News
Sesi Dialog bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Sektor Pengangkutan
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) pada petang ini telah mengadakan Sesi Dialog bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bilik Komiti 1 dan 2, Bangunan Majlis Mesyuarat Negara, bagi membincangkan perkembangan semasa dalam sektor pengangkutan.
Perbincangan tersebut meliputi beberapa bidang utama, termasuk pengawalseliaan dan keselamatan pengangkutan darat, udara dan maritim, pemantauan serta penyediaan maklumat dan amaran kajicuaca dan juga pengawalseliaan aktiviti-aktiviti pelabuhan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, mengetengahkan empat (4) aspek utama bagi memastikan sistem pengangkutan yang mampan, iaitu Keselamatan dan Sekuriti, Ketersediaan Perkhidmatan, Kebolehcapaian serta Kebolehpercayaan Perkhidmatan. Keempat-empat aspek tersebut saling melengkapi bagi memastikan sistem pengangkutan memenuhi keperluan orang awam, di samping menyokong pergerakan penumpang, barangan dan kegiatan ekonomi negara.
Sepanjang sesi dialog berlangsung, taklimat mengenai perkembangan terkini, usaha-usaha yang sedang dilaksanakan serta hala tuju masa hadapan telah disampaikan oleh Jabatan Pengangkutan Darat, Bahagian Keselamatan Pengangkutan MTIC, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Jabatan Penerbangan Awam serta Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam. Taklimat tersebut disusuli dengan sesi perbincangan dan soal jawab yang memberi peluang kepada Yang Berhormat Ahli-Ahli MMN untuk mendapatkan penjelasan serta mengemukakan pandangan dan cadangan berhubung perkara-perkara yang dibentangkan.
Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Suhara Fadzali bin Haji Yusop, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Ketua-Ketua Jabatan, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), Ketua-Ketua Bahagian dan Unit serta Pegawai-Pegawai Kanan dan Pegawai-Pegawai Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Jalan Menteri Besar
Bandar Seri Begawan BB3910
Negara Brunei Darussalam
13 Jamadilawal 1448H
24 Oktober 2026M