News
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa dibawahnya dengan kerjasama Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB) telah menganjurkan program Multaqa Melayu Islam Beraja di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) pada hari Khamis, 12 Muharram 1446 bersamaan 18 Julai 2024.
Turut menghadiri program tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa dibawahnya.

Program tersebut telah diisikan dengan dua sesi ceramah yang bertajuk ‘Sejarah Negara Melayu Islam Beraja’ yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei. Sesi ceramah kedua bertajuk ‘Melayu Islam Beraja dalam Perkhidmatan Awam’ telah disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Profesor Adjung, Universiti Brunei Darussalam.

Program Multaqa Melayu Islam Beraja bertujuan untuk mengukuhkan dan mengembangkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengalaman Melayu Islam Beraja (MIB) dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kerajaan Negara Brunei Darussalam, selaras dengan Misi MTMIB.