Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Sabtu, 19 November 2022 - Malam Munajat Anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-62 Dengan Kerjasama Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)



Semua pengguna jalan raya adalah dinasihatkan agar meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya ketika memandu di jalan raya.  

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) menyampaikan saranan tersebut pada Malam Munajat ke-62 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) bersempena menyambut Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2022. 

Munajat kali ini turut mengundang tetamu-tetamu khas terdiri daripada ahli-ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sufri Bolkiah, Kampong Perpindahan Berakas dan pelajar-pelajar IBTE Kampus Agro-Teknologi.   

Malam Munajat minggu ini juga menyaksikan penyertaan jemaah daripada 103 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat seluruh Negara, serta daripada warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Hal Ehwal Ugama berserta keluarga dari kediaman masing-masing.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi MKKJR memulakan acara pada malam tadi dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Seterusnya bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Narudin bin Lamit, Guru Ugama Tingkat II, IBTE Kampus Agro-Teknologi dari Surau IBTE Kampus Agro-Teknologi Wasan bersama pelajar-pelajar IBTE Kampus Agro-Teknologi.

Diikuti dengan bacaan Doa Munajat oleh Yang Mulia Awang Haji Hamzah bin Haji Sabtu, Penolong Setiausaha Majlis Ugama Islam, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Acara juga diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Pemanduan Berhemah' disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Sammali bin Haji Adam, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dari Masjid Sufri Bolkiah, Kampong Perpindahan Berakas.

Intipati Tazkirah antara lain mengingatkan kita bahawa nikmat yang Allah kurniakan berupa kenderaan dan jalan raya sewajarnya dimanfaatkan dengan bijaksana dan penuh berhemah.  Selaku pemandu dan pengguna jalan raya hendaklah berusaha agar dapat mengelakkan dan menyelamatkan daripada kemalangan. Bukan hanya keselamatan untuk diri sendiri malah juga keselamatan untuk orang yang ada di sekeliling. 

Pemanduan berhemah adalah sebahagian daripada sikap amal soleh yang Allah jamin akan memperoleh kehidupan yang baik sebagaimana maksud firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 97: “Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan".

Oleh itu, sebelum melakukan perjalanan, sebagai pemandu perlu mempersiapkan dirinya dengan pengetahuan-pengetahuan khusus tentang pemanduan, perlu tahu undang-undang jalan raya, mempunyai kemahiran dalam aspek pemanduan, mempunyai sikap yang betul ketika memandu dan mengamalkan sikap mencegah kemalangan dalam menghadapi pelbagai halangan semasa di jalan raya bagi menyelamatkan nyawa, harta dan masa pengguna jalan raya.

Acara Malam Munajat diteruskan lagi dengan bacaan Zikir Taubat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Ashraf bin Haji Bujang, Pegawai Masjid Imam Tingkat III, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama ahli-ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya dan para pegawai serta kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Bagi memberkati acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Ashraf bin Haji Bujang, Pegawai Masjid Imam Tingkat III, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama ahli-ahli MKKJR dan para pegawai serta kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Malam Munajat mengajak orang ramai melipatgandakan amalan seharian dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar, semata-mata untuk memohon keampunan, perlindungan, rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.  Di samping itu, berdoa agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara dari sebarang musibah yang tidak diingini dan berjaya membendung penularan penyakit merbahaya seperti COVID-19.

Orang ramai dipelawa untuk menyertai Malam Munajat dari mana jua mereka berada pada setiap hari Sabtu (malam Ahad) dengan melayari pautan http://tiny.cc/munajatkheu atau melalui Instagram Pusat Da'wah Islamiah @pdi_kheu

 

 

-TAMAT-

 

 

Disediakan oleh: 

Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS

Kementerian Hal Ehwal Ugama

Negara Brunei Darussalam

 

Tarikh: 25 Rabiulakhir 1444H bersamaan 19 November 2022M


Attachments