News
Majlis Membaca Surah Yaasin, Tahlil, Doa Kesyukuran & Sembahyang Fardhu Asar Berjemaah Sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Perkhidmatan Pos Ke-118 Tahun Dan Sambutan Hari Pos Sedunia 2024
Bersempena dengan Memperingati Penubuhan Jabatan Perkhidmatan Pos yang Ke-118 tahun sejak penubuhanya pada 11 Oktober 1906 dan diteruskan dengan Sambutan Hari Pos Sedunia Tahun 2024 (World Post Day 2024), Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaasin, Tahlil, dan Doa Kesyukuran seterusnya menunaikan Sembahyang Fardhu Asar berjemaah hari ini di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas.
Majlis tersebut dihadiri oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kementerian Pengangkutan dan Infokommunikasi.

Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Pengarah-pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Eksekutif, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran khusus untuk pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Pos dan warganya yang telah kembali ke rahmatullah, dan diikuti dengan solat Fardhu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Haji Mohamad Aduka bin Haji Abdul, Imam Surau Lapangan Antarabangsa Berakas.


Hari Pos Sedunia (World Post Day) diraikan setiap 9 Oktober oleh para penyedia perkhidmatan pos dari negara-negara ahli Kesatuan Pos Sedunia atau Universal Postal Union (UPU) di seluruh dunia bagi memperingati kepentingan perkhidmatan-perkhidmatan pos. Tahun ini merupakan ulang tahun penubuhan Kesatuan Pos Sedunia yang ke-150 dan disambut dengan tema “150 tahun membolehkan komunikasi dan memperkasakan masyarakat di seluruh negara”. Tema ini mengiktiraf peranan penting Kesatuan ini sejak penubuhannya pada tahun 1874 dalam menghubungkan masyarakat di seluruh dunia.
Kelahiran Kesatuan Pos Sedunia pada 9 Oktober 1874 melalui penandatanganan Perjanjian Bern (Treaty of Bern) oleh 22 negara telah membuka jalan kepada perkhidmatan pos yang boleh dipercayai sehingga ke hari ini. Kini, selepas satu setengah abad, Kesatuan ini telah menghubungkan rangkaian pos di 192 negaranegara ahli untuk memperkukuhkan lagi visinya untuk memberikan perkhidmatan pos kepada kesemua masyarakat tanpa batasan.
Selama 150 tahun Kesatuan ini telah memainkan peranan penting dalam memajukan perkhidmatan pos dalam menghubungkan komuniti, dengan matlamat untuk membawa manfaat kepada masyarakat. Tema ini juga menyentuh penghargaan ke atas pencapaian sepanjang satu setengah abad, yang mana Kesatuan ini telah mampu untuk menyatukan kesemua negara-negara ahlinya dalam menyampaikan perkhidmatan walaupun menempuhi pelbagai cabaran mengikut peredaran zaman.
Kesatuan Pos Sedunia komited untuk memenuhi keperluan masa kini dan masa depan, agar ianya kekal relevan sebagai alat komunikasi dan perhubungan yang penting. Ini memerlukan usaha berterusan bagi mengubah dan mentransformasikan perkhidmatan pos.
Sejak Januari 1985, Negara Brunei Darussalam adalah ahli kepada Kesatuan Pos Sedunia. Jabatan Perkhidmatan Pos telah menjalani transformasi yang ketara, seiring dengan perubahan zaman dan keperluan masyarakat.
Selaras dengan Postal Vision 2030 yang telah digariskan oleh Kesatuan Pos Sedunia untuk membentuk sektor pos yang berdaya tahan, inklusif, dan dinamik, Negara Brunei Darussalam juga komited untuk menambahbaik perkhidmatan pos.
Dalam era digital ini, perkhidmatan pos di Negara Brunei Darussalam juga terus berkembang. Kini, ramai pengguna beralih kepada pembelian secara atas talian. Jesturu, keperluan untuk penghantaran fizikal seperti bungkusan dan paket kecil kekal relevan dan ianya masih mencerminkan permintaan yang berterusan, selari dengan perkembangan sektor e-dagang.
Negara Brunei Darusalam tidak terkecuali yang mana sejak 5 tahun kebelakangan, jumlah surat yang dihantar telah menurun sebanyak 65% dari 4.3 juta pada tahun 2019 kepada 1.5 juta pada tahun 2023. Penurunan penghantaran surat ini diimbangi dengan peningkatan penghantaran bungkusan dan paket kecil dimana penghantaran bungkusan dan paket kecil ini mendapat sambutan dan permintaan orang ramai secara konsisten sejak 5 tahun kebelakangan. Peluang terus diraih dengan penghantaran domestik bagi penghantaran ubat-ubatan dan dokumen seperti Lesen Memandu dan Lesen Kenderaan yang mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.
Alhamdulillah, Jabatan Perkhidmatan Pos, Negara Brunei Darussalam buat tahun keduanya secara berturut-turut juga telah menerima Anugerah bagi kualiti perkhidmatan pelanggan Express Mail Services (EMS). Ini menunjukan bahawa jabatan ini terus cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan dan komited.
Bersempena dengan Memperingati Penubuhan Jabatan Perkhidmatan Pos yang Ke118 tahun dan Sambutan Hari Pos Sedunia ini, Jabatan Perkhidmatan Pos bertekad untuk terus meningkatkan perkhidmatan pos, demi manfaat dan kesejahteraan rakyat serta negara. Semoga perkhidmatan pos di Negara Brunei Darussalam terus berkembang, berinovasi, dan memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan sosio-ekonomi negara dalam mencapai Wawasan Negara 2035.
-TAMAT-
Disediakan oleh
Jabatan Perkhidmatan Pos
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi