Skip to main content

News

Majlis Perasmian Bangunan Radar Cuaca dan Pelancaran Sistem Pemantauan Radar Cuaca Doppler Brunei Darussalam bersamaan dengan Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2023

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah mengadakan Majlis Perasmian Bangunan Radar Cuaca dan Pelancaran Sistem Pemantauan Radar Cuaca Doppler Brunei Darussalam bersamaan dengan Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2023 bertempat di Bangunan Radar Cuaca, Kampong Melabau, pada hari ini.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Rokiah binti Haji Angas, Pemangku Pengarah Kajicuaca selaku Pengerusi Majlis.
Acara majlis kemudiannya diteruskan dengan perasmian Bangunan Radar Cuaca dan pelancaran Sistem Pemantauan Radar Cuaca Doppler Brunei Darussalam oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Projek mengganti dan menaiktaraf Weather Radar Network ini merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 yang bertujuan untuk memperkukuhkan sistem-sistem pemantauan cuaca di Negara Brunei Darussalam. Ianya juga adalah salah satu pelan tindakan di bawah inisiatif pelaksanaan projek-projek sistem pemantauan cuaca yang mendokong Petunjuk Prestasi Utama, dalam Pelan Strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC 2025) iaitu untuk mencapai 90% ketepatan dalam amaran cuaca penerbangan menjelang 2025.
Bangunan Radar Cuaca ini digunakan untuk menempatkan sistem dan peralatan pemantauan radar cuaca Doppler yang baharu. Dengan pemasangan Doppler Weather Surveillance Radar yang baharu ini ianya akan dapat meningkatkan lagi tahap kapasiti pemantauan dan penganalisaan perkembangan cuaca secara real time bagi meningkatkan ketepatan ramalan cuaca dan pengeluaran nasihat dan amaran cuaca yang lebih awal bagi Negara Brunei Darussalam.
Kemampuan sistem radar: Sistem state-of-the-art yang dibekalkan adalah dual polarization weather radar system yang beroperasi menggunakan S-band yang berkemampuan melakukan imbasan pada jarak 250-kilometer radius. Kemampuan tersebut akan memberikan sensitiviti yang luar biasa dan membolehkan pemantauan fenomena cuaca yang luas dengan kualiti data yang tinggi dan juga ketinggian resolusi (15m x 15m).
Selepas pelancaran, Tetamu Kehormat dan para jemputan menyaksikan pameran mini yang memaparkan maklumat mengenai sistem radar cuaca berkenaan dan aplikasi mudahalih Brunei WX yang telah dinaiktaraf dengan penambahan ciri-ciri baharu yang antara lainnya adalah animasi radar cuaca, maklumat kemungkinan hujan, Indeks Pencemaran Udara dan maklumat air pasang surut.
Turut hadir di majlis tersebutialah Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, Pengarah-Pengarah Bahagian, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.
Disediakan oleh:
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam
13 Ramadhan 1444/04 April 2023
Ruj: PREO/PR/04/2023