Skip to main content

News

2026 APEC Smart Mobility Forum

2026 APEC Smart Mobility Forum telah diadakan di Westin Josun, Seoul, Republik Korea, dari 14 hingga 16 Oktober 2026. Forum yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (MOLIT) dan Institut Pengangkutan Korea (KOTI), Republik Korea ini telah dihadiri oleh wakil pegawai-pegawai kerajaan daripada ekonomi anggota APEC, pakar antarabangsa, ahli akademik dan pihak berkepentingan industri. Tujuan forum ini diadakan adalah sebagai platfom untuk berkongsi dasar mobiliti pintar, kajian kes operasi, dan trend teknologi, serta membincangkan hala tuju kerjasama pada masa hadapan.

Diadakan dengan tema “Bridging Policy, Technology and Operation for Smart Mobility: For People, Prosperity and Partnership”, forum ini menumpukan kepada pengembangan “Cadangan Mobiliti Pintar APEC” yang telah diterima pakai semasa forum pertama sebelumnya.  Perbincangan forum merangkumi aspek dasar, operasi dan teknologi yang bertujuan untuk mengekalkan serta memajukan kerjasama mobiliti pintar dalam kalangan ekonomi APEC, dengan tumpuan khusus diberikan kepada Kecerdasan Buatan (AI), pemanduan autonomi, infrastruktur digital, sistem pengangkutan pintar (ITS), tadbir urus data, piawaian antarabangsa, serta pendekatan praktikal bagi pelaksanaan mobiliti pintar. Cadangan tersebut menggariskan 10 hala tuju untuk memperluas mobiliti pintar, yang merangkumi integrasi, kesalinghubungan, inovasi, kemakmuran dan pendekatan yang berteraskan orang ramai.

Forum juga menekankan kepentingan penyelarasan dasar, teknologi, dan keupayaan operasi dalam menyokong pembangunan sistem pengangkutan yang lebih selamat, cekap dan mampan. Program berkenaan juga merangkumi lawatan teknikal ke Korea Expressway Corporation Traffic Information Center dan Samsung Innovation Museum, yang memberikan pendedahan kepada delegasi Negara Brunei Darussalam mengenai pendekatan pengurusan trafik serta perkembangan inovasi teknologi dalam sektor pengangkutan.

Bagi Negara Brunei Darussalam, penyertaan dalam forum ini adalah selaras dengan usaha berterusan negara dalam memperkukuh pembangunan sektor pengangkutan, khususnya melalui penggunaan teknologi digital dan penerapan sistem pengangkutan pintar. Dalam hubungan ini, pelaksanaan beberapa inisiatif seperti DriveBN, Smart Transportation System dan Smart City Integrated Platform Pilot merupakan antara usaha ke arah meningkatkan kecekapan, kesalinghubungan dan kualiti perkhidmatan pengangkutan negara. Penyertaan dalam forum ini turut memberikan pendedahan kepada perkembangan dan pendekatan terkini dalam bidang pengangkutan pintar yang dapat dijadikan rujukan bagi menyokong penambahbaikan inisiatif sedia ada serta meneliti penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan dan keutamaan negara.

Delegasi Brunei Darussalam ke forum tersebut diketuai oleh Yang Mulia Awang Suhara Fadzali bin Haji Yusop, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), dengan disertai pegawai-pegawai kanan daripada MTIC.

Forum Mobiliti Pintar APEC 2026 menyediakan platfom penting bagi dialog dan kerjasama serantau mengenai pembangunan masa depan sistem pengangkutan. Fokusnya untuk menghubungkan dasar, teknologi, dan operasi mencerminkan keperluan bagi pendekatan yang terkoordinasi dalam menangani cabaran pengangkutan, di samping memanfaatkan inovasi teknologi.

MINISTRY OF TRANSPORT AND INFOCOMMUNICATIONS

Jalan Menteri Besar

Bandar Seri Begawan, BB3910

Brunei Darussalam

09 Jamadilawal 1448

20 Oktober 2026