Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Majlis Penyerahan Sijil Anugerah Biasiswa Trafik Udara


(Courtesy of Borneo Bulletin)

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Januari 2018 bersamaan 30 Rabiulakhir 1439 – Seramai empat orang mahasiswa dan empat mahasiswi telah dianugerahkan biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menjalani latihan sebagai Pegawai Trafik Udara.

Penyampaian Sijil Anugerah Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Menteri Perhubungan, selaku tetamu kehormat majlis berkenaan.  Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Penerbangan Awam, diadakan pada pagi ini bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan.

Skim Biasiswa Khas Pegawai Trafik Udara ini adalah di bawah jalinan kerjasama antara Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Perhubungan dengan Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan. Skim ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil oleh Jabatan Penerbangan Awam dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan udara yang selamat dan efisien di Negara Brunei Darussalam.

Perkhidmatan trafik udara merupakan elemen penting dalam perkhidmatan pengangkutan udara. Sebagai langkah untuk memastikan perkhidmatan trafik udara di negara ini adalah sejajar dengan matlamat pengangkutan yang telah dirancang maka, sumber tenaga manusia khususnya untuk perkhidmatan trafik udara adalah merupakan antara fokus yang diutamakan.  Selaras dengan matlamat tersebut, Jabatan Penerbangan Awam telah dan sedang giat berusaha untuk menyediakan para pegawai trafik udara yang mencukupi.

Untuk mendapatkan pegawai trafik udara yang berkelayakan, setiap pegawai perlu menjalani program latihan trafik udara khusus. Jangka masa program latihan berkenaan bergantung kepada kebolehan individu. Selain  latihan teori, setiap pegawai juga perlu menjalani latihan amali di samping menjalani peperiksaan bertulis dan ujian kecekapan.

Dalam tempoh masa satu (1) ke lima (5) tahun, program ini akan membekalkan sumber tenaga manusia yang mengendalikan operasi trafik udara. Manakala dalam jangka masa panjang, ianya akan membekalkan pemimpin-pemimpin dan sumber tenaga pengurusan perkhidmatan trafik udara di Jabatan Penerbangan Awam.

Penerima-penerima Anugerah Biasiswa tersebut akan mengikuti dua fasa program latihan selama satu tahun iaitu enam bulan di Akademi Penerbangan Awam Malaysia (MAVA) dan enam bulan lagi untuk mengikuti latihan dalam negeri.

Peserta-peserta yang berjaya mendapatkan lesen dalam tempoh yang ditetapkan akan ditawarkan jawatan dalam Bahagian Perkhidmatan Trafik Udara Jabatan Penerbangan Awam.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Yang Mulia Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan, Yang Mulia Dr Haji Azman bin Ahmad, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Yang Mulia Dr Haji Supry bin Haji Ag. Ladi, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan.  Juga hadir Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Jabatan dan Pihak Berkuasa serta para Pegawai Kanan dari Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Pendidikan dan Jabatan berkenaan yang dijemput.


Attachments