Skip to main content

News

Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ’Alaihi Wasallam bagi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) serta Jabatan-Jabatan, Autoriti dan Pihak Berkuasa Di Bawahnya Bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi

Bandar Seri Begawan – Kepentingan mensyukuri nikmat menjadi sebahagian daripada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam merupakan antara inti pati Ceramah Khas bertajuk “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah”, yang diadakan sempena Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Jabatan-Jabatan, Autoriti dan Pihak berkuasa di bawahnya bagi Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi.

Ceramah khas yang disampaikan oleh Yang Mulia Haji ‘Abdul Mu’iz bin Haji Amat, Pegawai Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, antara lain menekankan bahawa umat Islam hendaklah sentiasa bersyukur atas nikmat menjadi umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, yang telah berjuang dengan penuh pengorbanan dalam menyebarkan dan mempertahankan agama Allah Subhanahu Wata’ala.

Ceramah turut menyentuh mengenai bagaimana Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah mendidik dan membentuk generasi para sahabat yang teguh iman dan akhlaknya sehingga mampu meneruskan misi dakwah ke seluruh pelosok dunia. Dalam hubungan ini, umat Islam bertanggungjawab untuk menghargai, mensyukuri dan menghayati perjuangan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan mengamalkan ajaran Baginda serta meneruskan usaha dakwah dalam kehidupan seharian mengikut kapasiti masing-masing.

Majlis tahun ini dikelolakan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan merupakan aktiviti tahunan MTIC dalam menyemarakkan hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, di samping memperkukuh penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam serta mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan warga kementerian serta Jabatan-Jabatan, Autoriti dan Pihak berkuasa di bawahnya.

Majlis diserikan dengan Ceramah Khas dan persembahan Dikir Asyraqal oleh gabungan pendikir Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Majlis yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi ini dihadiri oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Tetamu Kehormat. Turut hadir juga ialah Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, pegawai-pegawai kanan, serta pegawai dan kakitangan MTIC beserta Jabatan-Jabatan, Autoriti dan Pihak Berkuasa di bawahnya.

 

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI

Jalan Menteri Besar

Bandar Seri Begawan BB3910

Negara Brunei Darussalam

26 Rabiulawal 1448H

08 September 2026