.apicta2024.bn.
[TAMAT]