News
Sesi Dialog bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Sektor Infokomunikasi
Bandar Seri Begawan, Khamis, 15 Oktober 2026
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) pada pagi ini telah mengadakan Sesi Dialog bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bertempat di Bilik Al-Mahabbah, dengan berfokuskan kepada peranan sektor infokomunikasi.
Sesi dialog tersebut bertujuan untuk membincangkan perkembangan semasa serta isu-isu berkaitan teknologi dan inovasi, pendigitalan perkhidmatan Kerajaan, industri teknologi infokomunikasi dan keselamatan siber, khususnya perkara-perkara yang menjadi perhatian masyarakat.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi menekankan kepentingan sesi dialog berkenaan sebagai wadah untuk bertukar pandangan serta membincangkan langkah-langkah ke hadapan bagi memajukan sektor infokomunikasi dan menyokong agenda pendigitalan negara.
Ucapan tersebut turut menyentuh peranan sektor infokomunikasi sebagai pemacu penting dalam memperkukuh Transformasi Digital Kerajaan dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Seiring dengan perkembangan teknologi baharu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpotensi untuk memudahkan tugasan, meningkatkan produktiviti serta menyokong analisis dan pembuatan keputusan. Justeru, perkembangan ini perlu disokong oleh kesiapsiagaan kemahiran, keselamatan siber, perlindungan data serta tadbir urus yang berkesan bagi memastikan pemanfaatan teknologi dilaksanakan secara beretika dan bertanggungjawab.
Sepanjang sesi berkenaan, Yang Berhormat Ahli-Ahli MMN telah diberikan taklimat oleh Bahagian Teknologi dan Inovasi, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan Cyber Security Brunei (CSB), yang mengongsikan perkembangan terkini, usaha-usaha yang sedang dilaksanakan dalam bidang masing-masing dan hala tuju pada masa hadapan. Sesi taklimat tersebut disusuli dengan sesi perbincangan dan soal jawab, yang memberi peluang kepada Yang Berhormat Ahli-Ahli MMN untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta mengemukakan pandangan, cadangan dan pertanyaan berhubung perkara-perkara yang dibentangkan.
Turut hadir di sesi dialog berkenaan ialah Ketua Eksekutif Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi, Ketua-Ketua Bahagian dan Unit, serta Pegawai-Pegawai Kanan dan Pegawai-Pegawai Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
04 Jamadilawal 1448H / 15 Oktober 2026M
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam