News
Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Innovasi ASEAN Kali Ke-83
Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) adalah Tuan Rumah bagi Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN kali ke-83 (COSTI-83) yang bersidang dari 20 hingga 21 Jun 2023 bertempat di Songket Ballroom, The Rizqun International Hotel.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku National COSTI Chair bagi Negara Brunei Darussalam. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh delegasi dari negara-negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN. Mesyuarat ASEAN COSTI adalah merupakan badan sektoral di bawah ASEAN yang dipertanggungjawabkan ke atas semua aspek kerjasama dan integrasi Sains, Teknologi dan Inovasi bagi Negara-Negara Ahli ASEAN.


Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof turut menekankan kepentingan dalam mempertingkatkan koordinasi COSTI serta keperluan untuk meningkatkan akses dan penggunaan dana Sains Teknologi dan Inovasi. Hasil daripada Mesyuarat COSTI-83 ini akan di laporkan kepada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi ke-12 yang akan berlangsung pada 22 Jun 2023 di The Empire Brunei Hotel. Antara perkara-perkara utama yang telah dibincangkan semasa Mesyuarat COSTI-83 adalah seperti berikut:
i. Status Dana ASEAN Science, Technology and Innovation Fund (ASTIF);
ii. Perbincangan mengenai perkembangan pembangunan ASEAN Plan of Action on Science, Technology and Innovation (APASTI) 2026-2035;
iii. Perbincangan mengenai hasil dan cadangan-cadangan daripada laporan mesyuarat COSTI Retreat;
iv. Perbincangan mengenai pelaksanaan projek-projek Keutamaan Tahunan bagi COSTI 2022, pengesahan projek-projek Keutamaan Tahunan COSTI 2023, serta cadangan bagi Keutamaan Tahunan COSTI 2024; dan
v. Persetujuan mengenai susunan tarikh untuk Mesyuarat COSTI ke-84 yang akan dipengerusikan oleh negara Filipina.
Pada masa yang sama Mesyuarat COSTI-83 juga akan mengadakan mesyuarat bersama rakan dialog Jepun didalam mesyuarat 12th Meeting of ASEAN-Japan Cooperation Committee on Science and Technology (AJCCST-12). Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Haji Awang Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dan Tuan Yang Terutama Hara Masashi, Director for International Cooperation, Ministry of Education, Culture, Sports, Science and Technology, Japan. Mesyuarat tersebut antaralain akan membincangkan pertukaran pendapat mengenai inisiatif dan strategi kerjasama di masa depan.


Sebelum Mesyuarat COSTI-83 bersidang, sesi COSTI Retreat juga telah diadakan pada 19 Jun 2023 dan dihadiri oleh delegasi dari negara-negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN. Semasa COSTI Retreat tersebut antara focus utama sesi tersebut adalah bagi membincangkan keberkesanan dan hala tuju struktur tadbir urus ASEAN STI, mekanisme pembiayaan dan juga bidang tumpuan ASEAN STI sebagai persediaan untuk Mesyuarat COSTI-83. Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Pengerusi Board of Advisors kepada COSTI (BAC), dan pegawai-pegawai kanan di MTIC.
Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam