Skip to main content

News

Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi Asean Kali Ke-90 (COSTI-90) dan Mesyuarat-Mesyuarat Lain Yang Berkaitan

Da Nang, Viet Nam 14 – 15 Oktober 2026

Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN Kali Ke-90 (COSTI-90) dan mesyuarat-mesyuarat lain yang berkaitan, yang berlangsung pada 14 hingga 15 Oktober 2026 di Furama Resort Danang, Da Nang, Viet Nam. Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), di samping meneroka peluang kerjasama yang dapat menyokong pembangunan keupayaan dan keutamaan STI negara.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Souksavath Sihapanya, Pengarah Jeneral Jabatan Sains, Kementerian Pendidikan dan Sukan Lao PDR, selaku Pengerusi COSTI, dan dihadiri oleh wakil-wakil Negara-Negara Anggota ASEAN (ASEAN Member States – AMS) serta Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat COSTI-90 menjadi platform bagi Negara-Negara Anggota ASEAN untuk menyelaras keutamaan, meneliti kemajuan inisiatif bersama dan mengenal pasti peluang baharu bagi memperkukuh ekosistem STI serantau. Perbincangan merangkumi kerjasama penyelidikan, pembangunan keupayaan dalam bidang deep and emerging technologies (teknologi baharu muncul), pemindahan teknologi, pembangunan modal insan serta kerjasama dengan rakan dialog ASEAN. Usaha-usaha ini adalah penting dalam menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (APASTI) 2026–2035 serta menyumbang kepada Wawasan ASEAN 2045 yang berdaya saing, inovatif dan berteraskan pengetahuan.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan Keutamaan Ekonomi Utama (Priority Economic Deliverables – PEDs) bagi tahun 2026, yang merangkumi ASEAN Declaration on the Advancement of Space Science, Technology and Innovation Cooperation dan Regional Programme for Science, Technology and Innovation on AI (Phase 1 – Health Science and Technology). Mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan Infrastruktur Pengkomputeran Berprestasi Tinggi ASEAN–Korea (ASEAN–Korea High-Performance Computing – HPC), yang menyediakan kemudahan pengkomputeran kongsi bagi menyokong penyelidikan dan pembangunan keupayaan dalam bidang pengkomputeran lanjutan.

Selain itu, mesyuarat membincangkan perkembangan pelaksanaan APASTI 2026–2035, inisiatif di bawah Dana Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (ASEAN Science, Technology and Innovation Fund – ASTIF), serta laporan kemajuan lima Jawatankuasa Kecil COSTI yang telah bagi memperkukuh penyelarasan dan pelaksanaan kerjasama STI ASEAN.

Negara Brunei Darussalam Mengetengahkan Kerjasama Teknologi Kuantum ASEAN

Dalam usaha menyumbang kepada agenda STI serantau, Negara Brunei Darussalam turut mengetengahkan cadangan penyediaan ASEAN Quantum Action Plan (AQAP) bagi menggalakkan kerjasama ASEAN dalam bidang teknologi kuantum. Cadangan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kepentingan teknologi kuantum sebagai salah satu bidang teknologi baharu yang berpotensi membawa perubahan kepada pengkomputeran, komunikasi selamat dan pelbagai aplikasi saintifik serta industri.

Memandangkan pembangunan teknologi kuantum memerlukan kepakaran khusus, penyelidikan berterusan dan pelaburan dalam pembangunan keupayaan, kerjasama serantau dapat menyediakan ruang bagi perkongsian pengetahuan, penerokaan peluang penyelidikan bersama dan pembangunan kepakaran secara berperingkat. Melalui cadangan AQAP, Negara Brunei Darussalam berharap dapat menyumbang kepada usaha ASEAN dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap teknologi kuantum, di samping meneroka pendekatan kerjasama yang bersesuaian dengan tahap pembangunan dan keupayaan setiap Negara Anggota ASEAN.

Peranan Negara Brunei Darussalam dalam Kerjasama STI ASEAN–Kesatuan Eropah

Negara Brunei Darussalam, selaku Penyelaras Negara bagi Kerjasama STI ASEAN–Kesatuan Eropah (ASEAN–EU), turut membentangkan laporan kemajuan kerjasama yang mengetengahkan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama kedua-dua rantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Inisiatif tersebut termasuk ASEAN–EU ELEVATE, Pelan Hala Tuju Diplomasi Sains ASEAN dan Dialog Mobiliti Bakat STI (DESTINY), yang memberi tumpuan kepada perkongsian kepakaran, mobiliti bakat, pemindahan pengetahuan serta pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi penyelidikan dan universiti.

Menyokong Pembangunan Kerangka Strategi STI Kebangsaan

Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam COSTI-90 juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh asas pembangunan Kerangka Strategi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Kebangsaan. Penglibatan dalam perbincangan dan inisiatif serantau membolehkan Negara Brunei Darussalam meneliti perkembangan teknologi, memahami keutamaan bersama ASEAN serta mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh dimanfaatkan dalam membangunkan keupayaan STI negara.

Perkembangan seperti kerjasama dalam pengkomputeran berprestasi tinggi (High-Performance-Computing – HPC), kecerdasan buatan, teknologi angkasa dan teknologi kuantum turut memberikan input yang berguna dalam mempertimbangkan bidang keutamaan, pembangunan modal insan, pengukuhan penyelidikan dan hubungan antara institusi penyelidikan dengan industri. Pada masa yang sama, pengalaman dan amalan negara-negara anggota ASEAN lain dapat membantu memperkayakan pertimbangan dalam merangka pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan Negara Brunei Darussalam.

Melalui penglibatan aktif dalam COSTI dan kerjasama STI ASEAN, Negara Brunei Darussalam dapat memastikan pembangunan STI negara bukan sahaja memenuhi keperluan dan aspirasi kebangsaan, malah mengambil kira peluang kerjasama serantau dan perkembangan teknologi global. Pendekatan ini penting dalam memperkukuh ekosistem STI yang mampu menyokong penyelidikan, menggalakkan inovasi, meningkatkan penerapan teknologi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara mampan.

Di samping mesyuarat tersebut, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) turut mengatur lawatan ke Da Nang Intelligent Operations Centre (IOC), sebuah pusat operasi bandar pintar yang memanfaatkan teknologi digital dan analisis data untuk memantau keadaan bandar serta menyediakan maklumat dan analisis yang bernilai kepada pihak berkepentingan bagi menyokong perancangan, penyelarasan dan proses membuat keputusan. Lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada delegasi Negara Brunei Darussalam mengenai pendekatan dan amalan terbaik Da Nang dalam penggunaan data dan teknologi bagi menyokong pengurusan bandar pintar, serta meneliti pengalaman yang boleh dijadikan rujukan dalam penerokaan inisiatif digital dan teknologi pintar di Negara Brunei Darussalam.

Delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat COSTI-90 diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC). Delegasi negara turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan daripada MTIC, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

 

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI

Jalan Menteri Besar
Bandar Seri Begawan BB3910
Negara Brunei Darussalam

08 Jamadilawal 1448H
19 Oktober 2026