Skip to main content

News

Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN Kali Ke-86 (COSTI-86) dan Mesyuarat Lain Yang Berkaitan, Singapura 7 – 11 Oktober 2024

Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-86 (COSTI-86) serta mesyuarat-mesyuarat lain yang berkaitan, yang berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober 2024 di Republik Singapura.
Dalam mesyuarat ini, perbincangan tertumpu kepada beberapa isu penting, termasuk perkembangan terkini mengenai Sains, Teknologi dan Innovasi di ASEAN, Keutamaan Tahunan 2024 dan cadangan Keutamaan Tahunan 2025, serta menilai status pencapaian Priority Economic Deliverable (PED) bagi tahun 2024 dan cadangan bagi PED tahun 2025. Di samping itu, kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa seperti Kesatuan Eropah, Australia, dan China turut dibincangkan dalam usaha memperkukuhkan ekosistem sains dan inovasi di ASEAN.
Perbincangan mengenai Pelan Tindakan Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (APASTI) 2026-2035 juga menjadi agenda penting, di mana pelan ini diselaraskan dengan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026-2030 bagi menyediakan hala tuju bagi pembangunan inovasi dan teknologi di ASEAN. Terkini, ASEAN dan konsultan Australia for ASEAN Futures kini berada di peringkat akhir dalam mengenal pasti perunding bagi merangka APASTI 2026-2035, susulan daripada dua proses tender yang telah selesai. Perunding yang dipilih akan memulakan penyediaan draf APASTI selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Lao PDR, dengan mandat untuk mendefinisikan aspirasi COSTI bagi tahun 2026-2030, selaras dengan ASEAN Vision 2045.
Turut dibincangkan adalah Dana Sains, Teknologi, dan Inovasi ASEAN (ASTIF) serta cadangan bagi memperluaskan pembiayaan inisiatif saintifik di ASEAN.
Selain itu, Lembaga Penasihat kepada COSTI (Board of Advisors to COSTI – BAC) dan pengerusi-pengerusi Jawatankuasa-jawatankuasa kecil COSTI juga membentangkan laporan kemajuan kerja masing-masing dalam pelbagai bidang sains seperti Pembangunan infrastruktur dan sumber Sains dan Teknologi, penyelidikan tenaga lestari, meteorologi dan geofizik, dan sains dan teknologi permakanan.
Antara hasil utama yang dicapai sepanjang Mesyuarat COSTI-86 termasuk pengiktirafan cadangan Brunei Darussalam untuk mengintegrasikan Kecerdasan Buatan (AI) ke dalam ASEAN Journal on Science and Technology for Development (AJSTD) sebagai Keutamaan Tahunan 2025. Projek yang diterajui oleh Negara Brunei Darussalam ini adalah merupakan satu langkah penting ke arah memajukan analisis akademik di ASEAN melalui teknologi AI.
Delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat-mesyuarat ini diketuai oleh Yang Mulia Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC). Delegasi turut disertai pegawai-pegwai dan wakil-wakil daripada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) termasuk Jabatan Kajicuaca, Jabatan Ukur Kementerian Pembangunan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (MPRT), Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei.
Mesyuarat COSTI-86 ini dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama, Dr. Hul Seingheng, Timbalan Setiausaha Negara, Kementerian Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MISTI), Kemboja, dan bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) di ASEAN.
Selepas COSTI-86, Mesyuarat The 12th Meeting of ASEAN-U.S. Consultancy on Science and Technology (AUSCST-12) turut diadakan, yang dipengerusikan bersama oleh Dr. Hul Seingheng dan Puan Holly Waeger Monster, Pengarah Pejabat Kerjasama Sains & Teknologi, Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Mesyuarat AUSCST-12 memberi tumpuan kepada perkembangan kerjasama sains, teknologi, dan inovasi antara ASEAN dan Amerika Syarikat, termasuk Majlis Penganugerahan The Underwriter’s Laboratories-ASEAN-U.S. Science Prize for Women 2024.
Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (COSTI), dengan kerjasama United States Agency for International Development (USAID) dan UL Research Institutes (ULRI), telah mengumumkan pemenang-pemenang 2024 Underwriters Laboratories-ASEAN-U.S. Science Prize for Women semasa COSTI-86, menandakan ulang tahun ke-10 anugerah berprestij ini. Tahun ini, tema pertandingan adalah Ketahanan Iklim dan Adaptasi (Climate Resilience and Adaptation), bertujuan untuk mengiktiraf peranan penting saintis wanita yang menggunakan kerja mereka untuk memperbaiki masyarakat secara berkelanjutan dan menjadi teladan kepada wanita lain dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
◊◊◊
Note:
Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (ASEAN COSTI) adalah sebuah platform kerjasama serantau yang bertujuan untuk memperkukuh pembangunan sains, teknologi, dan inovasi dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN. Melalui pelbagai inisiatif, projek, dan program, COSTI berperanan untuk menggalakkan pertukaran pengetahuan, memupuk inovasi, dan meningkatkan keupayaan teknologi di rantau ini. Usaha ini menyokong pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat yang berasaskan pengetahuan di ASEAN, sambil mengeratkan kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa.