Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 28 Jun 2018 - Hari Raya Hari Bergembira: Kemalangan Jalan Raya Boleh Dielakkan



Bandar Seri Begawan, 14 Syawal 1439H bersamaan 28 Jun 2018M - Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKKJR) mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Ratib Al-Attas pada petang ini sempena Memperingati Mangsa­-Mangsa Kemalangan Lalulintas Jalan Raya Bagi Tahun 2018, bertempat di Masjid Kampong Sungai Hanching.

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Perhubungan, selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam. 

Turut hadir ialah Haji Azhar bin Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, selaku Timbalan Pengerusi II MKKJR; dan Mohammad Nazri bin Mohammad Yusof, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan.  Majlis juga turut dihadiri oleh Pegawai-Pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta Ahli-Ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya.

Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas Sempena Memperingati Mangsa-Mangsa Kemalangan Lalulintas Jalan Raya ini diadakan untuk memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata 'ala supaya negara ini, terutamanya pengguna-pengguna jalan raya, sentiasa diberikan perlindungan dari kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini. Disamping itu juga, acara ini merupakan usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha-usaha dan perancangannya dalam meningkatkan keselamatan jalan raya demi kebajikan semua.

Dalam kesempatan ini, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya, dan sentiasa mengamalkan sikap memandu yang berhemah terutama ketika cuaca hujan dan jalan raya licin.

Pemandu berhemah sentiasa mementingkan keselamatan, baik sebelum memandu ataupun semasa memandu. Semasa berada di jalan raya, seseorang pemandu hendaklah sentiasa mengamalkan sikap yang baik. Selain daripada mengamalkan pembacaan doa sebelum setiap perjalanan, pemandu-pemandu juga diseru untuk sentiasa memakai tali pinggang keledar; Mematuhi had laju yang ditetapkan dan tanda-tanda isyarat lalulintas yang dipamerkan; Jangan berkhayal atau berangan-angan semasa memandu dan jangan memandu jika dalam keadaan tertekan, keletihan dan mengantuk; Jangan menggunakan telefon bimbit semasa memandu; Memandu mengikut jarak yang selamat; Sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalulintas jalan raya demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Hadiah terbaik adalah untuk sampai ke destinasi dan pangkuan keluarga dengan selamat.

 

Disediakan oleh:

Unit Perhubungan Awam

KEMENTERIAN PERHUBUNGAN

Attachments