Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Selasa, 26 November 2019 - Taklimat Cuaca Kebangsaan Kali Ke-8 Monsun Timur Laut (Disember 2019 – Mac 2020)

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), telah mengadakan Taklimat Cuaca Kebangsaan Kali Ke-8, berikutan dari taklimat mengenai Monsun Peralihan yang telah diadakan pada bulan Oktober 2019 yang lalu. Seramai 138 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, penuntut-penuntut sekolah serta orang awam telah hadir mengikuti taklimat yang diadakan di Auditorium Jabatan Penerangan, Jabatan Penerangan, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas.


Taklimat Cuaca Kebangsaan adalah merupakan salah satu inisiatif BDMD dan MTIC dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan pengguna seperti kumpulan Tindakan Awal dan Keselamatan, Kumpulan Ekonomi dan Industri, Syarikat-syarikat Pembinaan, Syarikat Insurans, Perusahaan Kecil dan Sederhana serta pihak Media Massa.


Matlamat utama Taklimat Cuaca Kebangsaan diadakan ialah untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan pelbagai kumpulan pengguna dan orang ramai mengenai dengan keadaan cuaca semasa bagi Negara Brunei Darussalam dan diharap akan dapat memudahcara kesiap-siagaan kumpulan pengguna-pengguna dalam menghadapi cuaca pada masa sekarang. Selain itu, fokus utama Taklimat Cuaca Kebangsaan adalah mengenai cuaca, iklim dan ramalan jangka panjang bagi Monsun Timur Laut Negara Brunei Darussalam yang dijangka bermula akhir bulan November 2019 dan berterusan hingga bulan Mac 2020.


Pada dua bulan pertama Monsun Timur Laut iaitu bulan Disember hingga Januari, yang mana juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh bagi Negara Brunei Darussalam, di mana keadaan cuaca dijangka tidak menentu dengan hujan lebat atau hujan berpetir sekali-sekala terutama pada waktu malam dan awal pagi. Manakala, semasa tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut iaitu bulan Februari hingga Mac, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan jumlah turunan hujan.


Semasa Musim Tengkujuh ini adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian bahawa risiko kejadian banjir atau banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir, dan risiko kejadian tanah susur akan meningkat terutama apabila berlakunya hujan lebat melebihi tempoh dua jam.


Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang. Luruan angin Timur Laut yang kuat juga boleh menyebabkan ketinggian ombak di perairan Brunei meningkat ke paras bergelora.


Dalam hal ini, pihak kami ingin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka akan keadaan cuaca dengan mengikuti perkembangan cuaca negara melalui maklumat-maklumat cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan kami. Kepekaan mengenai cuaca semasa akan dapat membantu pihakpihak berkenaan membuat langkah-langkah bagi persediaan tertentu untuk memastikan keselamatan harta-benda dan juga nyawa. Semasa cuaca aktif, para pengguna jalan raya juga disarankan untuk mengambil langkah-langkah yang perlu dan terus sentiasa berwaspada semasa memandu dan mengelak kawasan-kawasan yang mudah banjir terutama sekali jika amaran cuaca dikeluarkan. Para pelaut juga disarankan untuk mengambilkira maklumat, amaran dan nasihat cuaca sebelum merancang membuat aktiviti-aktiviti di laut.


Taklimat Cuaca Kebangsaan kali ini telah disampaikan oleh Awang Hassanul Kamal bin Haji Adam, Pegawai Kajicuaca, Ahli Meteorologi dari BDMD. Selain dari itu, satu taklimat mengenai 'Banjir Kilat' juga turut dikongsikan oleh Awang Mohamad Noor 'Arifin bin Haji Mohd Yussof, Pegawai Kajicuaca.


Acara Taklimat Cuaca Kebangsaan juga mengadakan aktiviti lain seperti promosi dan penjualan buku coffee table Jabatan bertajuk Nubivagant With Wondrous Scenes of The Abode of Peace, promosi aplikasi bimbit mudah alih Brunei WX, media sosial dan kod amaran cuaca berwarna BDMD.


Disediakan oleh:

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam
29 Rabiulawal 1441 / 26 November 2019
No. Ruj: PREO/PR/07/2019


Attachments