Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya telah mengadakan Kempen Kebersihan Senegara 2024 di bawah Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan pada pagi ini di Kampong Tamoi, Daerah Brunei-Muara.
Hadir ikut serta dalam kempen tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Turut hadir ialah Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Lumapas; Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan); Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi); Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara; Pengarah-Pengarah; Pegawai-Pegawai Kanan; Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya. Juga turut sama menyertai kempen tersebut ialah penduduk-penduduk dan belia-belia kampung setempat.
Kempen dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Haji Mohammad Nurhafiz bin Haji Abd Rahman, Penolong Pengurus di Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), diikuti dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh wakil Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Kempen ini adalah merupakan salah satu usaha bersepadu dalam sama-sama menyokong inisiatif Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan (JIIK) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar. Ianya juga bertujuan memupuk nilai rasa tanggungjawab yang tinggi di kalangan penduduk kampung dan orang awam tentang pentingnya amalan mewujudkan suasana persekitaran yang bersih dan bebas pencemaran. Disamping itu juga, aktiviti ini turut berperanan mengeratkan silaturrahim dan meningkatkan perpaduan antara warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) serta penduduk setempat.
Pada penghujung Kempen Kebersihan yang disertai oleh lebih daripada 300 orang, sebanyak kira-kira 1000.1 kilogram sampah berjaya dikumpulkan. Pencapaian ini jelas mencerminkan semangat kerjasama, kesedaran, dan kepedulian yang tinggi terhadap kebersihan alam sekitar.
Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Emel: info@mtic.gov.bn